Rabu, 29 Oktober 2008

Orang Filem

Kelmarin aku hantar draf ke 3 Matderihkolaperlih kat Mr. Dain Said (selepas ini dipanggil Dain)dan Al-Jeffrey (selepas ini dipanggil Jeff). Siang tadi aku pergi ke rumah Dain untuk jumpa diaorang. Aku perlukan maklum balas diaorang sebelum memulakan draf baru.

Nanita buka pintu aku minta nak gunakan tandas. Kencing. Dain sedang mengadap laptop di bilik bacaan. Aku ke ruang depan. Jeff muncul. Kami berbual. Jeff bercerita. Dia dua kali kena kencing dengan penerbit. Satu, skrip filemnya telah diliwat tanpa kerelaan hingga membuat Jeff merajuk hati membawa diri. Satu lagi koceknya telah dijarah bila skrip dan kerjanya untuk satu produksi TV tidak dibayar penuh. P***mak! Orang kapitalis ni memang betul-betul P***mak! Jeff betul-betul marah. Dia menyeringai marah. Giginya yang hitam dan ronggak kerana penyakit kencing manisnya itu betul-betul mengerunkan bila dia marah dan menyeringai. Aku bayangkan gigi-gigi itu menggigit dan mengoyak urat leher para kapitalis hingga putus. Darah merah memancut-mancut keluar dari urat yang terburai. Jeff senyum puas. Fade out. Dain keluar dari bilik bacaan. Jeff dan Dain mengupas skrip Matderihkolaperlih. Aku amat hargai. Segala kekurangan yang ada dilontarkan. Sedikit-sedikit aku mula nampak cahaya yang menyuluh jalan untuk aku keluar dari keserabutan. Aku benar-benar bersedia untuk memulakan draf yang seterusnya. Selesai kami gang bang skrip Matderihkolaperlih dan dalam keadaan yang makin panas Dain berkongsi ilmu tentang filem. Aku mendapat kuliah percuma hari itu. Khamis nanti kami bercadang untuk menonton filem Budak Kelantan arahan Wan Azli (Where). Dari cerita-cerita yang aku dengar filem ni adalah filem masterpiece ke tiga selepas Abang (Rahim Razali)dan Jogho (U-wei). WOW!

nota tumit kaki kiri : Dain Said adalah pengarah dan pemikir filem. Filem arahannya Dukun telah disantau oleh syarikat yang menerbitkannya dan telah dikarantinakan (dikuarantinkan).
Al-Jeffery adalah penulis skrip filem antara filem-filem yang dihasilkan adalah Paloh, PGL, Dukun dan sekarang sedang berkolaborasi dengan Dain untuk projek seterusnya.

Ahad, 26 Oktober 2008

Waiting For Hero(s) - (Ikut gaya Dollah Jones tulis tajuk bahasa Inggeris tapi aku tak ada sebab apa pun).

