Memaparkan catatan dengan label teater. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label teater. Papar semua catatan

Rabu, 30 Disember 2009

Pelakon itu pelacur!

Aku kenal dengan seorang pelakon ni, namanya tak payahlah aku bagi tau untuk menghormati nama baiknya. Dia ni dulu belajar lakonan kat sekolah seni masa aku masih lagi jadi tutor kat situ. Dari situ aku kenal dia, kami banyak berborak pasal teater dan lakonan. Masa perbincangan tu keluarlah kenyataan "pelakon itu pelacur".
Lepas dia habis belajar agak lama aku tak jumpa dia. Hinggalah beberapa tahun lepas baru aku berkesempatan jumpa balik dengan dia. Macam biasa kami duduk borak-borak pasal teater dan lakonan dia tiba-tiba bagi tau aku yang dia kena marah dengan pelakon senior pasal keluarkan kenyataan pelakon itu pelacur. Pelakon senior tu tak boleh terima mungkin dia tak faham maksud kenyataan tu.

Pelakon itu pelacur bukan cuba untuk menyatakan perkerjaan pelakon itu tidak bermoral atau berdosa. Mahupun melacurkan bakat untuk mengecapi kesenangan, bukan itu maksudnya. Kenyataan itu adalah merujuk sebelah positif perkerjaan pelacur dengan pelakon. Pelacur dan pelakon banyak persamaan ketika berkerja, salah satu yang paling utama adalah mereka akan menawarkan tubuh dan bakat untuk menerima upahnya.

Seperti pelacur, pelakon juga menjadikan tubuhnya sebagai aset dan bakat sebagai penariknya. Seorang pelakon itu akan menyerahkan seluruh dirinya untuk dikerjakan oleh pengarah demi untuk persembahan yang terbaik. Seseorang yang tidak melakukan penyerahan ini akan menyebabkan kerjanya tidak berjaya dan kelihatan janggal persembahannya. Apa yang lagi penting ia akan hilang tarikannya.

nota tumit kaki kiri : pelacur itu manusia juga tapi masih ada yang layan mereka seperti binatang.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Operasi Oktober

Ahad lalu, selesai menonton Animal Farm pada sebelah siang aku ke Galeri Annexe menonton Operasi Oktober pada malamnya. Operasi Oktober adalah sebuah pementasan yang dijayakan oleh Five Arts Center dan diarahkan oleh Fahmi Fadzil. Bagi sesiapa yang bergelar sosialis atau merasakan dirinya seorang sosialis, Oktober akan secara tidak langsung mengingatkan pada Revolusi Oktober (October Revolution 1917) di mana ianya menjadi titik tolak untuk para sosialis membentuk negara dan kerajaan komunis (Kesatuan Soviet) pertama di dunia dan seterusnya ideologi komunis terus berkembang ke seluruh dunia hingga sampai ke Malaysia. Pergerakan komunis walaupun gagal membentuk kerajaan di Malaya namun gerakannya telah melahirkan ramai perjuang kemerdekaan (Chin Peng, Rahsid Maidin, Shamsiah Fakeh, Abdulah CD dan lain-lain) dan membuatkan kapitalis Inggeris kecut perut.
Namun Operasi Oktober arahan Fahmi bukanlah Revolusi Oktober 1917 ianya hanya meminjam semangatnya. Lihat saja tag line yang digunakan di poster – So, jadi ke revolusi kita ni?!- Tanda soal yang diikuti oleh tanda seru itu bukan hanya satu pertanyaan biasa tapi lebih kepada persoalan yang harus ada tindakan (atau mungkin juga oktober itu hanya diambil sempena tarikh pementasan ini dibuat). Hari ini ramai dari golongan muda mula mempertikaikan buku sejarah yang mereka pelajari di sekolah. Banyak suara-suara mula membangkitkan tentang kewajaran pendidikan sejarah di sekolah dinilai semula. Ini berlaku kerana banyak peristiwa-peristiwa dan tokoh-tokoh penting telah ‘dipadamkan’ dalam lipatan sejarah oleh pemerintah kerana ideologi politik yang berbeza. Ramai juga mula bercakap-cakap tentang tokoh-tokoh perjuang kemerdekaaan yang dilupakan tapi di manakah tindakannya. Inilah persoalan yang cuba diangkat oleh Fahmi dan para pelakonnya.
Disebabkan Operasi Oktober adalah sebahagian dari pengisian Festival Darurat (Emergency Festival – 16 hingga 26 Oktober) yang menekankan tema perjuangan nationalis semasa zaman darurat, Fahmi telah memilih peristiwa Kem Se-Malaya sebagai isu untuk memulakan proses penciptaan Operasi Oktober. Pada tahun May1948 ramai aktivis dan nationalis haluan kiri berkumpul di Kem Se-Malaya untuk mengatur strategi untuk menentang Inggeris dan mereka sudah merencana untuk bertindak pada September tahun itu. Namun pada bulan Jun di sungai Siput berlaku satu pembunuhan terhadap 3 orang pemilik ladang berbangsa Inggeris oleh komunis telah menyebabkan kerajaan Inggeris mengistiharkan darurat. Ramai pemimpin dan nasionalis haluan kiri telah ditangkap oleh pihak Inggeris. Namun bukan itu yang cuba diketengahkan oleh Fahmi dalam Operasi Oktober.
Di dalam pementasan ini kita dibawa untuk menyaksikan 4 orang muda berkumpul untuk membuat satu persembahan tentang sejarah Malaysia. Apabila mereka sudah berkumpul pihak penganjur tidak muncul-muncul. Berbekalkan bahan-bahan yang ada/ditinggalkan mereka cuba untuk memulakan proses penciptaan. Namun tanpa pengetahuan yang mendalam dan tiada yang memimpin, mereka akhirnya berputus asa dan menghentikan usaha tersebut. Pementasan yang dibahagikan kepada beberapa segmen ini dilakonkan secara sepontan (improvisasi) di selang seli dengan babak-babak yang telah dikoreograf ini cuba untuk menyatakan segala usaha untuk perubahan harus terancang dan ada yang memimpin. Mao Zedong pernah berkata “revolution is not dinner party” , Operasi Oktober memperlihatkan watak-watak melalui bahan-bahan yang disediakan (oleh penganjur) mula duduk berborak kosong kemudian cuba mencari jalan untuk mengangkat bahan-bahan itu menjadi satu pementasan. Mereka cuba mencari jalan bagaimana untuk menjayakannya tetapi bukan dengan cara yang bersungguh-sungguh. Bahan-bahan tentang perjuangan tokoh-tokoh penting seperti Chin Peng, Abdulah CD, Rahsid Maidin dan lain-lain menjadi gurauan bagi mereka. Ditambah lagi dengan beberapa poster dan risalah yang ditampal di dinding tidak terusik seolah-olah benda-benda itu tidak wujud di situ. Ini menunjukan bahawa generasi ini benar-benar buta tentang sejarah. Dengan lebih tepat lagi mereka sebenarnya telah dibutakan. Penggunaan props kerusi yang lebih banyak dari pelakon pulak menunjukan kesedaran orang ramai tentang perkara ini juga berkurangan. Walau ada 4 orang yang datang untuk menjayakan rancangan itu namun ke empat=empat mereka bukanlah orang yang membolehkan rancangan itu berjaya. Mereka memerlukan pemimpin yang dapat memimpin mereka untuk melihat semula dan akhirnya baru tindakan dapat terlaksana.
Persembahan bersekala studio dengan kedudukan penonton dalam bentuk arena (pentas arena adalah apabila penonton duduk disekeliling ruang pementasan) memberi hubungan penonton dengan pelakon menjadi intim. Jarak antara penonton dengan pelokon yang bergitu hampir membuatkan pelakon tak perlu untuk membesarkan lakonan mereka. Lakonan berbentuk naturalistik ini amat sesuai digayakan dalam ruang sebegini. Para pelakonnya kelihatan benar dan sepontan inilah kelebihan improvisasi. Dan, pemilihan teknik lakonan ini juga sebenarnya amat sesuai untuk penceritaan sebegini. Syabas diucapkan kepada Fahmi Fahzil dan pelakonnya Mislina Mustafa, Hariry Jalil, Janet dan Chung Wei.


