Sabtu, 29 November 2008

Di Luar Tingkap

Aku duduk memandang luar tingkap rumah. Hutan hijau. Angin dari luar menyedut asap rokok yang aku hembus dari mulut; dari celah bibir merah hitam.
---------------------------------
Sekarang ni hujung bulan. Orang kerja makan gaji bulan-bulan tentu sibuk berbaris di mesin ATM. Menyesal? Apa hal aku nak menyesal. 21 tahun aku keluar dari celah ketiak mak aku hidup sendiri. Berdiri di atas kaki aku sendiri. 21 tahun aku hidup tanpa ada kerja tetap dan di hujung bulan beratur di mesin ATM. Dua puluh satu tahun.
---------------------------------
Mata aku. Mata putih yang kuning ke kuningan di sulam dengan urat merah memandang ke luar tingkap melihat daun-daun hijau melintuk-lintuk di tiup angin. Awan mendung. Hujan pasti turun lagi petang ini.
---------------------------------
Kerja. Mak mentua aku, bapak mentua aku, abang -abang dan kakak-kakak aku; kerja bagi diaorang bila ada duit yang diterima sebagai upah. Mak aku juga. Bapak aku... Aku tak pasti apa erti kerja untuk dia. Masa aku anak kecil, mak aku kata "hang jangan malas jangan jadi macam ayah hang". Aku tak pasti aku tak membesar dengan bapak aku. Aku kenal dia hanya dengar cerita mak. "Ayah hang tak mahu kerja". KERJA. Kerja tu bila dibayar upah dengan duit.
---------------------------------
Daun-daun hijau kaku di ranting pokok. Angin sudah berhenti bertiup. Hujan pasti akan turun bila-bila masa sahaja.
---------------------------------
Aku. Tamat bulan ni maknanya sudah dua bulan aku tak ada kerja. Kerja seperti yang diaorang maksudkan. Duit. 2 bulan tiada duit masuk ke kantung seluar aku. Aku kerja tapi kerja yang tiada upah. Memang aku sibuk dua bulan ni. Sibuk dengan pementasan teater yang aku masih berhutang kos produksinya. Sibuk dengan penulisan skrip yang entah bila dapat dipindahkan ke filem. Sibuk dengan bengkel teater yang dapat membuka mata dan telinga. Sibuk yang sangat sibuk. Namun bagi diaorang itu bukan kerja kerana mana duitnya.
---------------------------------
Sunyi. Hutan hijau di luar tingkap sunyi sepi. Tiada bunyi burung atau pekikan kera berebut makan yang dikutip di tong sampah. Tiada juga bunyi ranting-ranting tua yang jatuh timpa daun-daun kering di lantai bumi. sunyi.
---------------------------------
Sekarang ni hujung bulan. Sekarang ni aku benar-benar kering. Sewa rumah dan susu anak yang aku risaukan. Tadi aku ke kedai beli susu anak.
AKU: Susu kotak besar satu.
TOKEY: Stok habis. Kecik saja ada mahu?
AKU: Boleh lah.
TOKEY: Ini nanti stok baru sampai harga naik lagi.
AKU: Eh! Itu hari masa minyak naik harga sudah naik.
TOKEY: Sekarang naik lagi.
Aku diam. Aku bayar dan balik.
---------------------------------
Di luar tingkap. Langit makin gelap. Awan hitam menutup bumbung langit. Aku duduk melihat pokok-pokok kecil. Apa ertinya mendung baginya kerana bila matahari menyinarpun ia tetap tidak dapat menikmati cahaya. Pokok-pokok kecil yang kerdil.
--------------------------------
Dan, tanpa kilat tanpa guruh berdentum-dentum hujanpun turun. Lebat selebatnya. Beberapa bintik air terpercik ke tingkap dan meleleh turun di cerminnya. Aku pejam mata.

nota tumit kaki kiri : Bila-bila masa sahaja telepon aku akan berbunyi. Abang aku yang gajinya lima angka itu pasti telepon beritahu bank teleponnya. Pasal dia jadi garentor masa aku beli kereta buruk yang dah dua bulan tak bayar tu. Walau dia tak bagitau, aku tau dia malu dengan bank. Aku akan kata sibuk sangat tak ada masa nak bayar walau tak tau lagi mana nak cakau duit. Alhamdulilah.

Khamis, 27 November 2008

34 jam sehari

Kalaulah ada 34 jam sehari tentu aku tak begini. Berikan aku 10 jam lagi dalam sehari. Aku dah penat berkejar-kejar ke sana dan ke sini. Sarapan dalam kereta. nescafe tin penyegar mata. roti potong bersalut kaya pelapik perut yang bergelora. yang ku kejar bukan untuk kaya raya tapi pengisi perut anak dan isteri. rezeki. bukan tak mahu jadi kaya tapi aku tak tau macam mana nak hidup kaya. Hoi orang yang sudah kaya, bagi aku 10 jam kamu. aku rasa kau dah tak perlukan 24 jam itu dalam hidup kamu. apa lagi yang kau cari dalam 24 jam hidup kamu. Kan sudah penuh poket kamu dengan kekayaan. kan sudah penuh perut anak bini kamu dengan kekayaan. kan sudah penuh rumah kamu dengan kekayaan. Aku tak minta kekayaan kamu untuk di kongsi. aku cuma minta 10 jam masa kamu diberikan pada aku. Haram jadah. aku batuk lagi, aku sakit lagi kerana mencuri beberapa jam dari masa esok untuk aku gunakannya jadi hari ini. celaka. tekak aku rasa gatal berapa banyak aku harus sakit dalam setahun. alhamdulilah.

Khamis, 20 November 2008

Lubang di celah kelangkang

Aku serba salah. Antara perasaan malu dan takut aku terhimpit. Rasa biadap, celaka dan haram jadah. Aku jadi tak selesa. Rasa bersalah yang teramat-amat bersalah.
Aku menghormati makhluk yang bernama wanita. Mereka cantik dan bijak. Aku selalu tewas jika dekat dengan mereka. Aku lelaki yang hanya mempunyai satu nafsu. Dan, nafsu yang satu ini sukar untuk ku tutup pintunya.

Peringatan!
Jangan buat andaian yang bukan-bukan sebelum habis baca entri ni. Aku lelaki bukan jantan nafsu kerbau hidung berbelang-belang. Aku juga bukan menteri kabinet, datuk-datuk atau pegawai penguatkuasa yang sering tewas di celah kelangkang berlubang hadiah dari taulan sebagai penghargaan tolong dapatkan lubang bisnes kawan.

Di celah kelangkang yang berlubang itu, memang ada satu perangkap untuk lelaki yang nafsunya hanya satu. Dan, kerana aku tahu itu perangkap maka aku cuba untuk tidak mendekatinya. Sedaya upaya.
Aku lelaki walaupun bukan jantan hidung berbelang-belang tetap satu juga nafsu itu. Walaupun wanita tidak menjadikan lubang di celah kelangkangnya satu perangkap aku tetap melihatnya begitu.

Ini ada satu peristiwa dari banyak-banyak peristiwa.
Aku berbicara dengan seorang wanita.
Aku jadi tak selesa.
Dia berbaju yang terdedah dadanya.
Bra push up yang dipakainya, menampakkan lurah di dada.
Kami berbicara tentang kerjaya.
Kerjaya aku dan dia.
Dada ku jadi bergelora.
Nafsu ku yang satu mula menggila.
Aku rasa bersalah tak terhingga.
Apa yang ingin ku kata hilang entah ke mana.
Tiap kali ku pandang wajahnya, mata ku kan singgah ke sana.
Ke dadanya yang terbuka.
Aku takut tak terhingga.
Takut disalah sangka.
Malu nantinya dianggap lelaki hidung berbelang yang inginkan lubang di celah kelangkangnya.

Isnin, 17 November 2008

Hari-Hari yang lalu


Beberapa hari yang lalu
Aku dan 12 orang yang terdiri dari orang Cina, India dan Melayu melepak bersama. Kami duduk bersama bersembang-sembang di DBP. Kami bukan bersembang sebagai Melayu, India dan Cina. Kami adalah orang... manusia. Tanpa garis sempadan darah keturunan, warna kulit, bahasa pertuturan, jantan dan betina malah tidak juga agama dapat digariskan antara kami. Kami duduk bersama cuba untuk memahami "HOME". Apa itu HOME? Rumah itu house tapi house itu tak semestinya HOME. Dimanakah HOME? Di rumah, di hati dalam diri, negara inikah home?, keluargakah home anak, isteri, suami, ayah, ibu, nenek, datuk, abang, kakak, adik. Home itu agama? Tuhan itu HOME? Di mana kita berada melihatnya? Di luar atau dalamnya. ET phone home. Di manakah HOME?

Kami duduk bersama 4 jam sehari selama 10 hari untuk berkerja menggali, mengorek, mencungkil, meraba, mengodek, mencari HOME bersama-sama berkerjasama. Bukan hasil yang dinanti tapi kerjasama yang dicari. Bukan jawapan hanya harapan.

Beberapa hari yang lalu
3 jam aku bercakap tanpa henti. Leteran. Aku berleter seperti Mak Bedah sewaktu marahkan anaknya yang kantoi melancap dengan gambar artis perempuan melayu pose kat tepi kolam renang dalam majalah mangga. 3 jam aku berleter sampai kering air liur. Dah lama aku biarkan mereka dengan sikap mereka. Hari tu aku rasa bersalah kerana membiarkan mereka jadi lalai dan leka. Mereka ini datang dari setiap ceruk kampung dan bandar dari negeri mak bapak mereka. Mereka datang ke sini dengan cita-cita dan impian. Namun mereka sudah lupa hasrat suci yang mengetatkan hati mereka hingga sanggup meninggalkan celah ketiak dan puting susu ibu mereka. Bandar besar ini membuatkan mereka lupa. Bandar ini candu. Aku berleter untuk sedarkan mereka dari warna-warna pelangi yang mengkhayalkan itu. Akhirnya aku berkata:

jangan kamu semua ke sini lagi bertemu aku, jika tiada kesungguhan untuk mencapai cita-citamu. Aku tak ingin kamu di sini. Jangan kamu ke sini lagi, aku tak kan memarahimu jika kamu tiada di sini kerana tempatmu bukan di sini.

Beberapa hari yang lalu
Aku terfikir untuk kembali hidup sendiri.

Dan, itulah sebabnya beberapa hari yang lalu aku tidak berada di sini.

Rabu, 12 November 2008

untitle 1

Setiap masa
kau ingin ku mulai

menyayangi mu
dengan kata cinta
mengucupi mu
dengan nafas berahi
merabai mu
dengan sentuhan jemari
mendakapi mu
dengan hangat asmara

kau mahu aku
menyetubuhi mu
kerana aku lelaki

Ada masanya
Aku ingin kau mulai.

Ahad, 9 November 2008

Cerita dalam filem

Kekuatan pada sesebuah filem terletak pada cerita. Aku percaya pada itu. Walau sehebat mana pelakonnya, seindah mana sinematografinya, sedahsyat mana lokasinya jika ceritanya tidak kuat ianya pasti memuakkan. Cerita yang kuat dibantu oleh pelakon yang hebat, sinematografi yang indah, lokasi yang dahsyat akan menjadikan sesebuah filem itu Wow!
Aku tau mesti ada yang akan kata tak semestinya. Pembikin filem eksperimental yang cuba menolak konsep cerita dalam filem mereka, pasti akan menuduh aku bangang. Jika berjumpa dengan aku, mereka ini akan keluarkan kahak dari tekak untuk meludah muka aku untuk menzahirkan rasa tak puas hati mereka terhadap aku. Atau, mungkin yang lebih bertimbang rasa hanya mengerat lidah aku untuk diberi makan pada anjing kerana bangangnya aku pada pandangan mereka. Tapi stop! Jangan buat tu dulu kat aku. Aku tak kata apa yang cuba dibikin oleh mereka tu salah. Mana ada salah dan betul dalam kerja seni. Aku cuma berkongsi pandangan aku yang bangang ni. Aku percaya semua kerja seni adalah untuk masyarakatnya. Setiap kerja seni itu berkongsi dengan masyarakat. Dalam filem penceritaan menjadi medium untuk perkongsian itu. Para pembikin filem eksperimental (yang cuba menafikan cerita) juga cuba bercerita dalam karya mereka. Mungkin cuma gaya penceritaannya agak berlainan. Mereka mungkin bercerita melalui imej-imej seperti sebuah lukisan abstrak yang turut juga mempunyai cerita di dalamnya. Persoalan di sini bukan ada cerita atau tidak tapi lebih kepada kekuatan cerita yang hendak disampaikan. Dan, itulah persoalannya. Kenapa persoalan ini aku bangkitkan? Percaya atau tidak kita sekarang ini menghadapi masalah untuk mencari cerita yang kuat untuk dikongsi dengan khalayak (baca ; masyarakat). Maka banyak sudah filem-filem yang dihasilkan (bukan semuanya) dan yang akan dihasilkan (juga bukan semuanya) mempunyai cerita yang longlai dan tak dapat mencerna pemikiran khalayak. Soalannya, Kenapa dan apa masalahnya? (ANDA DI MINTA MENJAWAB SOALAN INI).

Baru-baru ini aku berbual di telepon (selama rm 10 kad prabayar) dengan seorang rakan yang juga seorang pembikin filem. Dia orang baru dalam industri filem tapi bukan baru sangatlah dalam dunia filem. Dia belajar filem di sekolah filem cuma baru dapat peluang mengarah sebuah filem. Dan, filem yang pernah dihasilkan diperkatakan oleh banyak pihak juga. Baru-baru ini dia dapat tawaran untuk mengarah sebuah lagi filem tapi dia dalam dilema. Ceritanya hancur. Dia cuba untuk menulis semula cerita itu tapi agak tidak disenangi oleh penerbit. Penerbit mahu dia kekalkan cerita tersebut. Bagi sahabat aku ni, dia sangat yakin jika dia mengarah filem tersebut dia akan menjerumuskan dirinya ke dalam kedurjanaan yang boleh merosakkan kredibilitinya sebagai pengkarya. Apa yang harus dilakukan olehnya? Aku cuma katakan cubalah dulu untuk yakinkan penerbit tu bahawa ceritanya teruk dan cuba beri jalan untuk mengatasinya. Buatkan dia percaya cerita yang ditulis semula itu akan jadi lebih baik dari yang asal. Jika dia tetap berdegil sahabat aku mempunyai dua pilihan; 1. Mengarah filem itu sebagai satu kerja dan terima gajinya. Risikonya dia akan kehilangan hormat dikalangan pencinta filem. Dan, 2. Dia menolak tawaran tersebut. Risikonya dia akan mula dilihat sebagai pengarah yang poyo dikalangan penerbit kerana industri kita kecil sesangat. Soalannya, Jadi apa yang dia harus lakukan? (ANDA DI MINTA MENJAWAB SOALAN INI).

Nota tumit kaki kiri : Catatan di atas mempunyai dua persoalan yang tidak diberi penyelesaian oleh pengarang. Anda dikehendaki menjawab ke dua-dua soalan tersebut. Terima Kaseh.

Khamis, 6 November 2008

cinta tiga segi

Aku dapat panggilan dari Johan John seorang pengarah filem. Dia ingin menyunting aku untuk menjadi lead male actor untuk sebuah projek filem yang akan memulakan pengambaran bulan 12 ni. Aku terkedu. Dah lama aku tak lead sejak Paloh. Dukun buat second lead tapi terperap kat stor astro pulak. Lead ni beb sapa tak terliur. Namun jodoh aku tiada kerana aku dah dijodohkan. Aku telah distimkan oleh Mamat Khalid untuk projek 3 Jalan pada bulan 12 juga. Tak mungkin aku tinggalkannya. Maka dengan berat hati aku menolak suntingannya dengan belaian penuh mesra agar selepas habis edah ikatan kontrak aku dengan bang Mat, aku dan John masih boleh membelai projeknya yang mendatang. Insyaallah!

P/S Bang Mat usah kau ragui cintaku pada mu. Ku tetap akan setia dengan mu hingga habis edah ikatan kita.

Rabu, 5 November 2008

Budak Kelantan sebuah filem maskulin; wanita itu hanyalah objek. (bukan aku kata Budak Kelantan yang kata he he he )

Setelah segala rintangan dan halangan maka dapatlah aku menonton Budak Kelantan (BK) arahan Wan Azli itu.

Lupakan tentang masalah teknikal (pada sesetengah bahagian); sound yang rabak, editing yang koyak, fokus kamera yang selerak, stunt yang haprak, art direction yang senak…. Segala masalah di atas tak akan dapat diselesaikan jika “kapital’ nya ceput yang amat. Walaupun Wan Azli cuba menghalalkan konsepnya dengan menjadikan Italian neorealism sebagai dahan untuk dia bergantung keyakinan, kita tahu itu cuma satu tanggungjawab yang menjadi beban untuknya pikul bila “kapital”nya ceput.. Lupakan semuanya. Kembali kita kepada perkara asas. Lihatlah cerita sebagai sebuah cerita. Pemikiran si pencerita. Apa yang ingin dikongsi dengan kita. Itulah yang aku lakukan bila menonton bersama 10 penonton lain di 1 Utama GSC petang semalam.

Bersama sebungkus pop corn (hanya untuk dimakan sebelum bermulanya cerita yang dinanti untuk mengisi kesepian) aku masuk ke panggung. Panggung yang sunyi hanya beberapa pasangan yang berpelukan untuk memanaskan badan dek sejuknya air cond. Aku faham. Setelah ditayangkan beberapa sedutan tayangan akan datang dan iklan-iklan bagi mengisi kocek pemilik panggung maka bermulalah cerita BK. Dan, pop corn aku tinggalkan di kerusi kosong di sebelah.

Permulaan cerita membuatkan bulu-bulu di tengkok aku berdiri. Dan, terasa air mata ku bergenang. Bukan seram. Bukan sedih. Tapi terasa hebat dan terharunya bila akhirnya cerita yang hebat dapat ku saksikan di layar yang dibikin oleh generasi muda pembikin filem. Wan Azli benar-benar dapat membawa kita untuk mendekati cerita yang ingin disampaikan nantinya. Babak pertama dalam cerita 90 minit ini berjaya digarap dengan cemerlang hingga tak sedar 20 minit masa telah berlalu. Mengikat aku dikerusi. Terpaku. Akan tetapi melewati babak ke dua perjalanan ini terasa sedikit terganggu. Terasa seperti roda yang menyusuri jalan yang licin. Rodanya berpusing tapi kenderaan tidak bergerak. Atau, jika bergerakpun tidak selancar seperti yang diharap. Namun itu bukan halangan untuk aku terus memaku pandangan aku ke layar. Lakonan mantap pelakon memberi ruang untuk aku menikmati keindahan dari sudut yang lain. Dan, akhirnya aku menamatkan penontonan aku tanpa ada rasa kesal bersarang di dada.

Filem ini seolah-olah seperti meminjam semangat filem Man Bites Dog (1992). Filem mockumentary ini yang di hasilkan oleh 4 orang pelajar filem yang diarahkan oleh Remy Belvauk (mati bunuh diri pada 4 september 2006). Kononnya Tarantino minat gila dengan filem ni. Untuk faham kenapa aku kata meminjam semangat dari filem ini sila pergi ke kedai dvd, beli dan tonton.