Pesta Bola Merdeka 2008 melabuhkan tirai sebentar tadi. Setelah termengah-mengah mengejar bola dan haram sebiji jadah golpun tak diperolehi sepanjang 90 minit perlawanan (tak masuk masa kcederaan) dan 30 minit masa tambahan, Malaysia akhirnya tewas kepada pasukan Vietnam dengan sepakan penalti. Malaysia tewas 6-5. Aku bukannya peminat fanatik bola sepak apatah lagi untuk menyepak dan mengejarnya di tengah padang. Seingat aku, dulu-dulu semasa di sekolah rendah aku didedahkan dengan permainan ini dengan duduk di luar padang melihat rakan-rakan lain bermain waktu matapelajaran jasmani. Jiwa kanak-kanak aku ketika itu bersemangat untuk bersama-sama diaorang bermain di padang. Namun haram jadah, cik gu jasmani yang suka ludah muka murid-muridnya tu tak bagi main sama, pasal katanya aku ni lembik dan kaki bangku. Dan, aku hanya melihat rakan-rakan aku yang gagah tu menyepak dan menendang bola.
Lewat tahun 70an dan awal 80an aku sekali lagi terlibat dengan permainan ini. Kali ini bukan di padang sekolah tapi di stadium. Ketika para penonton bersesak-sesak untuk masuk ke stadium aku juga turut serta cuma bezanya aku membawa raga berisi air minuman yang telah dibungkus untuk dijual. Ketika ini baru aku belajar sesuatu tentang bolasepak. Aku bukan saja seronok belajar tentang peraturan-peraturan dan term-term yang ada dalam permainan ini seperti outside, faul, conner kick, penalti, striker, defender, left/right wing, free kick, wall dan macam-macam lagi jadahnya. Apa yang lagi seronok bila melihat aksi-aksi dan reaksi-reaksi penonton. Wajah-wajah yang penuh emosi dan semangat hingga ada yang hilang suara dek kerana sorakan gembira ketika pasukannya menjaringkan gol. Mereka akan melompat dan bertepuk tampar dengan orang di sebelah walau tidak kenalpun namanya. Segala penderitaan dan masalah hilang seolah-olah mereka tidak pernah menghadapinya. Ketika pasukan mereka ketinggalan, wajah-wajah ini bertukar menjadi muram dan gelisah sekali sekala carutan dihemburkan dari mulut yang bibir putih dan pucat. Ketika tulah aku sedar mereka yang bermain dipadang itu bukan hanya sekadar bermain tapi bertarung. Mereka adalah Gladiator zaman moden. Hero atau wira. Dan, inilah yang aku nak perkatakan di sini.
Hero atau wira adalah satu lambang yang boleh menyatukan masyarakat dan membangkitkan semangat mereka untuk meneruskan hidup walau sesukar mana halangan dan rintangan yang ada di hadapan. Dan, sukan adalah salah satu tempat yang membolehkan hero lahir dalam masyarakat. Jika kita ada menonton filem Cinderella Man arahan Ron Howard (jangan keliru dengan Mr Cinderella arahan Ahmad Idham nanti rujukan anda akan jadi sampah seperti filem tu juga) kita akan lihat bagaimana semangat juang James J. Braddock (lakonan mantap Russell Crowe) seorang peninju yang berjaya mengembalikan keyakinan dan semangat masyarakatnya. Filem ini mengambil latar tahun di mana dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk (Great Depression- ianya bermula di Amerika tahun 1929 dan negara-negara lain turut terpalit sama. Selama hampir satu dekad barulah pulih (lewat 30an awal 40an). Orang ramai kehilangan kerja, tempat tinggal malah kebuluran bila pasaran saham (stock market) di brusa saham jatuh menjunam. Braddock yang sudah tak dapat bertinju kerana kecederaan telah kehilangan segala hartanya yang telah dilaburkan. Apabila keadaan makin teruk, dia tekad untuk kembali bertarung untuk menyara keluarganya dan secara kebetulan dia mendapat peluang tersebut (sebagai peninju penganti). Dan, bermulalah come back nya ke arena tinju. Dari seorang yang sudah tidak dipedulikan seperti kucing kurap dia akhirnya menjadi hero. Semangat juangnya memberi satu semangat kepada masyarakatnya agar tidak putus asa dengan kecelakaan yang menimpa. Nak tau cerita secara detail pi lah cari v/dvd kat kedai sapa suruh tak tengok masa main kat panggung dulu. Pasal aku bukan nak ulas tetang filem ni, aku cuma nak cakap pasal hero.
Apa yang aku nak kata kita tak boleh cipta hero. Menghantar (menumpangkan) seseorang ke angkasa lepas untuk menjadikan dia hero tidak akan membolehkan dia jadi hero. Walaupun muka dia hensem tapi itu hanya menepati ciri-ciri hero untuk filem Yusof Haslam, Razak Mohideen, Ahmad Idham dan pengarah-pengarah yang sewaktu dengannya. Mungkin juga mereka yang menghantar mamat ni ke bulan berfikiran seperti pengarah-pengarah ni (kasihan kat mamat yang sorang lagi tu diapun nak jadi hero tapi apakan daya rupamu tak macam shah rukh khan) dan berharap sang hero akan tercipta. Usaha ini sangat-sangat menampakkan yang kita amat-amat teramat amat memerlukan hero untuk menjadi idola masyarakat. Tapi kita lupa hero kita tak boleh cipta ianya muncul dan memberi harapan kepada masyarakatnya. Masyarakatlah yang mencipta hero seperti dalam cerita Cinderella Man, Braddock hanya berkerja untuk menyara keluarganya agar tidak kebuluran tapi semangatnya telah menjadikan dia hero oleh masyarakatnya ketika itu.
Sekarang ini pasaran saham dunia turut jatuh menjunam tidak mustahil dunia akan kembali meleset seperti Great Depression dulu. Mungkinkah akhirnya akan lahir hero dalam masyarakat kita. Namun bila menonton semangat perjuangan pemain bolasepak kita malam tadi aku masih belum melihat tandanya. Dan, aku masih menunggu lahirnya hero untuk memberi kekuatan, semangat, harapan kepada masyarakat kita yang makin hilang arah dan roh di dunia/negara yang makin menekan ini.

