Isnin, 17 Mac 2008

Bilik Bacaan



Bilik yang paling kecil di kondominum 3 bilik tidur dan 2 bilik air inilah yang dijadikan bilik bacaan. Sejak June bertungkus lumus untuk menyiapkan tesisnya bilik ini dah jadi seperti tongkang pecah.

Ahad, 16 Mac 2008

Breaking di Singapura




Thank You Party


Hari ni seharian aku dengan Kaseh. June masih bergelumang dalam bilik bacaan menghadap kertas kerja untuk tesisnya. Aku keluar pagi beli makanan roti canai dengan bubur nasi untuk Kaseh, itu saja makanan kami untuk sepanjang hari. Tiada makan tengah hari untuk aku dan June hanya pagi dan malam. Sejak aku pulang dari Tokyo sudah 2 minggu lebih baru sekali makan makanan yang di masak di rumah itupun berlaukkan sardin dan telur goreng hari-hari lain beli dari luar. Ada masanya makan siang hanya roti saja.


Malam tadi aku sempat pergi ke "Thank You Party" yang dianjurkan oleh Pentas Project. Pengarah artistik dan sahabat aku Loh Kok Man menjelaskan majlis yang diadakan di restoran Precious Old China, Central Market itu adalah untuk menghargai mereka yang pernah terlibat dengan aktiviti Pentas Project dan juga untuk yang bakal "membantu" aktiviti akan datang. Aku sampai agak lewat (selepas keluar membeli makan malam untuk June dan Kaseh) lebih kurang jam 8.30 malam. Ketika aku sampai ke tingkat 2, aku nampak (Loh) Kok Man berdiri di depan pintu masuk restoran sambil bercakap di telepon. Kami berbual sekejab di luar kemudian berjalan masuk ke dalam restoran. Di dalam tetamu sudah ramai dan kebanyakan dari mereka sudah habis menjamah hidangan. Aku berjalan ke meja, di mana Where (Wan Azli) dan Ayam (Fareed Jamaludin) duduk. Sejak balik dari Tokyo inilah kali pertama aku jumpa dengan Where (Where dan Ayam adalah pelakon WIP arahan aku di Tokyo). Where ceritakan keadaan dirinya yang sibuk dengan tugas baru sebagai penulis skrip tetap di satu production house. Kami juga berbual pasal isu semasa, apa lagi kalau bukan soal perubahan politik yang berlaku selepas pilihanraya. Sumit (Mandal) dan Ayam turut serta kemudiannya, perbualan kami menyentuh soal manupulasi media perdana, DEB, Khiry Jamaludin (pekida), isu perlantikan MB di Perlis dan Terangganu hingga kepada soal-soal remeh politik. Apapun perubahan ini bukan saja memberi impak kepada negara ini tetapi yang lebih penting nasib rakyat kini lebih terbela kerana para pemimpin akan lebih bersungguh-sungguh berkerja untuk mereka kerana rakyat sudah membuktikan mereka boleh bertindak. Sebelum balik Sow Yee dan Jason (Lai) datang menuntut skrip yang aku janjikan untuk pertunjukan WIP di Singapura, aku minta tangguh hingga khamis ni jika tidak skrip yang sama (pertunjukan di Tokyo) akan digunakan di Singapura.


Jika ada masa aku ingin kongsi pengalaman menghasilkan WIP di ruang ini, bila? tunggu sajalah mungkin selepas pertunjukan di Singapura. :)
Kok Man dan Aku di Narita Airport sebelum balik ke Malaysia.

Jumaat, 14 Mac 2008

Karyawan yang berkerja

Masa terus berjalan dari detik menjadi minit menjadi jam menjadi hari menjadi minggu menjadi bulan menjadi tahun.... setiap detik suka atau tidak, ruang yang dilalui akan terisi dengan sendiri. Sudah lama aku ingin menulis di ruang ini untuk mengisi masa yang berlalu walau hanya dengan sebaris ayat. Pernah aku cuba beberapa kali tapi hanya beberapa kali saya aku berjaya dan akhirnya berhenti begitu saja. Menulis memerlukan displin yang tinggi, masa yang ada perlu di atur dengan rapi jika tidak hajat hanya tinggal mimpi yang hilang ketika mata jaga dari lena dan hidup diteruskan meninggalkan mimpi begitu saja. Sudah banyak blog yang aku cipta yang akhirnya menjadi sampah terbuang terapung-apung di internet tidak di sentuh hingga kini. Ini blog yang entah kali ke berapa aku cipta harap mampu terus hidup di ruang internet ini.