Khamis, 25 September 2008

Aku Dalam Ketakutan

Semalam adalah pementasan preview untuk Break-ing/Ji Po/Ka Si Pe Cah. Selesai pementasan kami adakan sessi soal jawab bersama penonton. Kebanyakan dari penonton memberi pendapat bahawa pertunjukan WIP yang diarahkan oleh aku tidak sesuai dipentaskan dalam situasi politik di Malaysia. Disebabkan rata-rata penonton merasakan begitu ia sedikit sebanyak membuatkan aku rasa terancam. Walaupun begitu aku tetap merasakan tindakan aku tidak salah. Aku hanya bercerita tentang sesuatu yang orang lain sudah mengetahuinya. Sekurang-kurangnya pernah mendengar mengenainya. Aku cuma menceritakannya kembali dari sudut pandangan aku. Apa yang membuatnya berbeza dari cerita yang pernah mereka dengar adalah kali ini aku bercerita secara terbuka bukannya berbisik-bisik (supaya cerita ini tidak sampai kedengaran ke telinga pihak yang boleh mengancam mereka).
Aku pernah memberi pandangan aku terhadap orang seni yang pertunjukan hasil kerja mereka ke luar negara kerana merasakan tiada kebebasan berkarya di negara kita. Aku katakan tindakan mereka ini hanya akan membuatkan negara ini akan kelihatan buruk pada pandangan orang luar. Dan, mereka tidak mengubah apa-apa. Bagi aku sekiranya kita sebagai orang seni merasakan ada kecacatan dalam masyarakat dan negaranya, kita harus melahirkan karya-karya yang dapat menjadi cermin kepada masyarakat dan negaranya. Kita harus berdepan dengan masalah ini, di sini, di negara kita sendiri. Untuk melakukannya kita harus berdepan dengan ketakutan kita sendiri, dengan hanya sedikit keberanian kita akan melangkah selangkah ke hadapan dan akhirnya keberanian kita akan bertambah sedikit, lebih dari semalam. Itu yang aku lakukan dalam pementasan WIP.

Khamis, 18 September 2008

Projek Kolarborasi Break-ing/Ji Po/Ka Si Pe Cah

11 benda yang anda patut tahu tentang Projek Kolarborasi Break-ing/JI PO/Ka Si Pe Cah

1. Kali pertama dipentaskan di Stor Teater DBP 2006 dan diundang ke Tokyo dan Singapura pada 2008.
2. kolarborasi antara 3 orang pengarah.
3. bertemakan bahasa.
4. melibatkan 3 syarikat teater
5. menggunakan bahasa cina, inggeris dan melayu dengan sarikata disediakan.
6. akan dipentaskan di KLPac pentas 2.
7 tiket berharga RM47 dewasa dan 27 pelajar.
8. mempunyai 3 cerita berbeza Repot Mind(Mine), Silence Please dan WIP
9. Belum ada sponsor dari mana mana pihak.
10. Kali pertama kolarborasi yang menggunakan pendekatan sebegini diadakan di Malaysia.
11. Mendapat 8 percalonan di Anugerah Seni Cameronian 2006

Perjalanan sebuah pementasan teater

Ini cerita tentang suatu perjalanan. Pada tahun 2003, aku dijemput untuk menyertai satu pakatan. Seramai 16 orang teater yang mempunyai latarbelakang dalam penulisan dan pengarahan teater kontemporari dari 7 buah negara telah berkumpul di Tokyo, Japan. Bermula dari tahun itu kami meneruskan pertemuan demi pertemuan hingga 2008 (hanya pada tahun 2006 saja kami tak bersama). Ada sekali setahun ada 3 kali setahun semuanya bergantung kepada agenda pertemuan. Kami cuba untuk mencari jalan untuk berkerja dalam satu pakatan (kolarborasi). Banyak yang kami semua lalui ketawa, menangis dan bercakaran sesama sendiri. Dari berbincang di meja, berbengkal di padang, berseminar di bilik hingga ke bermain di panggung.
Pada tahun 2006 Aku, Loh Kok Man dan Jo Kukathas berbincang untuk membuat kolaborasi sesama kami. Ini kerana ke tiga-tiga kami dari Malaysia tapi kami tak pernah bersama-sama membuat satu pertunjukan bersama. Lebih ironik kami selalu berkolaborasi semasa pertunjukan dan bengkel di luar negara tapi di negara sendiri kami membawa haluan masing-masing. Malahan aku mengenali Jo dan Kok Man semasa di sana padahal kami dari negara yang sama dan berkerja dalam bidang yang sama.
Maka pada tahun 2006 lahirlah sebuah pertunjukan kolarborasi kami yang diberi nama Break-ing/JI PO/Ka Si Pe Cah. Pertunjukan itu berlangsung di Stor Teater DBP. Kami sangkakan perjalanan pertunjukan itu akan tamat di situ. Namun pada 2008 kami diundang untuk membuat pertunjukan itu di Tokyo dan Singapura. Setelah mengharungi perjalanan tersebut kami sekali lagi berpakat untuk kembali mementaskannya di Malaysia.
Break-ing/JI PO/Ka Si Pe Cah akan dipentaskan di KLPac, Kuala Lumpur pada 24 hingga 28 bulan ini.
Pertunjukan ini dibahagikan kepada 3 bahagian dan dicantumkan dengan satu tema iaitu bahasa. Setiap bahagian ini mempunyai cerita dan bahasa yang berlainan iaitu Repot Mind(Mine) lebih banyak menggunakan bahasa cina, Silence Please dalam bahasa english dan WIP dalam bahasa melayu. Kolarborasi ini juga melibatkan 3 syarikat teater dari 3 latarbelakang yang berbeza iaitu teater cina Pentas Project Teater Production, teater inggeris The Instant Cafe Theatre Company dan Teater Melayu Alternative Stage. Anda semua dijemput untuk sama-sama datang untuk menyaksikan pementasan ini dan membantu memberi sokongan dengan terhadap pakatan kami. Hingga ke saat ini kami belum lagi mendapat sokongan dalam bentuk kewangan dari mana-mana badan kerajaan dan syarikat sawsta. Kehadiran anda dengan datang menonton dengan membeli tiket yang berharga RM47 untuk dewasa dan Rm27 untuk pelajar (dengan membawa pas pelajar). Pada 24 haribulan harga tiket hanya RM27 tak kira pelajar atau dewasa. Harga tiket mungkin bagi sesetengah dari anda merasakan agak mahal tetapi sebenarnya harga itu hanya cukup untuk menampung kos produksi tidak termasuk bayaran individu yang terlibat (sekiranya setiap malam panggung penuh dengan penonton). Dengan itu saya sangat-sangat berharap anda datang untuk menyaksikan pementasan ini sekurang-kurangnya dapat membantu kami melangsaikan bayaran sewa panggung di KLPac. Sekian Terima Kasih.

Rabu, 17 September 2008

Surat terbuka untuk Shahrul, Buta Seni dan Pegawai Khalwat.

Tidak dapat dinafikan kejujuran dalam lakonan sangat penting untuk membuatkan penonton percaya dengan segala tutur kata dan tingkah laku si pelakon di atas pentas. Untuk mendapatkan kejujuran ini ada beberapa pendekatan yang dapat diguna pakai oleh pelakon (samada dengan bantuan pengarah, jurulatih lakon mahupun secara sendirian).
Seorang pelakon itu seharusnya kaya dengan pengalaman hidup. Pegawai Khalwat memberi contoh seorang pelakon yang tak pernah memegang perempuan dalam hidupnya sukar untuk memberi rasa jujur bila dia membawa watak kasanova dan harus melakukan aksi tersebut. Jika pelakon itu tidak mempunyai pengalaman sebegitu amat payah untuk dia melakonkannya jika ia mencuba juga membawa watak tersebut dia akan kelihatan kaku dan palsu (tak jujur). Ada beberapa cara yang dapat dilakukan oleh pelakon itu untuk mengatasi masalahnya:-

1- Dia harus mengkaji watak itu melalui pemerhatian ke atas kasanova-kasanova yang ada di alam nyata (bukan TV) selepas itu dia harus menjalani hidup seperti kasanova tersebut. Dia boleh mula dengan luaran dengan meniru cara duduk, jalan, permakaian, cara bercakap, cara makan dan sebagainya. Ingat acting is art of imatation. Si pelakon juga harus mengkaji pemikiran seorang kasanova melalui pembacaan dan mungkin bertemu terus dengan kasanova yang dia kenali untuk memahami pemikirannya. Selepas itu dia harus berfikir sebagai seorang kasanova. Lama kelamaan dia akan terus berubah dari dirinya yang sebenar dan menjadi kasanova. Dari seorang lelaki baik/alim dia telah menjadi orang lain. Sama seperti mat Rock yang mendapat tawaran menjadi guru. Apabila dia menukar luarannya dan kegiatan hariannya lama kelamaan dia tidak lagi kelihatan mat rock tapi seorang guru.

2- Mencipta pengalaman baru. Jika pelakon tiada satu satu pengalaman dia harus menciptanya. Mencipta pengalaman baru boleh dilakukan dengan cara mencuba membuat benda-benda yang dia belum penah buat sebelum ini. Sebagai contoh jika dia tidak pernah merasa bagaimana rasa sejuk dia harus menempuh pengalaman itu. Saya pernah bereksperimen dengan pelakon saya dengan kaedah ini. Sewaktu itu saya berlatih untuk mementaskan teater Di Pulau Sa dan Di karya Dinsman. Ada satu Dialog yang diucapkan oleh Sa kepada Di, iaitu “Di aku sejuk”. Dialognya begitu mudah tapi saya sebagai pengarah tidak melihat kejujuran pada kata-katanya (seorang wanita yang lari mengikut kekasihnya tinggal di pulau yang hanya mereka berdua saja di situ; apa yang di inginkan olehnya bila melafazkan kata-kata itu?) Setelah berkali-kali mencuba saya akhirnya menyuruh mereka menanggalkan seluar dan baju (hanya tinggal pakaian asas sahaja) kemudian saya membawa mereka ke bilik air dan saya siramkan mereka hingga basah lenjun. Selepas itu saya masukkan mereka ke dalam studio (aircond) dan menguncinya dari luar. Saya pergi ke cafĂ© dan minum kopi. Selepas lebih kurang sejam lebih saya naik semula ke studio latihan dan mendapati mereka berpelukan sesama sendiri. Dan, saya suruh mereka ucapkan dialog tersebut kesannya saya melihat kejujuran terhadap tindakan dan ucapannya. Ini kerana mereka melalui pengalaman tersebut dan bukan di buat-buat (Sa mengatakan kepada Di yang dia sejuk kerana ingin dipanaskan). Latihan-latihan ini agak keterlaluan dan saya tak mengalakkan ianya dilakukan (mungkin terbatas kepada adegan-adegan tertentu sahaja). Saya sendiri sudah tidak melakukan latihan ini bersama pelakon saya kerana kesannya sangat tidak terkawal (pelakon saya dalam drama ni menjalani hidup seperti Sa dan Di walaupun sesudah pementasan tersebut).

3- Menggunakan imaginasi untuk mendapatkan kejujuran seperti yang dikatakan oleh Syahrul tu juga ada benarnya. Seseorang pelakon itu harus kaya dengan imaginasi tapi bukan semua dilahirkan dengan imagnasi yang kuat seperti kata syahrul. Untuk menzahikan imaginasi juga bukan mudah. Dalam Method acting stanilavski menggunakan pendekatan IF. Setiap manusia ada semua sifat-sifat manusia baik jahat ataupun baik cuma ada sesetengahnya tidak menzahirkan di kehidupannya hari-hari kerana adanya super ego. Setiap manusia ada naluri untuk membunuh tapi dia tak pernah tunjukan melalui magic if seorang pelakon itu akan menzahirakn sifat-sifat seorang pembunuh jika dia membawa watak pembunuh itu. Bagaimanapun magic if ini lebih berguna untuk seorang pelakon membawa watak dengan gayanya sendiri dia tak perlu meniru lagak pembunuh yang sudah dibawa oleh pelakon lain. Ia harus membayangkan dirinya sebagai pembunuh dan apa yang dia akan lakukan bukan mengikut-ikut gaya pelakon lain. Stanilavski mengambil ini dari kajian Freud seorang ahli psikologi yang membuat teori iceberg. Freud percaya Manusia ini seperti iceberg di lautan. Kita hanya nampak berapa percent sahaja ia dipermukaan laut tapi yang terbenam dibawahnya lebih besar dari yang dinampak (10% berbanding 90%). Seorang pelakon itu hanya perlu mengali sifat-sifat ini dari dalam dirinya sahaja.

4- Acting is art of repeatation. Ini satu lagi kaedah yang boleh digunapakai. Sesetengah pengiat merasakan bahawa kaedah method acting yang diperkenalkan oleh stanilavski tidak sesuai digunakan untuk lakonan (kaedah ini lebih mementingkan rasa (jujur) yang datang dari dalam). Mereka percaya bahawa untuk kelihatan jujur dalam lakonan boleh juga datang dari perbuatan (luaran) yang diulang-ulang. Jika bergantung pada rasa seorang pelakon akan susah untuk melakukan buat kali kedua. Sebagai contoh jika pelakon yang membawa satu watak dan adegan itu belaku di dalam pejabat, Si pelakon harus duduk di kerusi ketika dia kebingungan. Jika pelakon tidak merasakan di saat itu dia mahu duduk di kerusi dia akan berdiri ataupun dia tidak merasa bingung pada hari tersebut (hari sebelumnya dia binggung dan duduk di kerusi). Mungkin tidak menjadi masalah jika persembahan itu tiada apa-apa tuntutan teknikal tapi jika ada; seperti ada lampu spot dia duduk dikerusi itu dan dia akan bermonolog dan kerusi itu bergerak ke hadapan? Pasti akan ada masalah yang besar akan timbul. Jika dia pergi ke kerusi itu akan nampak ketidakjujurannya kerana dia tidak merasainya pada saat itu (emotional truth). Sebab itu kaedah pengulangan ini sangat penting. Ada sesetengah pengiat teater percaya jika kita mengulang-ulang melakukan benda yang sama sehingga tubuh itu berfikir sendiri. Penonton takan dapat mengesan apakah kejujuran itu datang dari dalam atau tak. Harus diingat kejujuran itu penting hanya untuk membuatkan penonton percaya jika penonton percaya jujur dan tak jujur dah tak penting lagi.