p/s teringatkan Mohtar Dahri yang memberikan aku kekuatan walau menjamah nasi berlauk garam atau ketika bangun ditengah malam semasa hujan ribut berdiri di luar pondok buruk melihatnya senget megikut arah angin. Ketika itu aku budak yang ada heronya.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Operasi Oktober

Ahad lalu, selesai menonton Animal Farm pada sebelah siang aku ke Galeri Annexe menonton Operasi Oktober pada malamnya. Operasi Oktober adalah sebuah pementasan yang dijayakan oleh Five Arts Center dan diarahkan oleh Fahmi Fadzil. Bagi sesiapa yang bergelar sosialis atau merasakan dirinya seorang sosialis, Oktober akan secara tidak langsung mengingatkan pada Revolusi Oktober (October Revolution 1917) di mana ianya menjadi titik tolak untuk para sosialis membentuk negara dan kerajaan komunis (Kesatuan Soviet) pertama di dunia dan seterusnya ideologi komunis terus berkembang ke seluruh dunia hingga sampai ke Malaysia. Pergerakan komunis walaupun gagal membentuk kerajaan di Malaya namun gerakannya telah melahirkan ramai perjuang kemerdekaan (Chin Peng, Rahsid Maidin, Shamsiah Fakeh, Abdulah CD dan lain-lain) dan membuatkan kapitalis Inggeris kecut perut.
Namun Operasi Oktober arahan Fahmi bukanlah Revolusi Oktober 1917 ianya hanya meminjam semangatnya. Lihat saja tag line yang digunakan di poster – So, jadi ke revolusi kita ni?!- Tanda soal yang diikuti oleh tanda seru itu bukan hanya satu pertanyaan biasa tapi lebih kepada persoalan yang harus ada tindakan (atau mungkin juga oktober itu hanya diambil sempena tarikh pementasan ini dibuat). Hari ini ramai dari golongan muda mula mempertikaikan buku sejarah yang mereka pelajari di sekolah. Banyak suara-suara mula membangkitkan tentang kewajaran pendidikan sejarah di sekolah dinilai semula. Ini berlaku kerana banyak peristiwa-peristiwa dan tokoh-tokoh penting telah ‘dipadamkan’ dalam lipatan sejarah oleh pemerintah kerana ideologi politik yang berbeza. Ramai juga mula bercakap-cakap tentang tokoh-tokoh perjuang kemerdekaaan yang dilupakan tapi di manakah tindakannya. Inilah persoalan yang cuba diangkat oleh Fahmi dan para pelakonnya.
Disebabkan Operasi Oktober adalah sebahagian dari pengisian Festival Darurat (Emergency Festival – 16 hingga 26 Oktober) yang menekankan tema perjuangan nationalis semasa zaman darurat, Fahmi telah memilih peristiwa Kem Se-Malaya sebagai isu untuk memulakan proses penciptaan Operasi Oktober. Pada tahun May1948 ramai aktivis dan nationalis haluan kiri berkumpul di Kem Se-Malaya untuk mengatur strategi untuk menentang Inggeris dan mereka sudah merencana untuk bertindak pada September tahun itu. Namun pada bulan Jun di sungai Siput berlaku satu pembunuhan terhadap 3 orang pemilik ladang berbangsa Inggeris oleh komunis telah menyebabkan kerajaan Inggeris mengistiharkan darurat. Ramai pemimpin dan nasionalis haluan kiri telah ditangkap oleh pihak Inggeris. Namun bukan itu yang cuba diketengahkan oleh Fahmi dalam Operasi Oktober.
Di dalam pementasan ini kita dibawa untuk menyaksikan 4 orang muda berkumpul untuk membuat satu persembahan tentang sejarah Malaysia. Apabila mereka sudah berkumpul pihak penganjur tidak muncul-muncul. Berbekalkan bahan-bahan yang ada/ditinggalkan mereka cuba untuk memulakan proses penciptaan. Namun tanpa pengetahuan yang mendalam dan tiada yang memimpin, mereka akhirnya berputus asa dan menghentikan usaha tersebut. Pementasan yang dibahagikan kepada beberapa segmen ini dilakonkan secara sepontan (improvisasi) di selang seli dengan babak-babak yang telah dikoreograf ini cuba untuk menyatakan segala usaha untuk perubahan harus terancang dan ada yang memimpin. Mao Zedong pernah berkata “revolution is not dinner party” , Operasi Oktober memperlihatkan watak-watak melalui bahan-bahan yang disediakan (oleh penganjur) mula duduk berborak kosong kemudian cuba mencari jalan untuk mengangkat bahan-bahan itu menjadi satu pementasan. Mereka cuba mencari jalan bagaimana untuk menjayakannya tetapi bukan dengan cara yang bersungguh-sungguh. Bahan-bahan tentang perjuangan tokoh-tokoh penting seperti Chin Peng, Abdulah CD, Rahsid Maidin dan lain-lain menjadi gurauan bagi mereka. Ditambah lagi dengan beberapa poster dan risalah yang ditampal di dinding tidak terusik seolah-olah benda-benda itu tidak wujud di situ. Ini menunjukan bahawa generasi ini benar-benar buta tentang sejarah. Dengan lebih tepat lagi mereka sebenarnya telah dibutakan. Penggunaan props kerusi yang lebih banyak dari pelakon pulak menunjukan kesedaran orang ramai tentang perkara ini juga berkurangan. Walau ada 4 orang yang datang untuk menjayakan rancangan itu namun ke empat=empat mereka bukanlah orang yang membolehkan rancangan itu berjaya. Mereka memerlukan pemimpin yang dapat memimpin mereka untuk melihat semula dan akhirnya baru tindakan dapat terlaksana.
Persembahan bersekala studio dengan kedudukan penonton dalam bentuk arena (pentas arena adalah apabila penonton duduk disekeliling ruang pementasan) memberi hubungan penonton dengan pelakon menjadi intim. Jarak antara penonton dengan pelokon yang bergitu hampir membuatkan pelakon tak perlu untuk membesarkan lakonan mereka. Lakonan berbentuk naturalistik ini amat sesuai digayakan dalam ruang sebegini. Para pelakonnya kelihatan benar dan sepontan inilah kelebihan improvisasi. Dan, pemilihan teknik lakonan ini juga sebenarnya amat sesuai untuk penceritaan sebegini. Syabas diucapkan kepada Fahmi Fahzil dan pelakonnya Mislina Mustafa, Hariry Jalil, Janet dan Chung Wei.


