Selasa, 27 Julai 2010

Indie Dokumentari Komuniti Kental

Klip ini adalah sebahagian dari projek indie dokumentari movie berjudul Komuniti Kental yang akan dapat dibeli semasa pementasan teater Short Eye di PJ Live Arts 4 hingga 7 ogos jam 8.30 petang 2010 dan 8 ogos 2010 jam 3 petang. Projek Komuniti Kental ini diarahkan oleh Nam Ron dan diterbitkan oleh RATproduction.

Selasa, 29 Jun 2010

Menjadi Tuhan

Sumber utama pendapatan aku untuk menyara keluarga adalah melalui lakonan untuk televisyen dan filem. Pada masa yang sama sumber kewangan ini juga yang menjana kerja-kerja artistik aku di dalam teater dan indiependent movie (sudah pasti perkerjaaan itu tidaklah menjana pendapatan sebaliknya memerlukan sumber kewangan untuk merealisasikannya). Entri kali ini cuba untuk mengupas permasalahan industri hiburan, secara khususnya televisyen, dari sudut pandangan seorang pelakon.

Seorang teman dari indonesia Azuzan JG (kini memiliki PR negara Belanda) ketika pertemuan kami di Tokyo sempena Bengkel Teater Kontemporari Asia menyatakan "Di Indonesia hanya dua ketegori pelakon yang berjaya sebagai pelakon televisyen; pertama, tampan atau cantik dan kedua, hodoh atau buruk." Menurutnya, pelakon yang tampan atau cantik sentiasa akan menjadi pelakon utama untuk sesebuah drama tv sementara yang hodoh atau buruk akan memegang watak jahat atau pelawak. Senario ini tidak hanya berlaku di tanah seberang sebaliknya turut berlaku di sini, di Malaysia.

Dilemanya adalah untuk pelakon yang tidak memenuhi kedua-dua ketegori tersebut, pelakon yang berada ditengah-tengah atau averange. Walaupun mempunyai bakat dan mempamerkan lakonan yang berkesan, mereka ini tidak diendahkan oleh pihak produksi dan kerap terpinggir malah tidak dapat bergantung dengan sumber pendapatan yang tidak konsisten itu. Dimanakah silapnya? Mengikut pengalaman aku, kemunculan pelakon-pelakon di dalam sesebuah drama bukan terletak ditangan pengarah dan penerbitnya tetapi stesen televisyen yang mempunyai kuasa veto. Sebagai contohnya, aku sendiri pernah dihubungi oleh beberapa syarikat produksi yang ingin menggunakan khidmat aku sebagai pelakon, setelah menyatakan persetujuan, nama aku dicadangkan kepada pihak stesen tv. Setelah beberapa lama kemudiannya, aku dihubungi oleh pihak produksi berkenaan yang memohon maaf kerana nama aku ditolak oleh stesen tv. Mereka (stesen tv) mahukan pelakon yang kononnya lebih popular demi untuk meningkatkan rating siaran berkenaan.

Pelakon-pelakon seperti aku adalah "buruh murah" dalam industri penyiaran. Mengapa aku menggunakan terma ini adalah kerana aku hanya akan muncul di dalam sesebuah drama sekiranya pihak produksi berjaya menyakinkan stesen tv mereka terpaksa menggunakan bajet yang ada untuk menghasilkan set dan post production yang memakan belanja yang mahal. Itu adalah hakikatnya, penggunaan bajet yang besar untuk keperluan produksi akan mengurangkan kos pembayaran kepada pelakon. Oleh itu, "buruh murah" seperti aku diperlukan kerana tidak mampu membayar pelakon popular.

Kepopularan seseorang pelakon seakan menjadi aset untuk menjamin kemunculan di kaca televisyen. Namun dari manakah kepopularan ini dicapai? Jawapannya adalah stesen tv. Sekiranya seseorang pelakon itu kerap muncul di kaca tv secara tidak langsung kepopularan itu akan menjadi miliknya. Bagi aku, stesen tv seakan memainkan peranan sebagai "tuhan" dalam konteks penyiaran. Takdir seseorang pelakon itu seolah-olah terletak ditangan mereka. Disebabkan itulah ada diantara pelakon sentiasa melakukan "penyembahan" dengan menjamu hidangan kepada stesen tv untuk memperoleh "takdir" yang lebih baik. Penyembahan ini adalah seperti mengunjungi orang-orang tertentu di stesen tv untuk mendapat keberkatan. dan, periuk nasi mereka akan terus berasap.

Kita pernah melihat kemunculan beberapa pelakon yang hebat di televisyen namun akhirnya mereka seakan lenyap dalam industri hiburan. Perkara ini terjadi disebabkan perkara-perkara di atas. Hak mereka untuk mencapai populariti bagaikan disekat dan diberikan kepada anak emas stesen tv. Oleh sebab itu, hanya susuk tubuh mereka ini yang hanya muncul di kaca tv.

Nota tumit kaki kiri : Jika entri ini sampai ke pengetahuan mereka nampaknya makin rapatlah periuk nasi aku. alahai.

Payah

Payah. Sekarang ini keadaannya lebih payah. Namun belum lagi terkeluar keluhan dari mulut aku. Apatah lagi merasa kesal.

Kepayahan ini bagaikan memberi kekuatan dan semangat baru untuk aku melakukan apa yang sepatutnya aku lakukan dari dahulu. Stabil buatkan aku hampir hilang apa yang aku perjuangkan itu.

Kepayahan yang aku lalui sekarang hampir sama dengan aku lalui 10 tahun dulu. Saat aku baru melangkah keluar dari tembok akademi. Hidup merempat demi untuk satu perjuangan dan cita-cita.

Hanya ketika itu, aku sendirian.

Ahad, 27 Jun 2010

masih wujud

Dalam kesibukan untuk menguruskan hidup baru, aku cuba juga singgah kat sini. Blog yang sudah lama aku tinggalkan. Selepas meninggalkan ASWARA, aku mencuba hidup sebagai freelancer, menjalani satu kehidupan baru untuk aku. Ternyata hanya kekentalan yang diperlukan untuk mengharunginya. Sepanjang tempoh itu, aku selalu memerhatikan kejadian dan tingkah laku yang berlaku di sekeliling. Banyak perkara baru yang aku pelajari setiap hari. Dan, ini semua akan aku kongsi di entri selepas ini.

Isnin, 15 Februari 2010

Buret Karat Sey!!

‘’ Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan’’.

( Al- Insyirah : ayat 5 & 6 )

Sudah lebih seminggu kejadian teater TANDA dihalang dari pementasan setelah 3 malam dipentaskan di Panggung Eksprimen, ASWARA oleh rektornya. Aku sebagai pengarah artistik Rumah Anak Teater dan Teater Tanda telah mengumumkan penarikan diri dari menjadi tenaga pengajar separuh masa di ASWARA (dengan tidak memperbaharui kontrak walau sudahpun menerima surat tawaran lebih sebulan lalu]. Seminggu yang lalu aku sibuk sangat melakukan serangan demi serangan di surat khabar meminta penjelasan dari ASWARA kenapa kami di halau keluar dari Panggung Eksperimen dengan cara yang sungguh tidak profesional.

Di entri ini aku tak akan memberi penjelasan tentang segala-galanya apa yang sebenarnya belaku cukuplah apa yang sudah aku laporkan kepada media cetak dan elektonik. Untuk maklumat lanjut tentang isu ini, bolehlah kalian layari di internet kerana perkara ini sudah tersebar atau mungkin boleh menonton rancangan melodi di tv 3 pada hari ahad 21hb februari ini, segala-galanya sudah didedahkan di sana.

