
Aku sememangnya setuju dengan pandangan Amir dan Fadz bahawasanya tafsiran kecantikan tidak seratus peratus di bawa oleh penjajah. Itupun jika kita melihat dari sudut penjajah barat seperti Protugis, Belanda dan Inggeris. Mungkin perkataan penjajah itu tak berapa tepat, perkataan yang lebih tepat mungkin adalah "pengaruh luar". Ini kerana sebelum kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris minda kita telah dijajah oleh pengaruh-pengaruh luar yang datang dari Timur Tengah. Mereka datang bukan untuk menjajah dari sudut politik tetapi lebih kepada perniagaan dan dakwah. Orang-orang dari Timur Tengah ini juga memiliki hidung mancung dan kulit yang cerah. Walau tak secerah atau seputih kulit orang kulit putih di Barat namun pada pandangan masyarakat kita ianya kelihatan lain dari yang dimiliki. Ditambah dengan kedudukan mereka yang diangkat tinggi oleh pemerintah membuatkan mereka kelihatan mulia oleh masyarakat. Kelainan ini tidak menjadikan mereka pelik dan dipinggirkan tetapi disanjung.

Buku-buku lama seperti Sejarah Melayu dan Hikayat-Hikayat lain yang ditulis itu juga bagi aku dihasilkan selepas kedatangan islam ke bumi ini. Lalu gambaran kecantikan yang digambarkan oleh penulis secara tidak langsung dipengaruhi oleh faktor yang dinyatakan di atas. Persoalan aku adalah tentang penilaian kecantikan sebelum kita didatangi oleh mana-mana pengaruh luar.
Namun entri aku ini bukanlah cuba menyelongkar persoalan ini, aku lebih senang untuk menyerahkannya kepada ahli-ahli antropologi untuk memberi hukum kerana mereka lebih arif.
Entri ini ditulis adalah sebagai biasan terhadap kenyataan yang aku terbaca, seorang penerbit filem menyatakan kemerosotan kutipan di pawagam adalah kerana pelakon kita tewas di tangan pelakon Hollywood yang lebih cantik dan kacak. Dia menyatakan penonton kita pasti memilih Keanu Reeves berbanding hero kita. Ini yang aku maksudkan dengan menilai kecantikan dengan minda yang terjajah.

Dengan pemikiran yang sempit, ia dan beberapa penerbit lain melihat kecantikan rupa paras yang menyumbang khalayak memenuhi panggung. Ia memilih Hollywood sebagai rujukan. Ia melihat pelakon-pelakon yang cantik dan tampan seperti yang diketengahkan oleh hollywood sebagai modal untuk menarik penonton. Alangkah malangnya. Kenapa ia tidak menilai dari sudut penceritaan atau isi cerita yang cuba diketengahkan sebagai pendorong khalayak ke panggung? Lebih malang penilaian kecantikannya juga di lihat menerusi acuan barat. Mungkin agak berbelit apa yang cuba aku jelaskan ini.
Mari kita lihatnya begini. Di Hollywood para penerbit akan mencari pelakon-pelakon yang mempunyai pakej (bakat + rupa paras) untuk diketengahkan sebagai bintang. Sebagai satu bisness produk yang dijaja mestilah kelihatan menarik. Di Malaysia, para penerbit (bukan semua) juga cuba melakukan pekara yang sama namun apa yag malangnya pemilihan rupa paras yang cantik itu melalui acuan Hollywood. Jika kita ada mengikuti perkembangan perfileman di Malaysia kita pernah melalui era (hingga ke hari ini masih) di mana para penerbit memilih wajah-wajah yang digelar pan-asia. Bagi pelakon-pelakon yang berkulit gelap dan hidung kemek mereka akan berusaha mencantikan rupa paras mereka agar mendapat tempat dikalangan penerbit Malaysia.
Aku pernah bercakap dengan seorang penerbit tentang soal ini. Dan, ia mengatakan orang datang ke panggung untuk melihat benda-benda yang cantik. Orang tak nak tengok hidung kembang sebesar gua bila kamera diletakkan low angle (ketika ini beliau merujuk kepada seorang pelakon wanita yang menjadi heroin dalam sebuah filem). Beliau menyalahkan pengarah yang baginya salah memilih pelakon. Baginya orang akan ketawa bila melihat saiz hidung pelakon itu.
Tidak dapat dinafikan filem sememangnya boleh mempengaruhi pemikiran penonton. Penerbit seharusnya mempunyai tanggugjawab terhadap apa yang cuba dihidangkan pada penonton bukan memikirkan untung semata-mata. Tindakan penerbit menilai kecantikan rupa paras melalui acuan barat secara tak langsung akan menyebabkan penonton juga akan salah tafsir maksud kecantikan (dengan acuan sendiri). Aku tak nafikan penonton bukannya tolol (seperti kata Saniboey dalam blognya) namun seperkara jangan dilupa filem dicipta/digunakan pada asalnya adalah untuk tujuan ketenteraan dan sebagai alat propaganda. Dan, ia memang terbukti sebagai alat propaganda yang berkesan. Fungsinya propaganda adalah untuk mempengaruhi dan menjajah minda dan ia berjaya.
Nota tumit kaki kiri : entri ini akan bersambung lagi dan akan memberi fokus kepada pelakon kulit hitam (baca gelap) di Malaysia.