Khamis, 23 Oktober 2008

Teater Animal Farm

Beberapa hari yang lalu aku menonton beberapa pementasan teater di sekitar KL. Sebenarnya agak lama aku tak pergi menonton teater kerana komitmen terhadap kerja-kerja kreatif aku sendiri dan kerja-kerja ibadah untuk menyara keluarga. Dalam masa seminggu aku menonton 4 pementasan teater 3 hari berturut-turut. 2 pementasan dihasilkan oleh pelajar. 2 lagi pementasan oleh produksi yang penuh dengan pengalaman dan telah di establish kewujudan mereka di persada seni teater Malaysia. Agak penat tapi puas.

ANIMAL FARM
Teater ini dipentaskan oleh Pentas Project Theatre Production (PPTP) di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) diarahkan oleh anak muda bernama Loh Kok Man (muda pada usia tidak pada pengalaman) yang juga merupakan pengasas dan pengarah artistik PPTP. Animal Farm adalah adaptasi dari novel (yang sama judulnya) oleh George Orwell atau nama penuh Eric Arthur Blair (1903-1950) seorang penulis Inggeris. Novel ini diterbitkan pada 17 ogos 1945 di British ketika bermulanya perang dingin (novel ini siap ditulis pada april 1944 tapi gagal diterbitkan kerana ketika itu British dan Soviet Union masih sekutu dalam perang dunia ke dua 1939-1945). Orwell menghasilkan Animal Farm untuk mengkritik Joseph Stalin yang mengamalkan pemerintahan berbentuk totalitarianisme (totalitarianisme adalah satu konsep bagi menerangkan sistem politik di mana negara mempunyai kuasa penuh untuk mengawal hampir setiap aspek kehidupan rakyatnya). Orwell adalah seorang demokratik sosialis dan menganggotai ILP (Independent Labour Party) sebuah parti politik berhaluan kiri di UK. Ketika tercetusnya Spanish Civil War (1936-39) – baca soviet union/komunis vs fascist/nazi-, Orwell menyertai NKVD (sebuah pertubuhan polis rahsia kesatuan soviet) yang berpihak kepada Republic disokong oleh Kesatuan Soviet (Republic kalah dalam perang ini bermulanya perang dunia ke 2). Pengalaman yang dikutip olehnya semasa peperangan ini membuatkan Orwell mula melihat kepincangan dalam pemerintahan Stalin yang baginya bersifat totalitarianisme. Kekecewaanya juga membawa kepada pengundurannya dalam ILP. Baginya Stalinisme telah jauh menyimpang dari idelogi asal sosialisme/marxisme. Lalu dia menghasilkan Animal Farm bagi mengkritik Stalinisme. Melalui watak-watak binatang ternakan, Orwell bercerita tentang kekorupan/penyalahgunaan kuasa semasa Kesatuan Soviet di bawah pemerintahan Joseph Stalin.