Di sini izinkan aku terjemahkan pengalaman aku menonton BK. Wan Azli cuba bercerita dengan kita tentang persahabatan dan pengorbanan. Ini cerita cinta. Tapi bukan cinta biasa yang kita tonton di kaca tv mahupun di layar sebelum-sebelum ini. Ini realiti bagi sesetengah dari kita. Kita di bawa untuk mengenali watak Jaha dan Buchek rakan semasa kecil yang kini melayari bahtera kehidupan di kota Kuala Lumpur. Jaha hidupnya dipenuhi dengan kemungkaran dan Buchek yang masih suci memilih jalan yang lurus. Pertembungan dua watak ini membuatkan Buchek cuba untuk mengenali Jaha. Di pihak yang lain, Jaha cuba untuk mengajar Buchek apa itu kehidupan yang sebenarnya. Namun pertemuan semula yang singkat itu tidak dapat bertahan kerana minyak dan air tak mungkin dapat menyerap satu sama lain. Ketika Buchek melepaskan Chen Chen yang diculik oleh Jaha itu menjadi titik tolak perpisahan antara mereka. Jaha mula menerima Buchek tak akan boleh memahami dirinya. Mereka di haluan berbeza. Namun, pertemuan Jaha dengan Cik Nor kekasih Buchek mempertemukan semula dua sahabat tadi. Jaha memohon maaf atas tindakannya mengasari Buchek sebelum ini dan mengharapkan Buchek dapat memperkenalkan Cik Nor padanya. Memperlihatkan kesungguhan Jaha, Buchek berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertemukan Cik Nor dengan Jaha. Namun Cik Nor enggan menerima Jaha. Akhirnya Buchek mengatur pertemuan cik Nor dan Jaha. Ketika tarikh tersebut Jaha terlibat kemalangan dan meninggal. Buchek bila menerima berita itu mula jadi dingin dengan Cik nor dan di akhir cerita kita melihat Buchek pergi kepada Chen Chen. Ulasan di atas adalah secara apa yang tergambar di layar.

Namun apa yang membuatkan aku tertarik dengan filem ini bukan kisah pengorbanan seorang sahabat, bukan juga aksi-aksi ganas yang kelihatan real dengan penggunaan teknik handheld, bukan hanya lakonan mantap watak Jaha tetapi pemikiran Wan Azli dalam BK. Menonton BK kita dibawa untuk melihat cinta dari kaca mata Wan Azli. Bagi Wan Azli cinta terhadap tuhan dan persahabatan itu lebih mulia dari cinta terhadap wanita. Wanita hanyalah objek. Di sini secara terang kita diperlihatkan bagaimana Buchek tanpa ada masalah untuk memberi Cik Nor kepada Jaha. Dia sendiri merasakan jika Cik Su boleh membawa Jaha ke jalan yang lurus dia rela melepaskan cintanya itu. Apabila Buchek pergi kepada Chen Chen di akhir cerita seperti mencadangkan perrempuan (baca: barang) jika kita tidak dapat mengawalnya lebih baik ditinggalkan. Sifat Chen Chen yang melihat Buchek sebagai “tuan” seperti yang dicadangkan dalam adegan mimpi (sultan melaka dan hang li po; tidakkah hang li po itu hanya barang saja) menguatkan tafsiran ini. Berbalik pulak sifat Cik Su yang lebih cenderong untuk mengawal Buchek. Kata-kata Buchek semasa pertengkaran dalam kereta “bagi saya pulaklah yang pandu” membawa maksud “memimpin” (kita diperlihatkan Cik Nor yang memandu kereta itu). Dan, kerana itu dia meninggalkan Cik Nor dan pergi kepada Chen Chen. Banyak lagi cadangan di dalam filem ini yang melihat wanita itu hanya barang. Lihat pulak menerusi watak Jaha, bagaimana dia melayan wanita. Baginya wanita itu hanya barang yang dapat dimiliki dengan cara memunggutnya ditepi jalan. Namun antara Jaha dan Buchek mereka menggunakan “barang” dengan cara yang berbeza. Namun wanita tetap hanyalah objek. Wanita diciptakan dari tulang rusuk lelaki untuk dipimpin oleh lelaki itulah maksud tersirat BK. Filem ini adalah sebuah filem maskulin. Filem Jantan. Masih tak cukup untuk membuktikannya lihat saja kumpulan dikir barat tidakkah mereka maskulin.

Ini hanya pandangan aku mungkin Wan Azli tidak cuba menyatakan itupun. Mungkin dia hanya mahu menunjukan kisah kehidupan budak remaja yang koya best saja. Jika hanya itu yang diketengahkan maka Wan Azli hanyalah berbual kosong di kedai kopi untuk menghiburkan teman bualnya saja layaknya. Kerana bagi aku filem bukan hanya bercerita kosong tapi ianya datang dengan pemikiran.

p/s untuk Amir Muhammad yang menelepon aku selepas dia menonton BK malam semalam dan bertanya tentang kenapa Buchek pergi kepada Chen Chen di akhir cerita. Jawapannya sudah ku tulis di atas :)

kepada Danny tolong fahami watak anda kegagalan untuk berbuat itu sedikit sebanyak mencacatkan penceritan. Jangan marah bro kalau lu baca blog ni itu cuma pandangan :)

Selasa, 4 November 2008

Al-Jeffry masuk hospital

Baru dapat sms dari seorang sahabat Al-Jeffry (penulis skrip filem Paloh, PGL, Dukun) berada di hospital. Aku cuba telepon tapi tiada siapa yang angkat. Aku harapkan dia tak apa-apa. Kita doakan dia segera sembuh. Amin.

Ahad, 2 November 2008

Hari di mana penuh dengan maki-makian.

Jembalang, Jin aprit, Pocong, Antu raya, Pontianak harum sundal malam betul lah. Aku bengang! Betul-betul bengang sampai ke tahap bangang! Aku dah plan, petang nak tengok BK (Budak Kelantan) malam nak ke Rumah Pena ada MASKARA. Aku google kat internet cari panggung wayang yang paling dekat dengan rumah. TGV dan GSC saja yang tayang BK. TGV kat Kepong tak ada tapi GSC kat 1 Utama ada jam 5.15pm. Aku jeling kat sudut kiri bawah skrin laptop jam 4.30pm. Ok, sempat tu. 1 Utama New Wing. Oleh kerana kurang arifnya aku terhadap 1 Utama maka tidak lah aku tau mana letaknya New Wing. Maka google lah lagi aku. Setelah kerja-kerja penyelidikan aku selesai maka bertolaklah aku dengan segeranya. Adapun perjalanan aku itu jaraknya tidaklah jauh cuma sekapur sireh dikunyah sambil menghisap sebatang rokok gudang garam saja jika berjalan kaki. Maka seharusnya jika menunggang kelisa itu aku akan sampai lebih awal dari 5.15 pm. Namun alangkah sial, babi, anjing, telur ayam kemuruk betul di atas jalan itu banyak sungguh wira, satria, iswara, juara, waja, perdana, kancil ditambah dengan mitsubishi, honda, suzuki, toyota dan macam-macam kejadahnya maka ketika aku memasuki ruang parkir jam sudah menunjukan 5. 10 pm. Oleh kerana pada fikiran aku yang selalu juga tengok wayang mengatakan tayangan akan bermula 15 minit selepas pintu dibuka maka aku bergegaslah mencari petak parkir. Namun kejadah yang entah keberapa kali yang tersembur keluar dari mulut aku ni dari satu tingkat ke satu tingkat parkir semuanya penuh. Jadah! Berpusing-pusing harapkan ada kosong tapi tetap ******* !!! Dipendekkan maki hamun dan carut marut maka dapatlah aku satu petak parkir yang kosong. Masuk saja ke dalam New Wing aku betul-betul jadi newbie kat dalam tu. Aku cuma tau panggung tu kat tingkat 4 maka lagi sekali aku melilau kat tingkat 4 cari GSC. Setelah beberapa kali naik turun eskalator jumpalah juga aku akannya. Jam sudah 5.40pm. Aku tanya kat kaunter mamat kat situ cakap filem tu dah kat skrin 10 minit yang lalu. Dia senyum. Aku tak tau dia senyum pasal itu kerja dia atau dia senyum kat aku yang berpeluh sakan sedangkan dia berbaju kot. Maka dengan berat langkah aku menapak pergi ke eskalator sambil bernyanyi lagu Istana Menanti (Rahim Makrof) di dalam hati.
Sebelum balik ke rumah aku beli kereta api untuk anak aku. Sampai rumah aku hidupkannya tapi meletup-letup dalam hati aku dengan sumpah seranah pasal kereta api tu tak boleh jalan. Anak aku yang umurnya baru nak masuk 2 tahun 4 bulan tu pulak asyik sebut "ke ta ke ta kar" Pot.... Pot (kereta api lah tu). Maka lagi sekali aku menunggang kemarahan yang penuh maki-makian tu pergi semula ke New Wing untuk menukarnya dengan yang baru. Kali ini aku betul-betul pastikan kereta api itu akan bergerak, bunyi dan asapnya keluar. Sampai rumah jam sudah 9 malam. Dan, maka dengan itu tidaklah aku kesempatan pergi ke MASKARA. Mohon maaflah kat Hannem, Ajami dan lain-lain. Ikut hati mati ikut rasa binasa. Jadah!!!!

Sabtu, 1 November 2008

Perihal Tajuk Karya

Kelmarin aku ke cineleisure kat sebelah the curve tu. Hajat hati nak tengok Filem Budak Kelantan. Namun alangkah haram jadahnya, puas mata aku terkebil-kebil pandang skrin kat atas kaunter tiket nama filem tu tak keluar-keluar. Antu tetek betul. Aku yang tak puas hati terus telepon Wan Azli. Dia tak angkat. Lagi sekali haram jadah. Aku hantar sms tanya kenapa tak ada sambil turun ke tingkat bawah nak ke parking. Di tika dan saat itu maka terpandanglah oleh aku satu kedai buku yang sunyi sepi seperti baru dilanggar garuda. SUN MEG. Aku masuk melilau-lilau melihat buku-buku novel orang putih yang tersusun dirak tak terusik. Disebabkan aku jarang sangatlah ke kedai buku kecuali jika untuk mencari buku maka kedatangan aku kali ini menemui sesuatu yang aku tak pernah ambil pot sebelum ni. Tajuk dan nama penulis di novel ni membuatkan aku tawaf keseorangan di dalam kedai buku ni sambil diperhatikan oleh seorang pekerja yang kepala botaknya sesekali muncul di hadapan aku. Silau. Ada novel nama penulisnya lebih besar dari nama tajuknya dan ada yang tajuknya lebih besar dari nama penulisnya. Aku cuba ingatkan beberapa nama penulis secara random. Balik rumah aku google nama-nama ni kat internet. Aku berdepan dengan satu pernemuan. Penulis yang namanya lebih besar dicetak dari tajuk novel tu adalah terdiri dari penulis-penulis bestseller. Kata lainnya novel-novel mereka sebelum ini laris macam goreng pisang jadi penerbit cuba untuk menjual nama mereka bukannya karya mereka. Penulis yang namanya tercetak lebih kecil dari tajuk adalah terdiri dari penulis baru atau karya-karyanya sebelum ini akan berakhir kat kedai recycle saja layaknya. Ini dinamakan pemasaran. Ini juga berlaku dalam dunia perfileman kita hari ini. Dalam kes Budak Kelantan penerbit telah menukar judul asalnya (Koya Best) kerana merasakan nama Budak Kelantan yang bunyinya agak provokatif akan memanggil orang ke pawagan. Koya Best kononnya orang tak faham dan susah untuk mendapatkan khalayak. Wan Azli balas sms aku. Katanya dia baru habis nonton Budak Kelantan kat Times Square. Aku tanya "kat cineleisure tak ada ker?" dia balas "cuba tengok kat GSC atau TGV" Aku hantar "ramai tak orang kat panggung" dia balas "ada ler dalam sepuluh orang ha ha ha.." Aku diam. Aku tau ha ha ha dia tu bukan gelak orang yang sedang dalam gembira.

Aku : Jom kita pi tengok Budak Kelantan aku nak pi esok.