Ahad, 14 Disember 2008

Selesai Gadoh

Malam tadi berakhirlah sudahnya menembak Gadoh. Setelah lebih kurang 16 jam sehari berkerja setiap hari hingga seluruh tubuh dan otak tenaga produksi menjadi lemau akhirnya magic word "It's a wrap" bergema di tangga sebuah flat di area Pandan. Semalam aku tidur selama 12 jam dan bangun tengahari. Dan, besok pergi tolong James Lee untuk projek terbarunya. Dia suruh aku jadi polis dalam satu scene. Polis lagi...

Rabu, 3 Disember 2008

GADOH

Pagi nanti aku akan ke lokasi pengambaran GADOH. Projek ini bermula dengan perbincangan dengan penerbit (Anna Har) beberapa bulan yang lalu. Syarikatnya Big Picture mendapat grant untuk shoot sebuah feature yang cuba mengupas isu kaum di Malaysia. Masa pertemuan itu aku memberikan beberapa idea cerita tentang isu itu. Mereka suka. Dan, suruh aku tulis skrip dan mengarahkannya. Masa tu juga aku agak sibuk jadi aku cadangkan skrip tu ditulis bersama seorang lagi penulis (R.Cong). Kemudiannya, Brenda Denker yang merupakan partner dalam Big Picture menyatakan hasrat untuk turut mengarah bersama. Aku pernah berkerja bersama dengan Brenda sebelum ni dalam telefilem Aku Nak Jadi Siti. Aku berlakon, dia pengarah. Ketika aku dengar minatnya untuk mengarah bersama aku mula hilang minat untuk mengarah. Bukan aku ada sebarang masalah dengan caranya berkerja cuma aku tiba-tiba rasa sensitif. Aku rasa dia macam ambil kesempatan pulak. Maka aku tidak lagi beri tumpuan terhadap projek ini. Dan, akhirnya aku tarik diri sebagai pengarah dan penulis. Disebabkan diaorang nak juga aku terlibat maka aku menerima tawaran untuk berlakon saja. Lagipun aku agak sibuk.

Dua minggu lepas dalam satu pertemuan diaorang lahirkan rasa kecewa dengan aku. Mereka rasakan aku bagai menganaktirikan projek ni sedangkan mereka sangat berharap dapat berkolaborasi dengan aku. Bila mereka mula mungungkitnya akupun mendedahkan kekecewaan aku terhadap mereka. Aku katakan aku hilang minat kerana tindakan mereka seperti tidak menghormati aku ketika aku bersungguh-sunggh mahu melakukannya. Selepas masing-masing mencurahkan segalanya dari hati ke hati. Segalanya selesai. Sebelum balik sekali lagi mereka suruh aku memikirkan tentang kerja pengarahan dan penulisan tu. Dan, akhirnya sekeras hati aku ni rupanya hanya sekeras kerak nasi. Aku terima juga tawaran itu. Dua minggu yang lalu aku menulis semula skrip yang dihasilkan oleh R.Cong. Pagi ini aku akan mengarahnya bersama Brenda dan turut berlakon di dalamnya. Gadoh akan menjadi projek ke 4 aku selepas Gedebe - indiemovie (2001), Rembat - telefilem (2007) dan AYAH KENAPA TAK TANAM PISANG LAGI? - 15 minute short (2008).

Melalui AYAH KENAPA TAK TANAM PISANG LAGI? membuatkan Big Picture mahu berkolaborasi dengan aku. Aku setuju untuk bikin ini cerita kerana aku mahu belajar bikin filem. "to learn making film is to make another one". Itulah cara aku belajar filem kerana aku tidak masuk sekolah filem. Aku sangat-sangat berharap dapat memperolehi ilmu yang berguna dalam pembikinan Gadoh untuk persiapkan diri bagi menembak Matderihkolaperlih pada tahun hadapan. Insyallah.

Isnin, 1 Disember 2008

Berita Sedih

Tadi petang aku terfikir tentang mati. Aku kira umur aku sendiri. Aku letak anggaran jika aku boleh hidup sampai umur 60 tahun (berdasarkan gaya hidup aku sekarang) maknanya aku cuma ada 21 tahun saja lagi untuk hidup. Terlalu pendek.



Tadi malam aku dapat sms memberitahu tentang pemergian seorang tokoh teater Datuk Syed Alwi Syed Hassan di rumahnya di Sungai Serai. Ketika aku menulis entri ini, polis masih menyiasat punca kematian. Berdasarkan kecederaan dan keadaan rumah ada kemungkinan berlakunya jenayah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al Fatihah.



entri akan datang adalah tribute kepadanya. Insyallah.

Sabtu, 29 November 2008

Di Luar Tingkap

Aku duduk memandang luar tingkap rumah. Hutan hijau. Angin dari luar menyedut asap rokok yang aku hembus dari mulut; dari celah bibir merah hitam.
---------------------------------
Sekarang ni hujung bulan. Orang kerja makan gaji bulan-bulan tentu sibuk berbaris di mesin ATM. Menyesal? Apa hal aku nak menyesal. 21 tahun aku keluar dari celah ketiak mak aku hidup sendiri. Berdiri di atas kaki aku sendiri. 21 tahun aku hidup tanpa ada kerja tetap dan di hujung bulan beratur di mesin ATM. Dua puluh satu tahun.
---------------------------------
Mata aku. Mata putih yang kuning ke kuningan di sulam dengan urat merah memandang ke luar tingkap melihat daun-daun hijau melintuk-lintuk di tiup angin. Awan mendung. Hujan pasti turun lagi petang ini.
---------------------------------
Kerja. Mak mentua aku, bapak mentua aku, abang -abang dan kakak-kakak aku; kerja bagi diaorang bila ada duit yang diterima sebagai upah. Mak aku juga. Bapak aku... Aku tak pasti apa erti kerja untuk dia. Masa aku anak kecil, mak aku kata "hang jangan malas jangan jadi macam ayah hang". Aku tak pasti aku tak membesar dengan bapak aku. Aku kenal dia hanya dengar cerita mak. "Ayah hang tak mahu kerja". KERJA. Kerja tu bila dibayar upah dengan duit.
---------------------------------
Daun-daun hijau kaku di ranting pokok. Angin sudah berhenti bertiup. Hujan pasti akan turun bila-bila masa sahaja.
---------------------------------
Aku. Tamat bulan ni maknanya sudah dua bulan aku tak ada kerja. Kerja seperti yang diaorang maksudkan. Duit. 2 bulan tiada duit masuk ke kantung seluar aku. Aku kerja tapi kerja yang tiada upah. Memang aku sibuk dua bulan ni. Sibuk dengan pementasan teater yang aku masih berhutang kos produksinya. Sibuk dengan penulisan skrip yang entah bila dapat dipindahkan ke filem. Sibuk dengan bengkel teater yang dapat membuka mata dan telinga. Sibuk yang sangat sibuk. Namun bagi diaorang itu bukan kerja kerana mana duitnya.
---------------------------------
Sunyi. Hutan hijau di luar tingkap sunyi sepi. Tiada bunyi burung atau pekikan kera berebut makan yang dikutip di tong sampah. Tiada juga bunyi ranting-ranting tua yang jatuh timpa daun-daun kering di lantai bumi. sunyi.
---------------------------------
Sekarang ni hujung bulan. Sekarang ni aku benar-benar kering. Sewa rumah dan susu anak yang aku risaukan. Tadi aku ke kedai beli susu anak.
AKU: Susu kotak besar satu.
TOKEY: Stok habis. Kecik saja ada mahu?
AKU: Boleh lah.
TOKEY: Ini nanti stok baru sampai harga naik lagi.
AKU: Eh! Itu hari masa minyak naik harga sudah naik.
TOKEY: Sekarang naik lagi.
Aku diam. Aku bayar dan balik.
---------------------------------
Di luar tingkap. Langit makin gelap. Awan hitam menutup bumbung langit. Aku duduk melihat pokok-pokok kecil. Apa ertinya mendung baginya kerana bila matahari menyinarpun ia tetap tidak dapat menikmati cahaya. Pokok-pokok kecil yang kerdil.
--------------------------------
Dan, tanpa kilat tanpa guruh berdentum-dentum hujanpun turun. Lebat selebatnya. Beberapa bintik air terpercik ke tingkap dan meleleh turun di cerminnya. Aku pejam mata.

nota tumit kaki kiri : Bila-bila masa sahaja telepon aku akan berbunyi. Abang aku yang gajinya lima angka itu pasti telepon beritahu bank teleponnya. Pasal dia jadi garentor masa aku beli kereta buruk yang dah dua bulan tak bayar tu. Walau dia tak bagitau, aku tau dia malu dengan bank. Aku akan kata sibuk sangat tak ada masa nak bayar walau tak tau lagi mana nak cakau duit. Alhamdulilah.