Untuk memahami lebih mendalam hubungan Animal Farm dengan Stalinisme sila klik ke
http://en.wikipedia.org/wiki/Animal_Farm

Untuk membaca novel Animal Farm sila klik ke
http://www.readprint.com/work-1250/george-Orwell

Teater Animal Farm arahan Loh Kok Man ini telah diadaptasikan dari novel oleh Tan Yan Tee dan dilakonkan oleh Gan Hui Yee, Ling Tang, Chen Huen Phuei, Chin Lee Ling, Lim Tiong Wooi serta Moo Siew Keh. Loh Kok Man sememangnya terkenal dengan pementasan berbentuk eksperimen, kerja-kerjanya seperti Untitle (memenangi anugerah pengarah terbaik dalam cameronian arts award 2003), The Lost and the Ecliptic, Repot (mind +mine) dan banyak lagi telah membuktikan keupayaannya mengendalikan permentasan aliran sebegini. Proses pembikinan Animal Farm melalui latihan-latihan fizikal yang sudah pasti memenatkan. Ini dapat dilihat bagaimana para pelakon berjaya membawa watak haiwan dan konsisten selama 2 jam pementasan tanpa menggunakan sebarang kostum dan make up khas. Para pelakon hanya mengenakan pakaian sendat (tight) mengikut warna kulit watak haiwan yang dimainkan. Melalui gerak tubuh dan pergerakan otot-otot di muka sudah cukup untuk menghidupkan watak-watak tersebut di atas pentas. Moo Siew Keh ( kuda bernama Boxer) dan Gan Hui Yee (Babi bernama Major dan Napoleon) sangat-sangat berjaya membawa watak masing-masing. Hinggakan teriakan kesakitan Boxer ketika cedera sewaktu membina kincir angin terasa benar.
Rekaan set oleh Caecer Chong telah membuatkan penonton menjadi sebahagian dalam persembahan tersebut. Caecer telah memagar disekeliling bahagian dalam pentas 2 KLPac dengan dawai mata punai. Kita sebagai penonton berada bersama-sama haiwan di dalam kandang/reban jadi kita juga sebahagian dari haiwan-haiwan dalam Animal Farm). Persoalannya kenapa Kok Man mahu kita menjadi sebahagian dari haiwan yang hidup dalam pemerintahan Napoleon? Napoleon seekor babi yang kejam dan menjalankan pemerintahan kuku besi. Jika kita berada di dalam Animal Farm maknanya kita juga turut sama ditindas. Apakah ini yang cuba dicadangkan oleh Kok Man?
Jika menonton persembahan ini dengan melupakan atau tanpa mengetahui tujuan asal Orwell menulis Animal Farm, kita hanya melihat kerakusan pemimpin korup yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai impian mereka dan rakyat menjadi mangsa. Situasi ini boleh belaku di mana-mana tidak hanya di Kesatuan Soviet malah ianya boleh (sedang) berlaku di Malaysia. Pemimpin di dalam Animal Farm dimonopoli oleh babi ada yang jujur seperti Snowball (lakonan Huen Phuei) tetapi ditewaskan oleh Napoleon dan Squeler (lakonan Ling Tan). Ketika pemerintahan Napoleon semua babi-babi di Animal Farm mendapat kedudukan yang lebih baik dari haiwan-haiwan lain. Malahan dia telah mengubal beberapa peraturan supaya kelebihan memihak kepada ia dan babi-babi yang lain. Peraturan lama menyatakan semua yang berkaki dua itu adalah musuh, berkaki empat atau berkepak itu kawan, semua haiwan tidak boleh berpakaian, tidur di katil, minum arak, berbunuh sesama sendiri dan semua haiwan mempunyai hak yang sama rata. Kita melihat Napoleon melanggar peraturan ini satu persatu. Napoleon menidas Boxer dan kuda-kuda yang lain untuk berkerja lebih masa dan mendapat imbuhan yang sedikit. Makanan mereka dicatu sedangkan Napoleon dan babi-babi lain hidup mewah di atas usaha keras Boxer dan kuda-kuda lain. Napoleon berparti minum minum keras, tidur di katil dan mula membunuh haiwan-haiwan lain yang dirasakan cuba mengkhianatinya. Namun Boxer tetap percayakan pada Napoleon walau dinasihati oleh kuda bernama Clover (lakonan Lee Ling). Bagi Boxer, Napoleon sentiasa betul. Boxer adalah simbol bagi rakyat yang taksubkan pada pemimpinnya dan mengikuti apa saja arahan dari pemerintah. Kesetian yang membuta tuli (ini juga terjadi di mana-mana negara termasuk Malaysia) Hingga akhirnya Boxer yang parah dan kesakitan tidak mampu lagi berkerja. Napoleon yang merasakan Boxer tidak dapat menyumbang apa-apa kepadanya telah menghantarnya ke rumah sembelihan (dengan menyatakan ke hospital) disebabkan kebodohan Boxer akhirnya ia mati sia-sia. Manakala Napoleon mula menjalin hubungan dengan manusia yang sepatutnya menjadi musuh haiwan.
Disebabkan mungkin kekuarangan pembiayaan (saya kira) banyak watak-watak yang terdapat di dalam novel telah ditiadakan. Dan, beberapa pelakon membawakan watak berganda seperti Gan Hui Yee membawa watak Napoleon dan Major, Chen Huen Phuei membawa watak Snowball dan Benjamin (keldai), Lim Tiong Wooi sebagai Mollie (kuda) dan Moses (gagak) dan Moo Siew Keh sebagai Boxer dan Lelaki (mr Whymper). Ketiadaan watak-watak lain tidak mengganggu apa yang ingin disampaikan oleh pengarah kepada penonton.