Pendapat Buta Seni mengatakan bahawa pentingnya rakan lakon untuk mencapai lakonan yang baik dan penuh dengan kejujuran itu saya setuju. Acting is reacting. Jika rakan lakon tidak memberi kita yang berlakon bersamanya akan turut tenggelam. Jika mendapat rakan lakon sebegini cuba buat latihan give and receive bersama dengannya lebih kerap lagi. Latihan-latihan trust juga boleh membantu. Sebenarnya banyak teknik-teknik latihan asas untuk lakonan menjadi sangat penting untuk membentuk lakonan yang baik. Saya sekarang ni sedang membaca buku acting through exercise oleh John L. Gronbeck - Tedesco yang aku praktikkan bila bekerja dengan pelakon-pelakon baru dan student.
Aku percaya sebagai pengiat seni teater kita tak seharusnya berpegang kepada satu-satu pendekatan yang kita pelajari tapi kita juga boleh adunkan segalanya dan cuba mencari teknik kita sendiri untuk berkerja yang pentingnya penonton percaya dengan apa yang dikata dan dilakukan. Ini kerana tanggungjawab pelakon adalah menyampaikan pemikiran pengarang dan tafsiran pengarah menggunakan bakat yang ada padanya. Jika penonton tidak percaya dengan si pelakon ini segala-galanya tidak akan terbenam dalam fikiran penonton.

p/s maaf panjang pulak entri kali ni. Harap boleh tambah jika ada yang kurang.

Jumaat, 12 September 2008

Jujur dalam lakonan

Setiap pelakon harus percaya dengan apa yang dilakukan adalah benar. Pelakon yang baik akan berjaya membuat penonton percaya dengan apa yang dilakukan dan diperkatakannya. Pelakon tidak harus terlalu mencuba untuk menyakinkan penonton dengan apa yang dilakukan dan diperkatakannya kerana dengan ini ia sudah tidak jujur dengan dirinya sendiri. Pelakon yang gagal berlaku jujur dengan dirinya akan membuatkan penonton rasa tertipu. Bagaimana untuk mendapatkan rasa jujur agar segala perbuatannya kelihatan benar? Pelakon harus percaya dengan dirinya sendiri. Untuk percaya dengan diri sendiri sebenarnya adalah satu pekara yang sukar untuk dilakukan.

Sebahagian besar pelakon akan cuba membesar-besarkan gerakannya untuk menyakinkan penonton bahawa dia benar-benar dalam sesuatu situasi. Sebagai contoh seorang pelakon itu akan berlegar-legar untuk menunjukan yang dia sedang susah hati atau gelisah atau mengerakkan tangannya ke atas dan ke bawah untuk menunjukan dia sedang marah. Tidak salah untuk melakukan perbuatan tersebut tapi apakah perbuatan itu adalah benar dan jujur datang dari dirinya atau sekadar untuk menunjukkan kepada penonton bahawa dia dalam situasi itu. Ada bezanya perbuatan untuk menunjuk dengan perbuatan yang jujur. Perbuatan menunjuk adalah satu penipuan. Seorang yang marah atau sedih tidak akan cuba menunjukan perasaannya kepada orang lain. Sebagai contoh jika saya dalam keadaan marah, saya tiada masa untuk memikirkan untuk menunjukan rasa marah saya pada orang lain. Rasa marah saya datang dari keadaan/sebab yang membuatkan saya marah. Kenapa saya marah? Saya marah kerana saya ditipu dan orang yang menipu saya adalah sahabat yang saya begitu mempercayainya. Saya pernah membantunya ketika dia susah, saya sudah menganggap dia seperti saudara saya dan sekarang dia telah menipu saya. Bila saya ingatkan semula apa yang saya dah buat pada dia dan apa yang dia buat pada saya saya jadi marah. Perasaan marah itu datang kerana saya memikirkan tentangnya bukan kerana saya cuba menunjukan rasa marah saya supaya saya kelihatan marah. Rasa marah itu adalah benar dan jujur. Perbuatan mengerak-gerakkan tangan ke atas dan ke bawah tanpa ada pemikiran dari sebab-sebab yang menyebabkan tangan-tangan itu bergerak bermakna pelakon itu cuba menunjukan rasa marahnya dan bukan benar-benar jujur dengan perasaannya itu.

Ahad, 1 Jun 2008

Foto foto dari teater vertigo








gambar-gambar ini telah dirakamkan oleh saudara hafiz hussin