Selasa, 21 Oktober 2008

Samsiah Fakeh damailah kamu di sana.

Hujan turun setiap hari sejak kebelakangan ni rupanya memberi satu pertanda. Kehilangan. Pagi tadi aku terima sms (sebenarnya tengahari kerana phone aku mampuih pasal tak cas semalam) dari al-Jafree (penulis skrip filem paloh, dukun.....) tentang pemergian Samsiah Fakeh meninggalkan kita selama-lamanya menghadap ilahi. Samsiah Fakeh untuk yang tak mengenalinya adalah tokoh perjuang kemerdekaan yang sengaja dilupakan (oleh pemerintah)kerana perbedaan ideologi. Dia adalah salah seorang perjuang tulen yang tak pernah takut untuk tunduk dengan penjajah, tidak seperti tokoh-tokoh yang kita baca dalam buku sejarah kat sekolah dulu yang sehingga kini dijulang kerana kononnya berjaya mendapat kermerdekaan tanpa pertumpahan darah (setelah bersedudukan dengan inggeris). Kita diajar untuk menganggap mereka wira dan orang-orang seperti Samsiah Fakeh itu penjahat. Dan, kita percaya!

Aku sendiri sewaktu di alam persekolahan percaya apa yang ditulis di dalam buku sejarah. Apatah lagi sejarah adalah subjek kegemaran aku. Membaca sejarah seperti membaca sebuah cerita dengan tokoh-tokoh (watak-watak) yang menghidupkan cerita itu. Aku khayal dengan dongengan itu. Apabila makin dewasa aku mulai menemui beberapa kebenaran lain yang disembunyikan oleh pemerintah antaranya adalah kisah-kisah tentang perjuangan tokoh-tokoh seperti Samsiah Fakeh. Setelah mengetahui kebenaran ini aku menjadi kagum dengan orang sepertinya.

21 november tahun lepas adalah hari lahir aku yang ke 38. Aku tak akan lupakan tarikh itu kerana hari itu aku mendapat hadiah hari lahir yang paling bernilai dalam hidup aku. Bertemu dengan Samsiah Fakeh. Hanya kebetulan juga melalui ajakan dari al Jeffree untuk melawat Samsiah Fakeh yang waktu itu terlantar di HUKM. Pertemuan singkat aku dan dia membuatkan mata aku bergenang. Walau sakit, ketika melihat kami tiba dia menggagahkan dirinya untuk duduk dengan dibantu oleh seorang pembantu warga indonesia yang sentiasa menemaninya. Ketika itu kemampuan dia untuk berkomunikasi melalui kata-kata sudah terbatas. Setiap pertanyaan yang dilontarkan ia akan membalasnya melalui tulisan di buku notanya. begitulah cara kami berkomunikasi. Dalam pertemuan singkat itu aku sempat meluahkan penghargaan aku terhadap perjuangannya. Aku turut nyatakan bahawa hari itu adalah hari lahir aku dan saat itu adalah hadiah yang paling bernilai. Dia memandang wajah aku. Dalam matanya aku melihat penderitaan yang dia lalui. Aku memegang tangannya yang berkedut dan menciumnya. Tangan yang mengangkat senjata untuk mempertahankan tanah air yang tercinta. Dan, akhirnya terbuang di negara asing di atas pengorbanannya itu. Di lewat usia senja dia korbankan maruahnya dengan memohon pengampunan untuk kembali ke tanah airnya sendiri. Dan, sekarang dia sudah tiada lagi yang tinggal hanya semangatnya yang membakar di jiwa mereka yang memahami perjuangannya itu. Al fatihah.

Isnin, 20 Oktober 2008

Makan-Makan


Aku dan Jun tengok TV cerita orang putih. Ada adegan makan. Diaorang makan steaks. Jun tanya kenyang ke? Aku kata kenyang! Ketika tu fikiran aku berputar kembali ke zaman kanak-kanak. Mak selalu marah kalu ratah lauk. Dia suruh makan nasi lauk tu cubit sikit-sikit saja takut tak kenyang nantinya. Kita selalu makan untuk kenyang bukan kerana khasiatnya. Kita diajar begitu. Mungkin kerana kita susah lauk pauk tu mahal jadi makan nasi lebih menjimatkan yang penting perut tak keroncong. Sumbat, sumbat, sumbat... kenyang, dah selesai. Nasi juga sumber karbohidrat untuk beri tenaga mengerjakan sawah dan lain-lain perkerjaan yang memerlukan tenaga/keringat. Segala bentuk daging memberi protein bagi membina otot dan tubuh badan kita. Berdasarkan ini mungkin sebab tu orang putih tubuh dia nala punya besar berbanding dengan tubuh orang kita. Pemuda-pemuda Jepun juga sudah bertubuh besar dan tinggi tak seperti fizikal generasi masa dulu (yang pernah digelar wak pendek) perubahan ini belaku kerana perubahan permakanan diaorang (lepas kalah perang orang putih masuk Jepun bawa masuk makanan diaorang sekali sekarang ni orang jepun dah memuja orang putih apa yang orang putih buat diaorang nak buat, makanpun diaorang ikut). Mentaliti kita terhadap makanan masih belum berubah tengok saja ahli sukan yang praktis kat luar negara semuanya tak tahan duk kat sana pasal rindu nak makan nasi... Tapi ada hati nak main sport kat luar negara tubuh kemetot macam mana nak saing orang putih....alahai!!!