Rabu, 22 Oktober 2008

Rokok Kotak 14 vs Rokok Kotak 20


Aku pernah diberitau oleh seseorang, aku tak ingat siapa. Dia kata, rokok kotak 14 lebih sedap rasanya berbanding dengan kotak 20. Aku tak tahu pulak ada perbedaannya. Dia kata teknik pembungkusan di kilang menyebabkan rokok kotak 14 lebih sedap. Dia suruh cuba. Aku cuba tapi rasanya sama saja. Bagi aku 20, 14 mahupun 7 (sekarang dah tak dijual lagi) tetap sedap di hisap apa lagi selepas baru habis melantak. Cuma ada beberapa kali saja rasanya tak sedap. Iaitu bila mana aku terlupa bawa rokok (yang dah dibuka) masa keluar dari rumah dan aku beli sekotak lagi rokok kotak 20. Dan, aku mempunyai dua kotak rokok kotak 20 yang sudah dibuka pembalutnya. Oleh kerana aku hanya menghisap 20 batang rokok 12 jam sehari jadi aku mmpunyai lebihan rokok yang sudah dibuka. Rokok yang tidak di hisap selepas 24 jam dibuka pembalutnya akan menyebabkannya masuk angin. Rokok ini jika dihisap, rasanya macam hisap rokok kertas surat khabar (sapa-sapa yang pernah duk dalam lokap/penjara atau hisap rokok daun tapi daun/tembakau tahil habis kat tengah malam saja yang tau macam mana rasanya). Aku rasa mamat yang kata rokok kotak 14 lebih sedap tu mungkin hanya menghisap rokok kurang dari 14 batang sehari bila dia membeli kotak 20 dia mempunyai lebihan rokok yang belum dihisap tapi sudah masuk angin. Rokoknya sudah tidak sedap lagi rasanya.

Selasa, 21 Oktober 2008

Samsiah Fakeh damailah kamu di sana.

Hujan turun setiap hari sejak kebelakangan ni rupanya memberi satu pertanda. Kehilangan. Pagi tadi aku terima sms (sebenarnya tengahari kerana phone aku mampuih pasal tak cas semalam) dari al-Jafree (penulis skrip filem paloh, dukun.....) tentang pemergian Samsiah Fakeh meninggalkan kita selama-lamanya menghadap ilahi. Samsiah Fakeh untuk yang tak mengenalinya adalah tokoh perjuang kemerdekaan yang sengaja dilupakan (oleh pemerintah)kerana perbedaan ideologi. Dia adalah salah seorang perjuang tulen yang tak pernah takut untuk tunduk dengan penjajah, tidak seperti tokoh-tokoh yang kita baca dalam buku sejarah kat sekolah dulu yang sehingga kini dijulang kerana kononnya berjaya mendapat kermerdekaan tanpa pertumpahan darah (setelah bersedudukan dengan inggeris). Kita diajar untuk menganggap mereka wira dan orang-orang seperti Samsiah Fakeh itu penjahat. Dan, kita percaya!

