Sabtu, 9 Januari 2010

Melayu Islam Jahiliah

Pagi tadi ketika aku membaca suratkhabar picisan harian metro, tersentak urat kiri di jantung hati ku kerana 3 buah gereja di lontar dengan bom petrol hingga terbakar. Kejadian ini mengingatkan aku pada peristiwa memijak kepala lembu yang berlaku tahun lalu. Kedua-dua peristiwa ini adalah menunjukan pemikiran mereka yang melakukannya adalah sama dengan masyarakat jahiliah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Bezanya perlakuan itu dilakukan terhadap orang Islam oleh orang Quraisy Mekah.

Jahiliah merujuk kepada orang yang jahil atau bodoh yang tidak dapat menerima penyebaran islam dengan melakukan kezaliman dan penghinaan terhadap nabi dan orang yang telah menerima ajaran islam. Dalam konteks kejadian pembakaran gereja ini aku melihat kesamaan perlakuan masyarakat sesetengah Quraisy Mekah dan sesetengah Islam Malaysia (baca Melayu) iaitu berfikiran jahiliah atau bodoh. Gelaran yang tepat untuk mengambarkan golongan islam ini, pada aku, adalah Melayu Islam Jahiliah.

Ketika seluruh dunia islam mengutuk perlakuan sesetengah masyarakat bukan islam (baca kristian) di barat menindas kebebasan orang islam mempraktikkan amalan mereka, masyarakat islam kita pula menunjukkan kebodohan yang serupa. Kejadian serangan masjid di sesetengah negara Eropah menjadi isu politik sehingga mendorong negara-negara islam dunia bersatu menekan negara tersebut. Dunia turut sama mengecam tindakan mereka. Walaupun tiada tindakan tegas dikenakan terhadap negara tersebut namun suara-suara orang islam telah didengar oleh dunia. Ada yang simpati dan mula cuba untuk memahami islam dengan cara yang positif. Tindakan sesetengah masyarakat kristian yang menjadi majoriti di negara-negara Eropah mula dipandang negatif oleh masyarakat dunia. Adalah tidak mustahil sekiranya suara-suara masyarakat kristian yang menjadi minoriti di Malaysia akan sampai juga ke telinga mereka dan sekiranya ini terjadi maka mereka yang pada mulanya seakan memahami islam mulai kabur kembali dan mula percaya islam itu adalah keganasan dan jahiliah.

Islam adalah agama yang mencintai keamanan peperangan adalah jalan terakhir, lihat saja bagaimana nabi s.a.w menjadikan diplomasi sebagai jalan penyelesaian terhadap segala sengketa. Diplomasi ini bukan dilakukan hanya sebagai syarat tetapi dilakukan dengan penuh keyakinan serta budi dan perkerti. Islam mementingkan ilmu dan kepandaian bukan tindakan bodoh yang terburu-buru.

Penggunaan nama ALLAH pada akhbar mingguan terbitan gereja bagaikan mempunyai kaitan dengan tindakan bodoh Melayu Islam Malaysia ini. Tindakan mereka menggunakan nama Allah tidak perlu dikecohkan sehingga ke tahap ini, jika tindakan orang islam yang menggunakan nama Jesus mengantikan nama Allah itu baru boleh diperbesarkan kerana secara terang-terang telah terpesong akidahnya. Penggunaan nama Allah oleh gereja jika dinilai dari minda yang sihat seolah-olah memperakui keesaan Allah, ianya sama seperti penerimaan Allah oleh pemerintah kristian di zaman nabi saw (namun menolaknya kerana tidak dapat menerima nabi saw sebagai persuruh-Nya).

Jika benar kita (baca orang islam) berpegang kepada keesaan Allah sudah pasti kita tidak bermusuhan dengan mereka sebaliknya cuba menunjukan mereka jalan yang benar. Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad saw itu persuruh Allah. Sudah tentu dengan cara yang bijak bukannya jahil kerana islam itu cahaya bukannya api. Lalu tindakan Melayu Islam Jahiliah itu haruslah kita tentang agar mengembalikan cahaya dalam Melayu Islam Malaysia.


Nota tumit kaki kiri : Penulis bukanlah seorang ahli theologi dan tidak mempunyai tauliah untuk bercakap soal agama di Selangor dan negeri-negeri lain di Malaysia. Beliau juga gagal dalam kertas peperiksaan agama islam di peringkat SPM.

.klik di sini aku akan mendapat rm 0.30sen dengan setiap klikan. Terima Kasih :)

Tiada ulasan: