Memaparkan catatan dengan label filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label filem. Papar semua catatan

Rabu, 3 Disember 2008

GADOH

Pagi nanti aku akan ke lokasi pengambaran GADOH. Projek ini bermula dengan perbincangan dengan penerbit (Anna Har) beberapa bulan yang lalu. Syarikatnya Big Picture mendapat grant untuk shoot sebuah feature yang cuba mengupas isu kaum di Malaysia. Masa pertemuan itu aku memberikan beberapa idea cerita tentang isu itu. Mereka suka. Dan, suruh aku tulis skrip dan mengarahkannya. Masa tu juga aku agak sibuk jadi aku cadangkan skrip tu ditulis bersama seorang lagi penulis (R.Cong). Kemudiannya, Brenda Denker yang merupakan partner dalam Big Picture menyatakan hasrat untuk turut mengarah bersama. Aku pernah berkerja bersama dengan Brenda sebelum ni dalam telefilem Aku Nak Jadi Siti. Aku berlakon, dia pengarah. Ketika aku dengar minatnya untuk mengarah bersama aku mula hilang minat untuk mengarah. Bukan aku ada sebarang masalah dengan caranya berkerja cuma aku tiba-tiba rasa sensitif. Aku rasa dia macam ambil kesempatan pulak. Maka aku tidak lagi beri tumpuan terhadap projek ini. Dan, akhirnya aku tarik diri sebagai pengarah dan penulis. Disebabkan diaorang nak juga aku terlibat maka aku menerima tawaran untuk berlakon saja. Lagipun aku agak sibuk.

Dua minggu lepas dalam satu pertemuan diaorang lahirkan rasa kecewa dengan aku. Mereka rasakan aku bagai menganaktirikan projek ni sedangkan mereka sangat berharap dapat berkolaborasi dengan aku. Bila mereka mula mungungkitnya akupun mendedahkan kekecewaan aku terhadap mereka. Aku katakan aku hilang minat kerana tindakan mereka seperti tidak menghormati aku ketika aku bersungguh-sunggh mahu melakukannya. Selepas masing-masing mencurahkan segalanya dari hati ke hati. Segalanya selesai. Sebelum balik sekali lagi mereka suruh aku memikirkan tentang kerja pengarahan dan penulisan tu. Dan, akhirnya sekeras hati aku ni rupanya hanya sekeras kerak nasi. Aku terima juga tawaran itu. Dua minggu yang lalu aku menulis semula skrip yang dihasilkan oleh R.Cong. Pagi ini aku akan mengarahnya bersama Brenda dan turut berlakon di dalamnya. Gadoh akan menjadi projek ke 4 aku selepas Gedebe - indiemovie (2001), Rembat - telefilem (2007) dan AYAH KENAPA TAK TANAM PISANG LAGI? - 15 minute short (2008).

Melalui AYAH KENAPA TAK TANAM PISANG LAGI? membuatkan Big Picture mahu berkolaborasi dengan aku. Aku setuju untuk bikin ini cerita kerana aku mahu belajar bikin filem. "to learn making film is to make another one". Itulah cara aku belajar filem kerana aku tidak masuk sekolah filem. Aku sangat-sangat berharap dapat memperolehi ilmu yang berguna dalam pembikinan Gadoh untuk persiapkan diri bagi menembak Matderihkolaperlih pada tahun hadapan. Insyallah.

Ahad, 9 November 2008

Cerita dalam filem

Kekuatan pada sesebuah filem terletak pada cerita. Aku percaya pada itu. Walau sehebat mana pelakonnya, seindah mana sinematografinya, sedahsyat mana lokasinya jika ceritanya tidak kuat ianya pasti memuakkan. Cerita yang kuat dibantu oleh pelakon yang hebat, sinematografi yang indah, lokasi yang dahsyat akan menjadikan sesebuah filem itu Wow!
Aku tau mesti ada yang akan kata tak semestinya. Pembikin filem eksperimental yang cuba menolak konsep cerita dalam filem mereka, pasti akan menuduh aku bangang. Jika berjumpa dengan aku, mereka ini akan keluarkan kahak dari tekak untuk meludah muka aku untuk menzahirkan rasa tak puas hati mereka terhadap aku. Atau, mungkin yang lebih bertimbang rasa hanya mengerat lidah aku untuk diberi makan pada anjing kerana bangangnya aku pada pandangan mereka. Tapi stop! Jangan buat tu dulu kat aku. Aku tak kata apa yang cuba dibikin oleh mereka tu salah. Mana ada salah dan betul dalam kerja seni. Aku cuma berkongsi pandangan aku yang bangang ni. Aku percaya semua kerja seni adalah untuk masyarakatnya. Setiap kerja seni itu berkongsi dengan masyarakat. Dalam filem penceritaan menjadi medium untuk perkongsian itu. Para pembikin filem eksperimental (yang cuba menafikan cerita) juga cuba bercerita dalam karya mereka. Mungkin cuma gaya penceritaannya agak berlainan. Mereka mungkin bercerita melalui imej-imej seperti sebuah lukisan abstrak yang turut juga mempunyai cerita di dalamnya. Persoalan di sini bukan ada cerita atau tidak tapi lebih kepada kekuatan cerita yang hendak disampaikan. Dan, itulah persoalannya. Kenapa persoalan ini aku bangkitkan? Percaya atau tidak kita sekarang ini menghadapi masalah untuk mencari cerita yang kuat untuk dikongsi dengan khalayak (baca ; masyarakat). Maka banyak sudah filem-filem yang dihasilkan (bukan semuanya) dan yang akan dihasilkan (juga bukan semuanya) mempunyai cerita yang longlai dan tak dapat mencerna pemikiran khalayak. Soalannya, Kenapa dan apa masalahnya? (ANDA DI MINTA MENJAWAB SOALAN INI).

Baru-baru ini aku berbual di telepon (selama rm 10 kad prabayar) dengan seorang rakan yang juga seorang pembikin filem. Dia orang baru dalam industri filem tapi bukan baru sangatlah dalam dunia filem. Dia belajar filem di sekolah filem cuma baru dapat peluang mengarah sebuah filem. Dan, filem yang pernah dihasilkan diperkatakan oleh banyak pihak juga. Baru-baru ini dia dapat tawaran untuk mengarah sebuah lagi filem tapi dia dalam dilema. Ceritanya hancur. Dia cuba untuk menulis semula cerita itu tapi agak tidak disenangi oleh penerbit. Penerbit mahu dia kekalkan cerita tersebut. Bagi sahabat aku ni, dia sangat yakin jika dia mengarah filem tersebut dia akan menjerumuskan dirinya ke dalam kedurjanaan yang boleh merosakkan kredibilitinya sebagai pengkarya. Apa yang harus dilakukan olehnya? Aku cuma katakan cubalah dulu untuk yakinkan penerbit tu bahawa ceritanya teruk dan cuba beri jalan untuk mengatasinya. Buatkan dia percaya cerita yang ditulis semula itu akan jadi lebih baik dari yang asal. Jika dia tetap berdegil sahabat aku mempunyai dua pilihan; 1. Mengarah filem itu sebagai satu kerja dan terima gajinya. Risikonya dia akan kehilangan hormat dikalangan pencinta filem. Dan, 2. Dia menolak tawaran tersebut. Risikonya dia akan mula dilihat sebagai pengarah yang poyo dikalangan penerbit kerana industri kita kecil sesangat. Soalannya, Jadi apa yang dia harus lakukan? (ANDA DI MINTA MENJAWAB SOALAN INI).

Nota tumit kaki kiri : Catatan di atas mempunyai dua persoalan yang tidak diberi penyelesaian oleh pengarang. Anda dikehendaki menjawab ke dua-dua soalan tersebut. Terima Kaseh.

Sabtu, 1 November 2008

Perihal Tajuk Karya

Kelmarin aku ke cineleisure kat sebelah the curve tu. Hajat hati nak tengok Filem Budak Kelantan. Namun alangkah haram jadahnya, puas mata aku terkebil-kebil pandang skrin kat atas kaunter tiket nama filem tu tak keluar-keluar. Antu tetek betul. Aku yang tak puas hati terus telepon Wan Azli. Dia tak angkat. Lagi sekali haram jadah. Aku hantar sms tanya kenapa tak ada sambil turun ke tingkat bawah nak ke parking. Di tika dan saat itu maka terpandanglah oleh aku satu kedai buku yang sunyi sepi seperti baru dilanggar garuda. SUN MEG. Aku masuk melilau-lilau melihat buku-buku novel orang putih yang tersusun dirak tak terusik. Disebabkan aku jarang sangatlah ke kedai buku kecuali jika untuk mencari buku maka kedatangan aku kali ini menemui sesuatu yang aku tak pernah ambil pot sebelum ni. Tajuk dan nama penulis di novel ni membuatkan aku tawaf keseorangan di dalam kedai buku ni sambil diperhatikan oleh seorang pekerja yang kepala botaknya sesekali muncul di hadapan aku. Silau. Ada novel nama penulisnya lebih besar dari nama tajuknya dan ada yang tajuknya lebih besar dari nama penulisnya. Aku cuba ingatkan beberapa nama penulis secara random. Balik rumah aku google nama-nama ni kat internet. Aku berdepan dengan satu pernemuan. Penulis yang namanya lebih besar dicetak dari tajuk novel tu adalah terdiri dari penulis-penulis bestseller. Kata lainnya novel-novel mereka sebelum ini laris macam goreng pisang jadi penerbit cuba untuk menjual nama mereka bukannya karya mereka. Penulis yang namanya tercetak lebih kecil dari tajuk adalah terdiri dari penulis baru atau karya-karyanya sebelum ini akan berakhir kat kedai recycle saja layaknya. Ini dinamakan pemasaran. Ini juga berlaku dalam dunia perfileman kita hari ini. Dalam kes Budak Kelantan penerbit telah menukar judul asalnya (Koya Best) kerana merasakan nama Budak Kelantan yang bunyinya agak provokatif akan memanggil orang ke pawagan. Koya Best kononnya orang tak faham dan susah untuk mendapatkan khalayak. Wan Azli balas sms aku. Katanya dia baru habis nonton Budak Kelantan kat Times Square. Aku tanya "kat cineleisure tak ada ker?" dia balas "cuba tengok kat GSC atau TGV" Aku hantar "ramai tak orang kat panggung" dia balas "ada ler dalam sepuluh orang ha ha ha.." Aku diam. Aku tau ha ha ha dia tu bukan gelak orang yang sedang dalam gembira.

Aku : Jom kita pi tengok Budak Kelantan aku nak pi esok.