Apa yang ingin aku tuliskan di entri ini adalah untuk berkongsi satu perasaan positif yang aku lalui selepas berhenti mengajar dan isu pembatalan teater TANDA telah membuatkan jiwa bebas aku makin membakar semangat untuk berkarya. Allahamdulilah, aku juga kini lebih tenang dan mengambil kesempatan ini untuk menulis buku (keinginan yang sudah lama berputik]. Hari-hari mendatang juga juga penuh dengan aktiviti-aktiviti yang menanti untuk di isi. Namun apa yang lebih penting selama 10 tahun bersama ASWARA, kelantangan aku berkarya makin sejuk kerana ada kala terpaksa menjaga nama baik ASWARA tempat aku mencari makan. Kebebasan ini menjadikan aku muda semula seperti waktu dulu-dulu yang tidak pernak tunduk dengan birokrasi atau orang johor menyebutnya "Buret Karat Sey

nota tumit kaki kiri : Jangan dilepaskan harimau dari sangkarnya kerana ini tahun harimau.

Isnin, 18 Januari 2010

Catatan dari TANDA

TANDA pertama kali dipentaskan ketika ujian semester akhir pelajar-pelajar ASWARA bagi kursus Produksi Teater Eksperimental, di Black Box, Aswara pada tahun 2007. Ketika itu aku merupakan pensyarah dan pembimbing kursus tersebut. Sepanjang semester kami bereksperimen mencari jalan bagaimana untuk berkerja di dalam teater kolaborasi yang akan menampilkan beberapa orang pengarah di dalam sebuah persembahan. Hasil dari eksperimentasi itu maka terciptalah sebuah struktur persembahan yang memungkinkan para pengarah ini berkolaborasi bersama pelakon dan tenaga produksi yang lain. Persembahan Teater TANDA.

Gaya berteater secara kolaborasi menjadi satu gerakan teater yang sedang melanda seluruh dunia. Berteater cara begini bukan saja cuba untuk menghasilkan sebuah persembahan yang mantap tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita sebagai manusia belajar untuk hidup dan berkerja bersama. Bagi kolaborasi antara dua atau lebih negara berbeza secara amnya mereka cuba untuk memahami budaya dan bangsa asing. Proses intercultural ini sudah lama diamalkan dan ia pernah menjadi alat politik bagi mengeratkan hubungan antara negara. Bagaimanapun baru-baru ini beberapa pengiat dan aktivis teater mula melaungkan perkataan "Intraculturul". Jika intercultural hanyalah persembahan antara budaya dari bangsa dan negara berbeza, intracultural pula berlaku di dalam negara dan bangsa yang mengamalkan budaya yang sama. Nampak seperti intercultural lebih besar dan luas tapi itu hanya luarannya sahaja. Intracultural yang dilihat sempit itu sebenarnya lebih penting nilainya untuk digayakan dalam proses kreatif kerja seni tanpa sebarang kepentingan politik dibelakangnya. Mengajar kita untuk mengenali lebih mendalam erti kehidupan yang sebenar.

Lalu persembahan teater TANDA ini menjadi sebuah kerja kolaborasi secara intracultural. Bagi menggabungkan kerja enam orang pengarah, walaupun datang dari bangsa dan negara yang sama, ianya bukanlah satu tugasan mudah. Kami harus berkerja dengan satu struktur penceritaan yang mampu memuatkan pemikiran kami. Oleh itu hanya satu proses kerja yang sesuai untuk dipraktikkan dalam pementasan demikian; devised play.

Bermula dengan memilih isu akhir zaman dan melihat semula tanda-tanda yang hadir dari sudut agama (Islam) dan sains. Setiap pengarah akan dipecahkan untuk mengerjakan tanda-tanda tersebut secara berasingan. Sementara seorang dari mereka akan mengarahkan satu persembahan transisi bagi mencantumkan setiap tanda-tanda yang dikerjakan oleh yang lain. Ketika peringkat mencantum semua pengarah duduk bersama untuk memastikan pencantuman itu berlaku dengan sempurna kerana kesudahannya ia akan menjadi satu persembahan.