Kebelakangan ini hidup aku tidak menentu, June terlalu sibuk dengan kertas sarjananya rumah tak terurus Kaseh sudah tidak mendapat perhatian sewajarnya begitu juga aku. Aku kasihankan dia hari-hari mengadap buku bertimbun dan terpaksa menerima tekanan dari penyelianya Dr Anis Mohd Noor. Bila mengenang semula peringkat awal ketika keputusan di ambil untuk menyambung Sarjana selepas selesai sarjana muda di UM dulu, akulah orang yang menggesanya untuk terus sambung peringkat seterusnya tapi sekarang aku pula yang mula rasa menyesal. Apa-apapun aku harap masalah yang kami akan hadapi akan selesai juga akhirnya.

Aku pula melalui hari-hari yang tidak kurang sibuk cuma aku cuba buat tak endah saja. Kerja-kerja yang bertimbun tu aku cuba buat endah tak endah kalau diikutkan banyak benda aku kena uruskan antaranya projek teater eksperimen dengan pelajar ASWARA tempat aku mengajar, Projek Kolaborasi Pentas Project Breaking yang akan dipentaskan di Singapura, Projek digital filem Matderihkolaperlih, Festival Monodrama DBP dan Projek Kolaborasi Hero. Tahun 2008 ini akan menjadi tahun paling sibuk buat aku dan tahun ini juga akan menjadi tahun pertaruhan aku dalam dunia seni. Ini kerana tahun ini mungkin menjadi tahun terakhir aku menjadi tenaga pengajar separuh masa di ASWARA. Baru-baru ini ASWARA telah membuka tawaran mencari tenaga pengajar sepenuh masa dan aku tidak memohon, jadi ada kemungkinan besar jawatan separuh masa akan ditamatkan. Jika ini berlaku aku harus bersedia untuk menghadapinya.

Aku masih tidak tahu apakah aku mampu meneruskan perjuangan selepas aku melepaskan sumber pendapatan yang boleh dikatakan stabil itu... Dari sudut positif aku mampu menumpukan perhatian terhadap projek-projek seni yang sememangnya menstabilkan jiwa aku tapi persoalannya apakah itu mampu untuk menyokong kehidupan aku sekeluarga di dunia yang makin mahal kos hidupnya.

Minggu lepas aku ke Pameran Lukisan Matahati di HOM (House of Matahati) aku bercakap-cakap dengan Bayu (Utomo Radjikin) dia mengatakan "jangan jadikan kerja seni sebagai satu perkerjaan kerana bila ianya menjadi begitu kita akan berkerja untuk duit bukan berkarya" aku percaya karyawan bukan berkerja untuk duit tapi duit akan datang dari karya yang terhasil. Aku melihat Bayu sendiri sebagai contoh ketika dia melukis dia tidak pernah bergantung pada lukisannya tetapi setelah siap dan lukisannya dibeli orang dia boleh hidup dengan wang yang dia dapat dari karya seninya itu. Dari sudut yang lain Bayu boleh berkata begitu kerana lukisan-lukisannya ada pembeli tapi bagaimana dengan pelukis-pelukis baru, yang lukisan mereka belum tentu ada pembelinya. Di sini, jika mengikut Bayu, mereka perlu berkerja untuk menanggung hidup di samping terus berkarya. Dari segi lain karyawan yang berkerja sambil berkarya akan kehilangan tenaga untuk terus berkarya contohnya seorang yang berkerja sepenuh masa di syarikat atau jabatan kerajaan akan dibebani tugasan yang ada masanya harus di bawa pulang ke rumah. Masa dan tenaga yang ada untuk ia menghasilkan karya menjadi sangat minimun. Dan, akhirnya banyak dari mereka melupakan hasrat mereka untuk menjadi karyawan, kerja seni akhirnya menjadi sebagai satu hobi sahaja. Ini adalah cabaran yang harus dihadapi oleh kita yang bercita-cita untuk menjadi karyawan. Begitu juga aku.

Nam Ron