Jumaat, 14 Mac 2008

Karyawan yang berkerja

Masa terus berjalan dari detik menjadi minit menjadi jam menjadi hari menjadi minggu menjadi bulan menjadi tahun.... setiap detik suka atau tidak, ruang yang dilalui akan terisi dengan sendiri. Sudah lama aku ingin menulis di ruang ini untuk mengisi masa yang berlalu walau hanya dengan sebaris ayat. Pernah aku cuba beberapa kali tapi hanya beberapa kali saya aku berjaya dan akhirnya berhenti begitu saja. Menulis memerlukan displin yang tinggi, masa yang ada perlu di atur dengan rapi jika tidak hajat hanya tinggal mimpi yang hilang ketika mata jaga dari lena dan hidup diteruskan meninggalkan mimpi begitu saja. Sudah banyak blog yang aku cipta yang akhirnya menjadi sampah terbuang terapung-apung di internet tidak di sentuh hingga kini. Ini blog yang entah kali ke berapa aku cipta harap mampu terus hidup di ruang internet ini.

Kebelakangan ini hidup aku tidak menentu, June terlalu sibuk dengan kertas sarjananya rumah tak terurus Kaseh sudah tidak mendapat perhatian sewajarnya begitu juga aku. Aku kasihankan dia hari-hari mengadap buku bertimbun dan terpaksa menerima tekanan dari penyelianya Dr Anis Mohd Noor. Bila mengenang semula peringkat awal ketika keputusan di ambil untuk menyambung Sarjana selepas selesai sarjana muda di UM dulu, akulah orang yang menggesanya untuk terus sambung peringkat seterusnya tapi sekarang aku pula yang mula rasa menyesal. Apa-apapun aku harap masalah yang kami akan hadapi akan selesai juga akhirnya.

Aku pula melalui hari-hari yang tidak kurang sibuk cuma aku cuba buat tak endah saja. Kerja-kerja yang bertimbun tu aku cuba buat endah tak endah kalau diikutkan banyak benda aku kena uruskan antaranya projek teater eksperimen dengan pelajar ASWARA tempat aku mengajar, Projek Kolaborasi Pentas Project Breaking yang akan dipentaskan di Singapura, Projek digital filem Matderihkolaperlih, Festival Monodrama DBP dan Projek Kolaborasi Hero. Tahun 2008 ini akan menjadi tahun paling sibuk buat aku dan tahun ini juga akan menjadi tahun pertaruhan aku dalam dunia seni. Ini kerana tahun ini mungkin menjadi tahun terakhir aku menjadi tenaga pengajar separuh masa di ASWARA. Baru-baru ini ASWARA telah membuka tawaran mencari tenaga pengajar sepenuh masa dan aku tidak memohon, jadi ada kemungkinan besar jawatan separuh masa akan ditamatkan. Jika ini berlaku aku harus bersedia untuk menghadapinya.

Aku masih tidak tahu apakah aku mampu meneruskan perjuangan selepas aku melepaskan sumber pendapatan yang boleh dikatakan stabil itu... Dari sudut positif aku mampu menumpukan perhatian terhadap projek-projek seni yang sememangnya menstabilkan jiwa aku tapi persoalannya apakah itu mampu untuk menyokong kehidupan aku sekeluarga di dunia yang makin mahal kos hidupnya.

Minggu lepas aku ke Pameran Lukisan Matahati di HOM (House of Matahati) aku bercakap-cakap dengan Bayu (Utomo Radjikin) dia mengatakan "jangan jadikan kerja seni sebagai satu perkerjaan kerana bila ianya menjadi begitu kita akan berkerja untuk duit bukan berkarya" aku percaya karyawan bukan berkerja untuk duit tapi duit akan datang dari karya yang terhasil. Aku melihat Bayu sendiri sebagai contoh ketika dia melukis dia tidak pernah bergantung pada lukisannya tetapi setelah siap dan lukisannya dibeli orang dia boleh hidup dengan wang yang dia dapat dari karya seninya itu. Dari sudut yang lain Bayu boleh berkata begitu kerana lukisan-lukisannya ada pembeli tapi bagaimana dengan pelukis-pelukis baru, yang lukisan mereka belum tentu ada pembelinya. Di sini, jika mengikut Bayu, mereka perlu berkerja untuk menanggung hidup di samping terus berkarya. Dari segi lain karyawan yang berkerja sambil berkarya akan kehilangan tenaga untuk terus berkarya contohnya seorang yang berkerja sepenuh masa di syarikat atau jabatan kerajaan akan dibebani tugasan yang ada masanya harus di bawa pulang ke rumah. Masa dan tenaga yang ada untuk ia menghasilkan karya menjadi sangat minimun. Dan, akhirnya banyak dari mereka melupakan hasrat mereka untuk menjadi karyawan, kerja seni akhirnya menjadi sebagai satu hobi sahaja. Ini adalah cabaran yang harus dihadapi oleh kita yang bercita-cita untuk menjadi karyawan. Begitu juga aku.

Nam Ron

Tiada ulasan: