Rabu, 6 April 2011

menunggu esok.

99 - 00, aku berdiri di hadapan 7/11. Perut pedih menahan lapar tapi bukan itu yang bermain dalam fikiran. Aku lebih fikirkan tentang besok dan besok, duit dalam kocek hanya tinggal beberapa ringgit yang tak akan cukup untuk perbelanjaan untuk walau sehari. Aku berdiri di hadapan 7/11, nafas aku kencang ketika otak mula meracun naluri kebinatangan aku. Merancang untuk jadi perompak. Menjarah kutipan hari itu sudah cukup untuk aku bertahan beberapa esok yang mendatang. Aku memandang dari cermin luar permis itu, beberapa helai not 10 ringgit bertukar tangan dari pelanggan dengan pekerja. Aku pejamkan mata, tarik nafas dan aku lepaskan dengan satu tekad, esok sajalah. Dan, aku melangkah tinggalkan 7/11. Hingga kini esok itu belum lagi muncul untuk aku kembali ke sana.

Isnin, 4 April 2011

Kaya dan miskin

Adapun sudah jadi lumrah mahluk yang namanya manusia itu, apabila melihat orang yang duduk di rumah besar, berkereta besar, berpangkat besar, bergaji besar dan segala mak nenek yang besar-besar belaka, maka dengan mudah mereka mengatakankan orang itu kaya. Benarkah begitu? Jawapannya tentu sekali tidak. Kaya atau miskin bukan diukur dari segi pendapatan tetapi dari segi pembelanjaan. Aku berani kata Pak Cik Atan yang kerjanya bercucuk tanam di sekitar kawasan sekangkang kera di belakang rumah papan kat kampung yang jauh di pendalaman itu lebih kaya dari Encik Zamry yang kerja kat jabatan kerajaan sebagai pegawai atasan. Mengapa pula dengan bangangnya aku berkata demikian? Sudah tentu jawapannya adalah kerana Pak Cik Atan tidak pening kepala untuk membayar hutang setiap kali hujung bulan berbanding dengan Encik Zambry. Memang benar Encik Zamry berkereta besar sedangkan Pak Cik Atan kereta lembupun tak ada tapi tidur Pak Cik Atan lena di buai mimpi sedangkan Encik Zamry matanya merah menyala macam bela hantu raya sebab tidur malam selalu terjaga takut orang datang tarik keretanya. Kaya itu membawa maksud keselesaan hidup seseorang itu. Makin selesa seseorang itu hidup makin kayalah dia. Jadi mulai hari ini ubahlah pemikiran kita.

Malam sunyi

malam sunyi,

aku sendiri melayar derita,

pilu mengetuk pintu hati,

kesedihan menyapa mengurai titis air mata di pipi.


Malam kian sunyi,

ku bisik pada mata,

lelaplah seketika,

derita kan pergi sendiri.


Lelaplah mata,

sunyi kan tiada lagi,

walau seketika.

Selasa, 27 Julai 2010

Indie Dokumentari Komuniti Kental

Klip ini adalah sebahagian dari projek indie dokumentari movie berjudul Komuniti Kental yang akan dapat dibeli semasa pementasan teater Short Eye di PJ Live Arts 4 hingga 7 ogos jam 8.30 petang 2010 dan 8 ogos 2010 jam 3 petang. Projek Komuniti Kental ini diarahkan oleh Nam Ron dan diterbitkan oleh RATproduction.

Selasa, 29 Jun 2010

Menjadi Tuhan

Sumber utama pendapatan aku untuk menyara keluarga adalah melalui lakonan untuk televisyen dan filem. Pada masa yang sama sumber kewangan ini juga yang menjana kerja-kerja artistik aku di dalam teater dan indiependent movie (sudah pasti perkerjaaan itu tidaklah menjana pendapatan sebaliknya memerlukan sumber kewangan untuk merealisasikannya). Entri kali ini cuba untuk mengupas permasalahan industri hiburan, secara khususnya televisyen, dari sudut pandangan seorang pelakon.

Seorang teman dari indonesia Azuzan JG (kini memiliki PR negara Belanda) ketika pertemuan kami di Tokyo sempena Bengkel Teater Kontemporari Asia menyatakan "Di Indonesia hanya dua ketegori pelakon yang berjaya sebagai pelakon televisyen; pertama, tampan atau cantik dan kedua, hodoh atau buruk." Menurutnya, pelakon yang tampan atau cantik sentiasa akan menjadi pelakon utama untuk sesebuah drama tv sementara yang hodoh atau buruk akan memegang watak jahat atau pelawak. Senario ini tidak hanya berlaku di tanah seberang sebaliknya turut berlaku di sini, di Malaysia.

