Jumaat, 24 Oktober 2008

Operasi Oktober

Ahad lalu, selesai menonton Animal Farm pada sebelah siang aku ke Galeri Annexe menonton Operasi Oktober pada malamnya. Operasi Oktober adalah sebuah pementasan yang dijayakan oleh Five Arts Center dan diarahkan oleh Fahmi Fadzil. Bagi sesiapa yang bergelar sosialis atau merasakan dirinya seorang sosialis, Oktober akan secara tidak langsung mengingatkan pada Revolusi Oktober (October Revolution 1917) di mana ianya menjadi titik tolak untuk para sosialis membentuk negara dan kerajaan komunis (Kesatuan Soviet) pertama di dunia dan seterusnya ideologi komunis terus berkembang ke seluruh dunia hingga sampai ke Malaysia. Pergerakan komunis walaupun gagal membentuk kerajaan di Malaya namun gerakannya telah melahirkan ramai perjuang kemerdekaan (Chin Peng, Rahsid Maidin, Shamsiah Fakeh, Abdulah CD dan lain-lain) dan membuatkan kapitalis Inggeris kecut perut.
Namun Operasi Oktober arahan Fahmi bukanlah Revolusi Oktober 1917 ianya hanya meminjam semangatnya. Lihat saja tag line yang digunakan di poster – So, jadi ke revolusi kita ni?!- Tanda soal yang diikuti oleh tanda seru itu bukan hanya satu pertanyaan biasa tapi lebih kepada persoalan yang harus ada tindakan (atau mungkin juga oktober itu hanya diambil sempena tarikh pementasan ini dibuat). Hari ini ramai dari golongan muda mula mempertikaikan buku sejarah yang mereka pelajari di sekolah. Banyak suara-suara mula membangkitkan tentang kewajaran pendidikan sejarah di sekolah dinilai semula. Ini berlaku kerana banyak peristiwa-peristiwa dan tokoh-tokoh penting telah ‘dipadamkan’ dalam lipatan sejarah oleh pemerintah kerana ideologi politik yang berbeza. Ramai juga mula bercakap-cakap tentang tokoh-tokoh perjuang kemerdekaaan yang dilupakan tapi di manakah tindakannya. Inilah persoalan yang cuba diangkat oleh Fahmi dan para pelakonnya.
Disebabkan Operasi Oktober adalah sebahagian dari pengisian Festival Darurat (Emergency Festival – 16 hingga 26 Oktober) yang menekankan tema perjuangan nationalis semasa zaman darurat, Fahmi telah memilih peristiwa Kem Se-Malaya sebagai isu untuk memulakan proses penciptaan Operasi Oktober. Pada tahun May1948 ramai aktivis dan nationalis haluan kiri berkumpul di Kem Se-Malaya untuk mengatur strategi untuk menentang Inggeris dan mereka sudah merencana untuk bertindak pada September tahun itu. Namun pada bulan Jun di sungai Siput berlaku satu pembunuhan terhadap 3 orang pemilik ladang berbangsa Inggeris oleh komunis telah menyebabkan kerajaan Inggeris mengistiharkan darurat. Ramai pemimpin dan nasionalis haluan kiri telah ditangkap oleh pihak Inggeris. Namun bukan itu yang cuba diketengahkan oleh Fahmi dalam Operasi Oktober.
Di dalam pementasan ini kita dibawa untuk menyaksikan 4 orang muda berkumpul untuk membuat satu persembahan tentang sejarah Malaysia. Apabila mereka sudah berkumpul pihak penganjur tidak muncul-muncul. Berbekalkan bahan-bahan yang ada/ditinggalkan mereka cuba untuk memulakan proses penciptaan. Namun tanpa pengetahuan yang mendalam dan tiada yang memimpin, mereka akhirnya berputus asa dan menghentikan usaha tersebut. Pementasan yang dibahagikan kepada beberapa segmen ini dilakonkan secara sepontan (improvisasi) di selang seli dengan babak-babak yang telah dikoreograf ini cuba untuk menyatakan segala usaha untuk perubahan harus terancang dan ada yang memimpin. Mao Zedong pernah berkata “revolution is not dinner party” , Operasi Oktober memperlihatkan watak-watak melalui bahan-bahan yang disediakan (oleh penganjur) mula duduk berborak kosong kemudian cuba mencari jalan untuk mengangkat bahan-bahan itu menjadi satu pementasan. Mereka cuba mencari jalan bagaimana untuk menjayakannya tetapi bukan dengan cara yang bersungguh-sungguh. Bahan-bahan tentang perjuangan tokoh-tokoh penting seperti Chin Peng, Abdulah CD, Rahsid Maidin dan lain-lain menjadi gurauan bagi mereka. Ditambah lagi dengan beberapa poster dan risalah yang ditampal di dinding tidak terusik seolah-olah benda-benda itu tidak wujud di situ. Ini menunjukan bahawa generasi ini benar-benar buta tentang sejarah. Dengan lebih tepat lagi mereka sebenarnya telah dibutakan. Penggunaan props kerusi yang lebih banyak dari pelakon pulak menunjukan kesedaran orang ramai tentang perkara ini juga berkurangan. Walau ada 4 orang yang datang untuk menjayakan rancangan itu namun ke empat=empat mereka bukanlah orang yang membolehkan rancangan itu berjaya. Mereka memerlukan pemimpin yang dapat memimpin mereka untuk melihat semula dan akhirnya baru tindakan dapat terlaksana.
Persembahan bersekala studio dengan kedudukan penonton dalam bentuk arena (pentas arena adalah apabila penonton duduk disekeliling ruang pementasan) memberi hubungan penonton dengan pelakon menjadi intim. Jarak antara penonton dengan pelokon yang bergitu hampir membuatkan pelakon tak perlu untuk membesarkan lakonan mereka. Lakonan berbentuk naturalistik ini amat sesuai digayakan dalam ruang sebegini. Para pelakonnya kelihatan benar dan sepontan inilah kelebihan improvisasi. Dan, pemilihan teknik lakonan ini juga sebenarnya amat sesuai untuk penceritaan sebegini. Syabas diucapkan kepada Fahmi Fahzil dan pelakonnya Mislina Mustafa, Hariry Jalil, Janet dan Chung Wei.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sempoi cerita ni

Rapala Jingga berkata...

ada pergi tenok ke?

Pegawai Khalwat berkata...

Alamak, aku mesti terlepas cerita yang macam ni punya. Maklumlah jauh.

Psss... kalau cerita macam ni di buat kat sini, tak tahulah berapa kerat yang paham pengisiannya.