Aku sendiri sewaktu di alam persekolahan percaya apa yang ditulis di dalam buku sejarah. Apatah lagi sejarah adalah subjek kegemaran aku. Membaca sejarah seperti membaca sebuah cerita dengan tokoh-tokoh (watak-watak) yang menghidupkan cerita itu. Aku khayal dengan dongengan itu. Apabila makin dewasa aku mulai menemui beberapa kebenaran lain yang disembunyikan oleh pemerintah antaranya adalah kisah-kisah tentang perjuangan tokoh-tokoh seperti Samsiah Fakeh. Setelah mengetahui kebenaran ini aku menjadi kagum dengan orang sepertinya.

21 november tahun lepas adalah hari lahir aku yang ke 38. Aku tak akan lupakan tarikh itu kerana hari itu aku mendapat hadiah hari lahir yang paling bernilai dalam hidup aku. Bertemu dengan Samsiah Fakeh. Hanya kebetulan juga melalui ajakan dari al Jeffree untuk melawat Samsiah Fakeh yang waktu itu terlantar di HUKM. Pertemuan singkat aku dan dia membuatkan mata aku bergenang. Walau sakit, ketika melihat kami tiba dia menggagahkan dirinya untuk duduk dengan dibantu oleh seorang pembantu warga indonesia yang sentiasa menemaninya. Ketika itu kemampuan dia untuk berkomunikasi melalui kata-kata sudah terbatas. Setiap pertanyaan yang dilontarkan ia akan membalasnya melalui tulisan di buku notanya. begitulah cara kami berkomunikasi. Dalam pertemuan singkat itu aku sempat meluahkan penghargaan aku terhadap perjuangannya. Aku turut nyatakan bahawa hari itu adalah hari lahir aku dan saat itu adalah hadiah yang paling bernilai. Dia memandang wajah aku. Dalam matanya aku melihat penderitaan yang dia lalui. Aku memegang tangannya yang berkedut dan menciumnya. Tangan yang mengangkat senjata untuk mempertahankan tanah air yang tercinta. Dan, akhirnya terbuang di negara asing di atas pengorbanannya itu. Di lewat usia senja dia korbankan maruahnya dengan memohon pengampunan untuk kembali ke tanah airnya sendiri. Dan, sekarang dia sudah tiada lagi yang tinggal hanya semangatnya yang membakar di jiwa mereka yang memahami perjuangannya itu. Al fatihah.

Isnin, 20 Oktober 2008

Makan-Makan


Aku dan Jun tengok TV cerita orang putih. Ada adegan makan. Diaorang makan steaks. Jun tanya kenyang ke? Aku kata kenyang! Ketika tu fikiran aku berputar kembali ke zaman kanak-kanak. Mak selalu marah kalu ratah lauk. Dia suruh makan nasi lauk tu cubit sikit-sikit saja takut tak kenyang nantinya. Kita selalu makan untuk kenyang bukan kerana khasiatnya. Kita diajar begitu. Mungkin kerana kita susah lauk pauk tu mahal jadi makan nasi lebih menjimatkan yang penting perut tak keroncong. Sumbat, sumbat, sumbat... kenyang, dah selesai. Nasi juga sumber karbohidrat untuk beri tenaga mengerjakan sawah dan lain-lain perkerjaan yang memerlukan tenaga/keringat. Segala bentuk daging memberi protein bagi membina otot dan tubuh badan kita. Berdasarkan ini mungkin sebab tu orang putih tubuh dia nala punya besar berbanding dengan tubuh orang kita. Pemuda-pemuda Jepun juga sudah bertubuh besar dan tinggi tak seperti fizikal generasi masa dulu (yang pernah digelar wak pendek) perubahan ini belaku kerana perubahan permakanan diaorang (lepas kalah perang orang putih masuk Jepun bawa masuk makanan diaorang sekali sekarang ni orang jepun dah memuja orang putih apa yang orang putih buat diaorang nak buat, makanpun diaorang ikut). Mentaliti kita terhadap makanan masih belum berubah tengok saja ahli sukan yang praktis kat luar negara semuanya tak tahan duk kat sana pasal rindu nak makan nasi... Tapi ada hati nak main sport kat luar negara tubuh kemetot macam mana nak saing orang putih....alahai!!!

MAKAN STEAK
Malam tu aku pergi ke pasaraya kat rumah aku. Aku beli sepotong daging lembu setebal 1 inci dan besar sedikit dari tapak tangan aku. Harganya dekat 8 ringgit seketul (aku rasa ni adalah salah satu faktor utama kenapa kita tak jadikannya makan ruji). Balik rumah aku perapkan dengan rempah ratus selepas aku cucuk-cucuk daging tu dengan grafu. Aku panaskan kuali letak minyak... aku masak steak. Bila dah steak tu hampir masak aku pecahkan dua biji telur ke dalam kuali. Bila betul-betul dah masak aku angkat letak dalam pinggan. Aku dan Jun makan steak tu. Kenyang! Lepas tu kami melayan kepala yang kenuning (pening-pening lalat)....

CARA-CARA MEMASAK STEAK

Bahan-bahan
Sepotong daging lembu setebal 1 inci
Garam, lada sulah, bawang putih (serbuk) atau beli saja Sos Honsin jenama Lee Kum Nam.
minyak masak atau mentega.

Cara-cara memasaknya
Basuh daging dengan air kemudian cucuk-cucukkan dia dengan grafu. Alih. Cucuk pulak sebelah lagi hingga semua bahagian daging tu tertusuk oleh grafu itu. Lumurkan garam dan lada sulah kat dua-dua bahagian tersebut atau lumurkan sos Honsin tu. Letak kuali, nyalakan api (sederhana) masukkan minyak atau mentega. Masukan daging kemudian alih-alihkannya jangan biar terlalu lama kat satu-satu bahagian nanti hangus rasa pahitlah pula steak tu. Bila hampir masak masukkan telur (pilihan) jika nak kalau tak nak boleh dimakan begitu saja.

Jumaat, 17 Oktober 2008

1978

Beginilah aku jika sekarang ini tahun 1978!

Khamis, 16 Oktober 2008

Mereka Masih Muda

F.J dan Z.A dua orang muda yang darahnya panas mengalir kencang di setiap urat yang bersimpang siur di bawah kulit tegang mereka. Aku duduk mendengar mereka bersemangat mahu mengubah dunia.Sistem. Mereka mahu jadikan negara ini menjadi sebuah tempat yang lebih baik untuk didiami. Aku katakan mereka takan mampu mengubahnya. Tak mudah mereka menerimanya. Mereka percaya mereka mampu melakukannya. Mereka orang muda. Mereka tahu mereka mampu. Aku nafikan. Mereka kurang senang walau tidak menunjuknya. Aku makin tua. Lalu aku katakan kalau betul mahu mengubahnya mereka harus jadi jahat. Jahat? Jahat... Letuplah bangunan-bangunan, hilangkan punca pendapatan para pekerja yang bergantung hidup berkerja di dalamnya. Bakarlah ladang-ladang pertanian, supaya orang yang bergantung hidup dengan perkerjaan mereka tak boleh cari makan. Jadikan keadaan hura-hara, kemiskinan, kebuluran, penindasan. Kenapa? hanya orang-orang yang hidupnya benar-benar susah dan merasa tertekan sahaja yang akan bangun menentang sistem yang tidak mampu menberi keselesaan dalam kehidupan mereka. Selagi majoriti rakyat yang hidup di negara ini selesa dengan kehidupan mereka pihak minoriti yang hidupnya susah hanya mampu menghempas penumbuk di meja kedai kopi menyatakan kerajaan yang ada harus ditukar. Hanya setakat itu. Aku makin tua. Mereka masih muda.

Rabu, 15 Oktober 2008

Sakit di hari raya

Aku baru baik dari sakit. Ya! Aku sakit lagi, ketika orang ramai yang beragama islam (atau merasakan dirinya islam) menyambut hari raya aku sakit lagi. Seluruh tubuh aku jadi tak bermaya walau berdozen pil aku dah telan. Lebih dari seminggu aku terbaring lesu. Hari ini adalah hari ke lima aku betul-betul baik dari sakit. Aku betul-betul sudah kembali bersemangat sebab tu aku menulis entri ni, kalau tak jangan harap buka laptop pun aku malas.

Kalau benar sakit itu menghapuskan dosa-dosa kecil… Berapa banyak dosa-dosa kecil yang aku dah buat (yang besar tak kira lagi tu. alahai!)