TANDA pertama kali dipentaskan ketika ujian semester akhir pelajar-pelajar ASWARA bagi kursus Produksi Teater Eksperimental, di Black Box, Aswara pada tahun 2007. Ketika itu aku merupakan pensyarah dan pembimbing kursus tersebut. Sepanjang semester kami bereksperimen mencari jalan bagaimana untuk berkerja di dalam teater kolaborasi yang akan menampilkan beberapa orang pengarah di dalam sebuah persembahan. Hasil dari eksperimentasi itu maka terciptalah sebuah struktur persembahan yang memungkinkan para pengarah ini berkolaborasi bersama pelakon dan tenaga produksi yang lain. Persembahan Teater TANDA.
Gaya berteater secara kolaborasi menjadi satu gerakan teater yang sedang melanda seluruh dunia. Berteater cara begini bukan saja cuba untuk menghasilkan sebuah persembahan yang mantap tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita sebagai manusia belajar untuk hidup dan berkerja bersama. Bagi kolaborasi antara dua atau lebih negara berbeza secara amnya mereka cuba untuk memahami budaya dan bangsa asing. Proses intercultural ini sudah lama diamalkan dan ia pernah menjadi alat politik bagi mengeratkan hubungan antara negara. Bagaimanapun baru-baru ini beberapa pengiat dan aktivis teater mula melaungkan perkataan "Intraculturul". Jika intercultural hanyalah persembahan antara budaya dari bangsa dan negara berbeza, intracultural pula berlaku di dalam negara dan bangsa yang mengamalkan budaya yang sama. Nampak seperti intercultural lebih besar dan luas tapi itu hanya luarannya sahaja. Intracultural yang dilihat sempit itu sebenarnya lebih penting nilainya untuk digayakan dalam proses kreatif kerja seni tanpa sebarang kepentingan politik dibelakangnya. Mengajar kita untuk mengenali lebih mendalam erti kehidupan yang sebenar.
Lalu persembahan teater TANDA ini menjadi sebuah kerja kolaborasi secara intracultural. Bagi menggabungkan kerja enam orang pengarah, walaupun datang dari bangsa dan negara yang sama, ianya bukanlah satu tugasan mudah. Kami harus berkerja dengan satu struktur penceritaan yang mampu memuatkan pemikiran kami. Oleh itu hanya satu proses kerja yang sesuai untuk dipraktikkan dalam pementasan demikian; devised play.
Bermula dengan memilih isu akhir zaman dan melihat semula tanda-tanda yang hadir dari sudut agama (Islam) dan sains. Setiap pengarah akan dipecahkan untuk mengerjakan tanda-tanda tersebut secara berasingan. Sementara seorang dari mereka akan mengarahkan satu persembahan transisi bagi mencantumkan setiap tanda-tanda yang dikerjakan oleh yang lain. Ketika peringkat mencantum semua pengarah duduk bersama untuk memastikan pencantuman itu berlaku dengan sempurna kerana kesudahannya ia akan menjadi satu persembahan.
Di atas kertas TANDA akan kelihatan seperti sebuah cerita di mana ketika manusia mulai hilang harapan dan jasad sudah tidak berjiwa mereka mulai melakukan perkara-perkara yang menyumbang kepada pencemaran alam. Bumi yang makin tercemar tak dihiraukan oleh manusia. Bumi turut menunjukkan tanda-tanda yang hayatnya sudah dihujung namun manusia-manusia ini tidak pernah memberi perhatian. Sehingga akhirnya bumi itu menunggu saat untuk musnah bagaimanakah manusia-manusia itu menghadapinya. Itu persoalannya.
Struktur persembahan TANDA merupakan sebuah persembahan ensamble yang melakukan gerak fizikal bagi menyampaikan cerita atau isu. Ensamble ini yang mewakili orang ramai di dalam kehidupan harian akan menjadi teras utama terhadap keseluruhan persembahan. Ensamble ini juga akan berpecah menjadi cabang-cabang cerita/isu yang menyokong teras utama ini untuk bergerak hingga ke hujung persembahan. Akhirnya TANDA akan menjadi sebuah persembahan dengan satu penceritaan yang diarahkan oleh 6 pengarah.
Di dalam TANDA, multimedia menjadi peranan penting dalam penceritaan. Multimedia bukan hanya sekadar untuk tayangan tetapi membantu memberi visual, mood dan efek kepada cerita yang ingin disampaikan. Sebanyak 5 buah projektor dan video kamera bersama miniture set akan digunakan bagi merealisasikan persembahan ini. Muzik juga memainkan peranan yang sama penting seperti multimedia. Di dalam TANDA muzik akan dimainkan secara langsung di atas pentas bagi mengiringi persembahan.
Persembahan TANDA kali ini akan menjadi siri teater kompilasi yang paling mencabar untuk RAT. TANDA kali ini menggunakan komitmen hampir 20 orang pelakon dan 6 orang pengarah. Menjadikannya sebuah persembahan dengan satu penceritaan yang bukan mudah untuk dikerjakan. Namun komitmen yang diberikan oleh tenaga produksi amat tinggi bagi memastikan persembahan ini akan berada pada tahap yang sepatutnya dan menjadikan persembahan Teater Kompilasi Vol 3 TANDA amat berbaloi untuk ditonton. Selamat Menonton.
dicatat oleh
Nam Ron
Pengarah Artistik RAT
6 ulasan:
hang kalau tak buat entri, berbulan tak buat entri. Kalau buat entri, tak sempat aku nak bukak tengok, dah berjabu entri baru.
Anyway, aku setuju dengan gagasan hang tu. Sambung lekaih!
idealismenya lazat tak terkira!
kursuslah. bukannya krusus. he he.
akan diperbetulkan terima kasih. he he he
gua baru dengar kes kat aswara... gua panas gak ni....
ha ah.
aku tak tau apa cerita ni, cerita la skit.
mujur orang hang cekap call aku awai, kalau tak aku mai dari penang baru tau, lagi la aku panaih.
Catat Ulasan