MAKAN STEAK
Malam tu aku pergi ke pasaraya kat rumah aku. Aku beli sepotong daging lembu setebal 1 inci dan besar sedikit dari tapak tangan aku. Harganya dekat 8 ringgit seketul (aku rasa ni adalah salah satu faktor utama kenapa kita tak jadikannya makan ruji). Balik rumah aku perapkan dengan rempah ratus selepas aku cucuk-cucuk daging tu dengan grafu. Aku panaskan kuali letak minyak... aku masak steak. Bila dah steak tu hampir masak aku pecahkan dua biji telur ke dalam kuali. Bila betul-betul dah masak aku angkat letak dalam pinggan. Aku dan Jun makan steak tu. Kenyang! Lepas tu kami melayan kepala yang kenuning (pening-pening lalat)....

CARA-CARA MEMASAK STEAK

Bahan-bahan
Sepotong daging lembu setebal 1 inci
Garam, lada sulah, bawang putih (serbuk) atau beli saja Sos Honsin jenama Lee Kum Nam.
minyak masak atau mentega.

Cara-cara memasaknya
Basuh daging dengan air kemudian cucuk-cucukkan dia dengan grafu. Alih. Cucuk pulak sebelah lagi hingga semua bahagian daging tu tertusuk oleh grafu itu. Lumurkan garam dan lada sulah kat dua-dua bahagian tersebut atau lumurkan sos Honsin tu. Letak kuali, nyalakan api (sederhana) masukkan minyak atau mentega. Masukan daging kemudian alih-alihkannya jangan biar terlalu lama kat satu-satu bahagian nanti hangus rasa pahitlah pula steak tu. Bila hampir masak masukkan telur (pilihan) jika nak kalau tak nak boleh dimakan begitu saja.

Jumaat, 17 Oktober 2008

1978

Beginilah aku jika sekarang ini tahun 1978!

Khamis, 16 Oktober 2008

Mereka Masih Muda

F.J dan Z.A dua orang muda yang darahnya panas mengalir kencang di setiap urat yang bersimpang siur di bawah kulit tegang mereka. Aku duduk mendengar mereka bersemangat mahu mengubah dunia.Sistem. Mereka mahu jadikan negara ini menjadi sebuah tempat yang lebih baik untuk didiami. Aku katakan mereka takan mampu mengubahnya. Tak mudah mereka menerimanya. Mereka percaya mereka mampu melakukannya. Mereka orang muda. Mereka tahu mereka mampu. Aku nafikan. Mereka kurang senang walau tidak menunjuknya. Aku makin tua. Lalu aku katakan kalau betul mahu mengubahnya mereka harus jadi jahat. Jahat? Jahat... Letuplah bangunan-bangunan, hilangkan punca pendapatan para pekerja yang bergantung hidup berkerja di dalamnya. Bakarlah ladang-ladang pertanian, supaya orang yang bergantung hidup dengan perkerjaan mereka tak boleh cari makan. Jadikan keadaan hura-hara, kemiskinan, kebuluran, penindasan. Kenapa? hanya orang-orang yang hidupnya benar-benar susah dan merasa tertekan sahaja yang akan bangun menentang sistem yang tidak mampu menberi keselesaan dalam kehidupan mereka. Selagi majoriti rakyat yang hidup di negara ini selesa dengan kehidupan mereka pihak minoriti yang hidupnya susah hanya mampu menghempas penumbuk di meja kedai kopi menyatakan kerajaan yang ada harus ditukar. Hanya setakat itu. Aku makin tua. Mereka masih muda.

Rabu, 15 Oktober 2008

Sakit di hari raya

Aku baru baik dari sakit. Ya! Aku sakit lagi, ketika orang ramai yang beragama islam (atau merasakan dirinya islam) menyambut hari raya aku sakit lagi. Seluruh tubuh aku jadi tak bermaya walau berdozen pil aku dah telan. Lebih dari seminggu aku terbaring lesu. Hari ini adalah hari ke lima aku betul-betul baik dari sakit. Aku betul-betul sudah kembali bersemangat sebab tu aku menulis entri ni, kalau tak jangan harap buka laptop pun aku malas.

Kalau benar sakit itu menghapuskan dosa-dosa kecil… Berapa banyak dosa-dosa kecil yang aku dah buat (yang besar tak kira lagi tu. alahai!)

Sabtu, 27 September 2008

Bisikan cinta untuk Pencipta

Bisikanlah cinta berahimu
pada yang Maha Pencipta
jangan biarkan angin membawa suaramu
singgah ke telinga tetangga
nanti cintamu tak berbalas.

Aku Masih Ketakutan

Hari ni kurang sedikit ketakutan aku ni tak seperti hari pertama dulu. Setelah mengaulinya aku mulai menikmatinya. Takut untuk mengatakan sesuatu di tempat yang telah diwartakan tidak boleh berkata-kata adalah seperti ketakutan ketika kali pertama ingin merasa nikmatnya menguncup bibir si perawan pingitan. Kali pertama melakukannya debar di dada bagai taufan menampar laut menghempas pantai dan aku berdiri di atas seketul batu dipinggirnya. Selepas berkali-kali melakukannya terasa seperti mengulum bibir perawan pingitan sambil memikirkan ayahnya yang bermisai tebal. Atau, seperti mengintainya mandi telanjang tapi takut ketahuan. Rasa takut dan seronok yang dinikmati dalam masa yang sama telah mengalirkan anderlin dan membuatkan kita teruja. Sama seperti sakit, jika kesakitan itu sampai keperingkat yang maksimun kita juga mula menikmatinya dan menjadi satu keseronokan. Bagaimanapun ketakutan itu tidak terus hilang dia masih melekat di secebis hati keras ini kerana aku sering kali ditakutkan untuk berkata apa yang ku rasa benar. Begitu juga kamu.