Selasa, 29 Jun 2010

Menjadi Tuhan

Sumber utama pendapatan aku untuk menyara keluarga adalah melalui lakonan untuk televisyen dan filem. Pada masa yang sama sumber kewangan ini juga yang menjana kerja-kerja artistik aku di dalam teater dan indiependent movie (sudah pasti perkerjaaan itu tidaklah menjana pendapatan sebaliknya memerlukan sumber kewangan untuk merealisasikannya). Entri kali ini cuba untuk mengupas permasalahan industri hiburan, secara khususnya televisyen, dari sudut pandangan seorang pelakon.

Seorang teman dari indonesia Azuzan JG (kini memiliki PR negara Belanda) ketika pertemuan kami di Tokyo sempena Bengkel Teater Kontemporari Asia menyatakan "Di Indonesia hanya dua ketegori pelakon yang berjaya sebagai pelakon televisyen; pertama, tampan atau cantik dan kedua, hodoh atau buruk." Menurutnya, pelakon yang tampan atau cantik sentiasa akan menjadi pelakon utama untuk sesebuah drama tv sementara yang hodoh atau buruk akan memegang watak jahat atau pelawak. Senario ini tidak hanya berlaku di tanah seberang sebaliknya turut berlaku di sini, di Malaysia.

Dilemanya adalah untuk pelakon yang tidak memenuhi kedua-dua ketegori tersebut, pelakon yang berada ditengah-tengah atau averange. Walaupun mempunyai bakat dan mempamerkan lakonan yang berkesan, mereka ini tidak diendahkan oleh pihak produksi dan kerap terpinggir malah tidak dapat bergantung dengan sumber pendapatan yang tidak konsisten itu. Dimanakah silapnya? Mengikut pengalaman aku, kemunculan pelakon-pelakon di dalam sesebuah drama bukan terletak ditangan pengarah dan penerbitnya tetapi stesen televisyen yang mempunyai kuasa veto. Sebagai contohnya, aku sendiri pernah dihubungi oleh beberapa syarikat produksi yang ingin menggunakan khidmat aku sebagai pelakon, setelah menyatakan persetujuan, nama aku dicadangkan kepada pihak stesen tv. Setelah beberapa lama kemudiannya, aku dihubungi oleh pihak produksi berkenaan yang memohon maaf kerana nama aku ditolak oleh stesen tv. Mereka (stesen tv) mahukan pelakon yang kononnya lebih popular demi untuk meningkatkan rating siaran berkenaan.

Pelakon-pelakon seperti aku adalah "buruh murah" dalam industri penyiaran. Mengapa aku menggunakan terma ini adalah kerana aku hanya akan muncul di dalam sesebuah drama sekiranya pihak produksi berjaya menyakinkan stesen tv mereka terpaksa menggunakan bajet yang ada untuk menghasilkan set dan post production yang memakan belanja yang mahal. Itu adalah hakikatnya, penggunaan bajet yang besar untuk keperluan produksi akan mengurangkan kos pembayaran kepada pelakon. Oleh itu, "buruh murah" seperti aku diperlukan kerana tidak mampu membayar pelakon popular.

Kepopularan seseorang pelakon seakan menjadi aset untuk menjamin kemunculan di kaca televisyen. Namun dari manakah kepopularan ini dicapai? Jawapannya adalah stesen tv. Sekiranya seseorang pelakon itu kerap muncul di kaca tv secara tidak langsung kepopularan itu akan menjadi miliknya. Bagi aku, stesen tv seakan memainkan peranan sebagai "tuhan" dalam konteks penyiaran. Takdir seseorang pelakon itu seolah-olah terletak ditangan mereka. Disebabkan itulah ada diantara pelakon sentiasa melakukan "penyembahan" dengan menjamu hidangan kepada stesen tv untuk memperoleh "takdir" yang lebih baik. Penyembahan ini adalah seperti mengunjungi orang-orang tertentu di stesen tv untuk mendapat keberkatan. dan, periuk nasi mereka akan terus berasap.

Kita pernah melihat kemunculan beberapa pelakon yang hebat di televisyen namun akhirnya mereka seakan lenyap dalam industri hiburan. Perkara ini terjadi disebabkan perkara-perkara di atas. Hak mereka untuk mencapai populariti bagaikan disekat dan diberikan kepada anak emas stesen tv. Oleh sebab itu, hanya susuk tubuh mereka ini yang hanya muncul di kaca tv.

Nota tumit kaki kiri : Jika entri ini sampai ke pengetahuan mereka nampaknya makin rapatlah periuk nasi aku. alahai.

Payah

Payah. Sekarang ini keadaannya lebih payah. Namun belum lagi terkeluar keluhan dari mulut aku. Apatah lagi merasa kesal.

Kepayahan ini bagaikan memberi kekuatan dan semangat baru untuk aku melakukan apa yang sepatutnya aku lakukan dari dahulu. Stabil buatkan aku hampir hilang apa yang aku perjuangkan itu.

Kepayahan yang aku lalui sekarang hampir sama dengan aku lalui 10 tahun dulu. Saat aku baru melangkah keluar dari tembok akademi. Hidup merempat demi untuk satu perjuangan dan cita-cita.

Hanya ketika itu, aku sendirian.

Ahad, 27 Jun 2010

masih wujud

Dalam kesibukan untuk menguruskan hidup baru, aku cuba juga singgah kat sini. Blog yang sudah lama aku tinggalkan. Selepas meninggalkan ASWARA, aku mencuba hidup sebagai freelancer, menjalani satu kehidupan baru untuk aku. Ternyata hanya kekentalan yang diperlukan untuk mengharunginya. Sepanjang tempoh itu, aku selalu memerhatikan kejadian dan tingkah laku yang berlaku di sekeliling. Banyak perkara baru yang aku pelajari setiap hari. Dan, ini semua akan aku kongsi di entri selepas ini.