Khamis, 23 Oktober 2008

Teater Animal Farm

Beberapa hari yang lalu aku menonton beberapa pementasan teater di sekitar KL. Sebenarnya agak lama aku tak pergi menonton teater kerana komitmen terhadap kerja-kerja kreatif aku sendiri dan kerja-kerja ibadah untuk menyara keluarga. Dalam masa seminggu aku menonton 4 pementasan teater 3 hari berturut-turut. 2 pementasan dihasilkan oleh pelajar. 2 lagi pementasan oleh produksi yang penuh dengan pengalaman dan telah di establish kewujudan mereka di persada seni teater Malaysia. Agak penat tapi puas.

ANIMAL FARM
Teater ini dipentaskan oleh Pentas Project Theatre Production (PPTP) di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) diarahkan oleh anak muda bernama Loh Kok Man (muda pada usia tidak pada pengalaman) yang juga merupakan pengasas dan pengarah artistik PPTP. Animal Farm adalah adaptasi dari novel (yang sama judulnya) oleh George Orwell atau nama penuh Eric Arthur Blair (1903-1950) seorang penulis Inggeris. Novel ini diterbitkan pada 17 ogos 1945 di British ketika bermulanya perang dingin (novel ini siap ditulis pada april 1944 tapi gagal diterbitkan kerana ketika itu British dan Soviet Union masih sekutu dalam perang dunia ke dua 1939-1945). Orwell menghasilkan Animal Farm untuk mengkritik Joseph Stalin yang mengamalkan pemerintahan berbentuk totalitarianisme (totalitarianisme adalah satu konsep bagi menerangkan sistem politik di mana negara mempunyai kuasa penuh untuk mengawal hampir setiap aspek kehidupan rakyatnya). Orwell adalah seorang demokratik sosialis dan menganggotai ILP (Independent Labour Party) sebuah parti politik berhaluan kiri di UK. Ketika tercetusnya Spanish Civil War (1936-39) – baca soviet union/komunis vs fascist/nazi-, Orwell menyertai NKVD (sebuah pertubuhan polis rahsia kesatuan soviet) yang berpihak kepada Republic disokong oleh Kesatuan Soviet (Republic kalah dalam perang ini bermulanya perang dunia ke 2). Pengalaman yang dikutip olehnya semasa peperangan ini membuatkan Orwell mula melihat kepincangan dalam pemerintahan Stalin yang baginya bersifat totalitarianisme. Kekecewaanya juga membawa kepada pengundurannya dalam ILP. Baginya Stalinisme telah jauh menyimpang dari idelogi asal sosialisme/marxisme. Lalu dia menghasilkan Animal Farm bagi mengkritik Stalinisme. Melalui watak-watak binatang ternakan, Orwell bercerita tentang kekorupan/penyalahgunaan kuasa semasa Kesatuan Soviet di bawah pemerintahan Joseph Stalin.

Untuk memahami lebih mendalam hubungan Animal Farm dengan Stalinisme sila klik ke
http://en.wikipedia.org/wiki/Animal_Farm

Untuk membaca novel Animal Farm sila klik ke
http://www.readprint.com/work-1250/george-Orwell

Teater Animal Farm arahan Loh Kok Man ini telah diadaptasikan dari novel oleh Tan Yan Tee dan dilakonkan oleh Gan Hui Yee, Ling Tang, Chen Huen Phuei, Chin Lee Ling, Lim Tiong Wooi serta Moo Siew Keh. Loh Kok Man sememangnya terkenal dengan pementasan berbentuk eksperimen, kerja-kerjanya seperti Untitle (memenangi anugerah pengarah terbaik dalam cameronian arts award 2003), The Lost and the Ecliptic, Repot (mind +mine) dan banyak lagi telah membuktikan keupayaannya mengendalikan permentasan aliran sebegini. Proses pembikinan Animal Farm melalui latihan-latihan fizikal yang sudah pasti memenatkan. Ini dapat dilihat bagaimana para pelakon berjaya membawa watak haiwan dan konsisten selama 2 jam pementasan tanpa menggunakan sebarang kostum dan make up khas. Para pelakon hanya mengenakan pakaian sendat (tight) mengikut warna kulit watak haiwan yang dimainkan. Melalui gerak tubuh dan pergerakan otot-otot di muka sudah cukup untuk menghidupkan watak-watak tersebut di atas pentas. Moo Siew Keh ( kuda bernama Boxer) dan Gan Hui Yee (Babi bernama Major dan Napoleon) sangat-sangat berjaya membawa watak masing-masing. Hinggakan teriakan kesakitan Boxer ketika cedera sewaktu membina kincir angin terasa benar.
Rekaan set oleh Caecer Chong telah membuatkan penonton menjadi sebahagian dalam persembahan tersebut. Caecer telah memagar disekeliling bahagian dalam pentas 2 KLPac dengan dawai mata punai. Kita sebagai penonton berada bersama-sama haiwan di dalam kandang/reban jadi kita juga sebahagian dari haiwan-haiwan dalam Animal Farm). Persoalannya kenapa Kok Man mahu kita menjadi sebahagian dari haiwan yang hidup dalam pemerintahan Napoleon? Napoleon seekor babi yang kejam dan menjalankan pemerintahan kuku besi. Jika kita berada di dalam Animal Farm maknanya kita juga turut sama ditindas. Apakah ini yang cuba dicadangkan oleh Kok Man?
Jika menonton persembahan ini dengan melupakan atau tanpa mengetahui tujuan asal Orwell menulis Animal Farm, kita hanya melihat kerakusan pemimpin korup yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai impian mereka dan rakyat menjadi mangsa. Situasi ini boleh belaku di mana-mana tidak hanya di Kesatuan Soviet malah ianya boleh (sedang) berlaku di Malaysia. Pemimpin di dalam Animal Farm dimonopoli oleh babi ada yang jujur seperti Snowball (lakonan Huen Phuei) tetapi ditewaskan oleh Napoleon dan Squeler (lakonan Ling Tan). Ketika pemerintahan Napoleon semua babi-babi di Animal Farm mendapat kedudukan yang lebih baik dari haiwan-haiwan lain. Malahan dia telah mengubal beberapa peraturan supaya kelebihan memihak kepada ia dan babi-babi yang lain. Peraturan lama menyatakan semua yang berkaki dua itu adalah musuh, berkaki empat atau berkepak itu kawan, semua haiwan tidak boleh berpakaian, tidur di katil, minum arak, berbunuh sesama sendiri dan semua haiwan mempunyai hak yang sama rata. Kita melihat Napoleon melanggar peraturan ini satu persatu. Napoleon menidas Boxer dan kuda-kuda yang lain untuk berkerja lebih masa dan mendapat imbuhan yang sedikit. Makanan mereka dicatu sedangkan Napoleon dan babi-babi lain hidup mewah di atas usaha keras Boxer dan kuda-kuda lain. Napoleon berparti minum minum keras, tidur di katil dan mula membunuh haiwan-haiwan lain yang dirasakan cuba mengkhianatinya. Namun Boxer tetap percayakan pada Napoleon walau dinasihati oleh kuda bernama Clover (lakonan Lee Ling). Bagi Boxer, Napoleon sentiasa betul. Boxer adalah simbol bagi rakyat yang taksubkan pada pemimpinnya dan mengikuti apa saja arahan dari pemerintah. Kesetian yang membuta tuli (ini juga terjadi di mana-mana negara termasuk Malaysia) Hingga akhirnya Boxer yang parah dan kesakitan tidak mampu lagi berkerja. Napoleon yang merasakan Boxer tidak dapat menyumbang apa-apa kepadanya telah menghantarnya ke rumah sembelihan (dengan menyatakan ke hospital) disebabkan kebodohan Boxer akhirnya ia mati sia-sia. Manakala Napoleon mula menjalin hubungan dengan manusia yang sepatutnya menjadi musuh haiwan.
Disebabkan mungkin kekuarangan pembiayaan (saya kira) banyak watak-watak yang terdapat di dalam novel telah ditiadakan. Dan, beberapa pelakon membawakan watak berganda seperti Gan Hui Yee membawa watak Napoleon dan Major, Chen Huen Phuei membawa watak Snowball dan Benjamin (keldai), Lim Tiong Wooi sebagai Mollie (kuda) dan Moses (gagak) dan Moo Siew Keh sebagai Boxer dan Lelaki (mr Whymper). Ketiadaan watak-watak lain tidak mengganggu apa yang ingin disampaikan oleh pengarah kepada penonton.

Tiada ulasan: