Selasa, 21 Oktober 2008

Samsiah Fakeh damailah kamu di sana.

Hujan turun setiap hari sejak kebelakangan ni rupanya memberi satu pertanda. Kehilangan. Pagi tadi aku terima sms (sebenarnya tengahari kerana phone aku mampuih pasal tak cas semalam) dari al-Jafree (penulis skrip filem paloh, dukun.....) tentang pemergian Samsiah Fakeh meninggalkan kita selama-lamanya menghadap ilahi. Samsiah Fakeh untuk yang tak mengenalinya adalah tokoh perjuang kemerdekaan yang sengaja dilupakan (oleh pemerintah)kerana perbedaan ideologi. Dia adalah salah seorang perjuang tulen yang tak pernah takut untuk tunduk dengan penjajah, tidak seperti tokoh-tokoh yang kita baca dalam buku sejarah kat sekolah dulu yang sehingga kini dijulang kerana kononnya berjaya mendapat kermerdekaan tanpa pertumpahan darah (setelah bersedudukan dengan inggeris). Kita diajar untuk menganggap mereka wira dan orang-orang seperti Samsiah Fakeh itu penjahat. Dan, kita percaya!

Aku sendiri sewaktu di alam persekolahan percaya apa yang ditulis di dalam buku sejarah. Apatah lagi sejarah adalah subjek kegemaran aku. Membaca sejarah seperti membaca sebuah cerita dengan tokoh-tokoh (watak-watak) yang menghidupkan cerita itu. Aku khayal dengan dongengan itu. Apabila makin dewasa aku mulai menemui beberapa kebenaran lain yang disembunyikan oleh pemerintah antaranya adalah kisah-kisah tentang perjuangan tokoh-tokoh seperti Samsiah Fakeh. Setelah mengetahui kebenaran ini aku menjadi kagum dengan orang sepertinya.

21 november tahun lepas adalah hari lahir aku yang ke 38. Aku tak akan lupakan tarikh itu kerana hari itu aku mendapat hadiah hari lahir yang paling bernilai dalam hidup aku. Bertemu dengan Samsiah Fakeh. Hanya kebetulan juga melalui ajakan dari al Jeffree untuk melawat Samsiah Fakeh yang waktu itu terlantar di HUKM. Pertemuan singkat aku dan dia membuatkan mata aku bergenang. Walau sakit, ketika melihat kami tiba dia menggagahkan dirinya untuk duduk dengan dibantu oleh seorang pembantu warga indonesia yang sentiasa menemaninya. Ketika itu kemampuan dia untuk berkomunikasi melalui kata-kata sudah terbatas. Setiap pertanyaan yang dilontarkan ia akan membalasnya melalui tulisan di buku notanya. begitulah cara kami berkomunikasi. Dalam pertemuan singkat itu aku sempat meluahkan penghargaan aku terhadap perjuangannya. Aku turut nyatakan bahawa hari itu adalah hari lahir aku dan saat itu adalah hadiah yang paling bernilai. Dia memandang wajah aku. Dalam matanya aku melihat penderitaan yang dia lalui. Aku memegang tangannya yang berkedut dan menciumnya. Tangan yang mengangkat senjata untuk mempertahankan tanah air yang tercinta. Dan, akhirnya terbuang di negara asing di atas pengorbanannya itu. Di lewat usia senja dia korbankan maruahnya dengan memohon pengampunan untuk kembali ke tanah airnya sendiri. Dan, sekarang dia sudah tiada lagi yang tinggal hanya semangatnya yang membakar di jiwa mereka yang memahami perjuangannya itu. Al fatihah.

3 ulasan:

lenny berkata...

:-(
Sudah meninggal dunia? Saya pun sedang cuba mengkaji semula perjuangan mereka. Walaupun bukan kajian formal tetapi saya bersungguh. Ada usaha pihak tertentu membuka mata masyarakat untuk menilai kembali perjangan Shamsiah Fakeh and the gang. Tapi nampaknya dia tak sempat menikmatinya. Al-Fatihah.

Pegawai Khalwat berkata...

Amin!

Aku kehilangan kata-kata.

IZZY berkata...

tringin nk taw ksah sbnrnye....

*Al-Fatihah....