Di atas kertas TANDA akan kelihatan seperti sebuah cerita di mana ketika manusia mulai hilang harapan dan jasad sudah tidak berjiwa mereka mulai melakukan perkara-perkara yang menyumbang kepada pencemaran alam. Bumi yang makin tercemar tak dihiraukan oleh manusia. Bumi turut menunjukkan tanda-tanda yang hayatnya sudah dihujung namun manusia-manusia ini tidak pernah memberi perhatian. Sehingga akhirnya bumi itu menunggu saat untuk musnah bagaimanakah manusia-manusia itu menghadapinya. Itu persoalannya.

Struktur persembahan TANDA merupakan sebuah persembahan ensamble yang melakukan gerak fizikal bagi menyampaikan cerita atau isu. Ensamble ini yang mewakili orang ramai di dalam kehidupan harian akan menjadi teras utama terhadap keseluruhan persembahan. Ensamble ini juga akan berpecah menjadi cabang-cabang cerita/isu yang menyokong teras utama ini untuk bergerak hingga ke hujung persembahan. Akhirnya TANDA akan menjadi sebuah persembahan dengan satu penceritaan yang diarahkan oleh 6 pengarah.

Di dalam TANDA, multimedia menjadi peranan penting dalam penceritaan. Multimedia bukan hanya sekadar untuk tayangan tetapi membantu memberi visual, mood dan efek kepada cerita yang ingin disampaikan. Sebanyak 5 buah projektor dan video kamera bersama miniture set akan digunakan bagi merealisasikan persembahan ini. Muzik juga memainkan peranan yang sama penting seperti multimedia. Di dalam TANDA muzik akan dimainkan secara langsung di atas pentas bagi mengiringi persembahan.

Persembahan TANDA kali ini akan menjadi siri teater kompilasi yang paling mencabar untuk RAT. TANDA kali ini menggunakan komitmen hampir 20 orang pelakon dan 6 orang pengarah. Menjadikannya sebuah persembahan dengan satu penceritaan yang bukan mudah untuk dikerjakan. Namun komitmen yang diberikan oleh tenaga produksi amat tinggi bagi memastikan persembahan ini akan berada pada tahap yang sepatutnya dan menjadikan persembahan Teater Kompilasi Vol 3 TANDA amat berbaloi untuk ditonton. Selamat Menonton.

dicatat oleh
Nam Ron
Pengarah Artistik RAT

Isnin, 11 Januari 2010

Pergi

Ketika Aizat mendendangkan lagu PERGI (I GO) ciptaan Pete Teo di Anugerah Juara Lagu sebentar tadi, aku berendam air mata mengenangkan arwah Yasmin Ahmad. Bagaikan seperti kata-kata lirik dalam lagu tersebut "hujan lebat membasah kini, bagai tak terhenti kini..." Terus terang aku katakan sejak pemergiannya tidak pernah sekalipun aku menulis mengenainya. Walau ada sebuah produksi dokumentari tentangnya yang mahu menemu bual aku tapi aku menolak dengan baik. Aku sebenarnya masih tidak mahu menerima hakikat kehilangannya. Aku kecewa. Lalu aku menutup mata dan telinga aku tentang apa-apa tentang dirinya atau yang berkaitan dengannya. Aku tidak menonton filem-filemnya selepas dia pergi. Segalanya aku biarkan saja berlalu. Pengalaman di Pusan ketika aku bersama Pete Teo dan rakan-rakan dari 15Malaysia melepaskan kumpulan belon belon putih sebagai simbol kehilangannya, ramai yang menangis namun tidak aku. Aku hanya berdiri seperti batu melihat belon-belon putih itu terbang dan hilang dalam kepekatan malam. Namun malam tadi ketika Aizat mendendangkan lagu PERGI segala yang aku nafikan itu kembali meragut hati ku. Setiap patah lirik itu bagaikan membawa kembali aku dekat dengannya, tepat dengan apa yang aku harungi sepanjang ketiadaannya.

p/s : Lagu dendangan Aizat dan lagu ciptaan Pete Teo muncul pemenang lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke 24. I love u forever Kak Min. Pergi tiada ganti.