Dilemanya adalah untuk pelakon yang tidak memenuhi kedua-dua ketegori tersebut, pelakon yang berada ditengah-tengah atau averange. Walaupun mempunyai bakat dan mempamerkan lakonan yang berkesan, mereka ini tidak diendahkan oleh pihak produksi dan kerap terpinggir malah tidak dapat bergantung dengan sumber pendapatan yang tidak konsisten itu. Dimanakah silapnya? Mengikut pengalaman aku, kemunculan pelakon-pelakon di dalam sesebuah drama bukan terletak ditangan pengarah dan penerbitnya tetapi stesen televisyen yang mempunyai kuasa veto. Sebagai contohnya, aku sendiri pernah dihubungi oleh beberapa syarikat produksi yang ingin menggunakan khidmat aku sebagai pelakon, setelah menyatakan persetujuan, nama aku dicadangkan kepada pihak stesen tv. Setelah beberapa lama kemudiannya, aku dihubungi oleh pihak produksi berkenaan yang memohon maaf kerana nama aku ditolak oleh stesen tv. Mereka (stesen tv) mahukan pelakon yang kononnya lebih popular demi untuk meningkatkan rating siaran berkenaan.

Pelakon-pelakon seperti aku adalah "buruh murah" dalam industri penyiaran. Mengapa aku menggunakan terma ini adalah kerana aku hanya akan muncul di dalam sesebuah drama sekiranya pihak produksi berjaya menyakinkan stesen tv mereka terpaksa menggunakan bajet yang ada untuk menghasilkan set dan post production yang memakan belanja yang mahal. Itu adalah hakikatnya, penggunaan bajet yang besar untuk keperluan produksi akan mengurangkan kos pembayaran kepada pelakon. Oleh itu, "buruh murah" seperti aku diperlukan kerana tidak mampu membayar pelakon popular.

Kepopularan seseorang pelakon seakan menjadi aset untuk menjamin kemunculan di kaca televisyen. Namun dari manakah kepopularan ini dicapai? Jawapannya adalah stesen tv. Sekiranya seseorang pelakon itu kerap muncul di kaca tv secara tidak langsung kepopularan itu akan menjadi miliknya. Bagi aku, stesen tv seakan memainkan peranan sebagai "tuhan" dalam konteks penyiaran. Takdir seseorang pelakon itu seolah-olah terletak ditangan mereka. Disebabkan itulah ada diantara pelakon sentiasa melakukan "penyembahan" dengan menjamu hidangan kepada stesen tv untuk memperoleh "takdir" yang lebih baik. Penyembahan ini adalah seperti mengunjungi orang-orang tertentu di stesen tv untuk mendapat keberkatan. dan, periuk nasi mereka akan terus berasap.

Kita pernah melihat kemunculan beberapa pelakon yang hebat di televisyen namun akhirnya mereka seakan lenyap dalam industri hiburan. Perkara ini terjadi disebabkan perkara-perkara di atas. Hak mereka untuk mencapai populariti bagaikan disekat dan diberikan kepada anak emas stesen tv. Oleh sebab itu, hanya susuk tubuh mereka ini yang hanya muncul di kaca tv.

Nota tumit kaki kiri : Jika entri ini sampai ke pengetahuan mereka nampaknya makin rapatlah periuk nasi aku. alahai.

Payah

Payah. Sekarang ini keadaannya lebih payah. Namun belum lagi terkeluar keluhan dari mulut aku. Apatah lagi merasa kesal.

Kepayahan ini bagaikan memberi kekuatan dan semangat baru untuk aku melakukan apa yang sepatutnya aku lakukan dari dahulu. Stabil buatkan aku hampir hilang apa yang aku perjuangkan itu.

Kepayahan yang aku lalui sekarang hampir sama dengan aku lalui 10 tahun dulu. Saat aku baru melangkah keluar dari tembok akademi. Hidup merempat demi untuk satu perjuangan dan cita-cita.

Hanya ketika itu, aku sendirian.

Ahad, 27 Jun 2010

masih wujud

Dalam kesibukan untuk menguruskan hidup baru, aku cuba juga singgah kat sini. Blog yang sudah lama aku tinggalkan. Selepas meninggalkan ASWARA, aku mencuba hidup sebagai freelancer, menjalani satu kehidupan baru untuk aku. Ternyata hanya kekentalan yang diperlukan untuk mengharunginya. Sepanjang tempoh itu, aku selalu memerhatikan kejadian dan tingkah laku yang berlaku di sekeliling. Banyak perkara baru yang aku pelajari setiap hari. Dan, ini semua akan aku kongsi di entri selepas ini.