Kekuatan pada sesebuah filem terletak pada cerita. Aku percaya pada itu. Walau sehebat mana pelakonnya, seindah mana sinematografinya, sedahsyat mana lokasinya jika ceritanya tidak kuat ianya pasti memuakkan. Cerita yang kuat dibantu oleh pelakon yang hebat, sinematografi yang indah, lokasi yang dahsyat akan menjadikan sesebuah filem itu Wow!
Aku tau mesti ada yang akan kata tak semestinya. Pembikin filem eksperimental yang cuba menolak konsep cerita dalam filem mereka, pasti akan menuduh aku bangang. Jika berjumpa dengan aku, mereka ini akan keluarkan kahak dari tekak untuk meludah muka aku untuk menzahirkan rasa tak puas hati mereka terhadap aku. Atau, mungkin yang lebih bertimbang rasa hanya mengerat lidah aku untuk diberi makan pada anjing kerana bangangnya aku pada pandangan mereka. Tapi stop! Jangan buat tu dulu kat aku. Aku tak kata apa yang cuba dibikin oleh mereka tu salah. Mana ada salah dan betul dalam kerja seni. Aku cuma berkongsi pandangan aku yang bangang ni. Aku percaya semua kerja seni adalah untuk masyarakatnya. Setiap kerja seni itu berkongsi dengan masyarakat. Dalam filem penceritaan menjadi medium untuk perkongsian itu. Para pembikin filem eksperimental (yang cuba menafikan cerita) juga cuba bercerita dalam karya mereka. Mungkin cuma gaya penceritaannya agak berlainan. Mereka mungkin bercerita melalui imej-imej seperti sebuah lukisan abstrak yang turut juga mempunyai cerita di dalamnya. Persoalan di sini bukan ada cerita atau tidak tapi lebih kepada kekuatan cerita yang hendak disampaikan. Dan, itulah persoalannya. Kenapa persoalan ini aku bangkitkan? Percaya atau tidak kita sekarang ini menghadapi masalah untuk mencari cerita yang kuat untuk dikongsi dengan khalayak (baca ; masyarakat). Maka banyak sudah filem-filem yang dihasilkan (bukan semuanya) dan yang akan dihasilkan (juga bukan semuanya) mempunyai cerita yang longlai dan tak dapat mencerna pemikiran khalayak. Soalannya, Kenapa dan apa masalahnya? (ANDA DI MINTA MENJAWAB SOALAN INI).
Baru-baru ini aku berbual di telepon (selama rm 10 kad prabayar) dengan seorang rakan yang juga seorang pembikin filem. Dia orang baru dalam industri filem tapi bukan baru sangatlah dalam dunia filem. Dia belajar filem di sekolah filem cuma baru dapat peluang mengarah sebuah filem. Dan, filem yang pernah dihasilkan diperkatakan oleh banyak pihak juga. Baru-baru ini dia dapat tawaran untuk mengarah sebuah lagi filem tapi dia dalam dilema. Ceritanya hancur. Dia cuba untuk menulis semula cerita itu tapi agak tidak disenangi oleh penerbit. Penerbit mahu dia kekalkan cerita tersebut. Bagi sahabat aku ni, dia sangat yakin jika dia mengarah filem tersebut dia akan menjerumuskan dirinya ke dalam kedurjanaan yang boleh merosakkan kredibilitinya sebagai pengkarya. Apa yang harus dilakukan olehnya? Aku cuma katakan cubalah dulu untuk yakinkan penerbit tu bahawa ceritanya teruk dan cuba beri jalan untuk mengatasinya. Buatkan dia percaya cerita yang ditulis semula itu akan jadi lebih baik dari yang asal. Jika dia tetap berdegil sahabat aku mempunyai dua pilihan; 1. Mengarah filem itu sebagai satu kerja dan terima gajinya. Risikonya dia akan kehilangan hormat dikalangan pencinta filem. Dan, 2. Dia menolak tawaran tersebut. Risikonya dia akan mula dilihat sebagai pengarah yang poyo dikalangan penerbit kerana industri kita kecil sesangat. Soalannya, Jadi apa yang dia harus lakukan? (ANDA DI MINTA MENJAWAB SOALAN INI).
Nota tumit kaki kiri : Catatan di atas mempunyai dua persoalan yang tidak diberi penyelesaian oleh pengarang. Anda dikehendaki menjawab ke dua-dua soalan tersebut. Terima Kaseh.