Khamis, 27 November 2008

34 jam sehari

Kalaulah ada 34 jam sehari tentu aku tak begini. Berikan aku 10 jam lagi dalam sehari. Aku dah penat berkejar-kejar ke sana dan ke sini. Sarapan dalam kereta. nescafe tin penyegar mata. roti potong bersalut kaya pelapik perut yang bergelora. yang ku kejar bukan untuk kaya raya tapi pengisi perut anak dan isteri. rezeki. bukan tak mahu jadi kaya tapi aku tak tau macam mana nak hidup kaya. Hoi orang yang sudah kaya, bagi aku 10 jam kamu. aku rasa kau dah tak perlukan 24 jam itu dalam hidup kamu. apa lagi yang kau cari dalam 24 jam hidup kamu. Kan sudah penuh poket kamu dengan kekayaan. kan sudah penuh perut anak bini kamu dengan kekayaan. kan sudah penuh rumah kamu dengan kekayaan. Aku tak minta kekayaan kamu untuk di kongsi. aku cuma minta 10 jam masa kamu diberikan pada aku. Haram jadah. aku batuk lagi, aku sakit lagi kerana mencuri beberapa jam dari masa esok untuk aku gunakannya jadi hari ini. celaka. tekak aku rasa gatal berapa banyak aku harus sakit dalam setahun. alhamdulilah.

Khamis, 20 November 2008

Lubang di celah kelangkang

Aku serba salah. Antara perasaan malu dan takut aku terhimpit. Rasa biadap, celaka dan haram jadah. Aku jadi tak selesa. Rasa bersalah yang teramat-amat bersalah.
Aku menghormati makhluk yang bernama wanita. Mereka cantik dan bijak. Aku selalu tewas jika dekat dengan mereka. Aku lelaki yang hanya mempunyai satu nafsu. Dan, nafsu yang satu ini sukar untuk ku tutup pintunya.

Peringatan!
Jangan buat andaian yang bukan-bukan sebelum habis baca entri ni. Aku lelaki bukan jantan nafsu kerbau hidung berbelang-belang. Aku juga bukan menteri kabinet, datuk-datuk atau pegawai penguatkuasa yang sering tewas di celah kelangkang berlubang hadiah dari taulan sebagai penghargaan tolong dapatkan lubang bisnes kawan.

Di celah kelangkang yang berlubang itu, memang ada satu perangkap untuk lelaki yang nafsunya hanya satu. Dan, kerana aku tahu itu perangkap maka aku cuba untuk tidak mendekatinya. Sedaya upaya.
Aku lelaki walaupun bukan jantan hidung berbelang-belang tetap satu juga nafsu itu. Walaupun wanita tidak menjadikan lubang di celah kelangkangnya satu perangkap aku tetap melihatnya begitu.

Ini ada satu peristiwa dari banyak-banyak peristiwa.
Aku berbicara dengan seorang wanita.
Aku jadi tak selesa.
Dia berbaju yang terdedah dadanya.
Bra push up yang dipakainya, menampakkan lurah di dada.
Kami berbicara tentang kerjaya.
Kerjaya aku dan dia.
Dada ku jadi bergelora.
Nafsu ku yang satu mula menggila.
Aku rasa bersalah tak terhingga.
Apa yang ingin ku kata hilang entah ke mana.
Tiap kali ku pandang wajahnya, mata ku kan singgah ke sana.
Ke dadanya yang terbuka.
Aku takut tak terhingga.
Takut disalah sangka.
Malu nantinya dianggap lelaki hidung berbelang yang inginkan lubang di celah kelangkangnya.

Isnin, 17 November 2008

Hari-Hari yang lalu


Beberapa hari yang lalu
Aku dan 12 orang yang terdiri dari orang Cina, India dan Melayu melepak bersama. Kami duduk bersama bersembang-sembang di DBP. Kami bukan bersembang sebagai Melayu, India dan Cina. Kami adalah orang... manusia. Tanpa garis sempadan darah keturunan, warna kulit, bahasa pertuturan, jantan dan betina malah tidak juga agama dapat digariskan antara kami. Kami duduk bersama cuba untuk memahami "HOME". Apa itu HOME? Rumah itu house tapi house itu tak semestinya HOME. Dimanakah HOME? Di rumah, di hati dalam diri, negara inikah home?, keluargakah home anak, isteri, suami, ayah, ibu, nenek, datuk, abang, kakak, adik. Home itu agama? Tuhan itu HOME? Di mana kita berada melihatnya? Di luar atau dalamnya. ET phone home. Di manakah HOME?

Kami duduk bersama 4 jam sehari selama 10 hari untuk berkerja menggali, mengorek, mencungkil, meraba, mengodek, mencari HOME bersama-sama berkerjasama. Bukan hasil yang dinanti tapi kerjasama yang dicari. Bukan jawapan hanya harapan.

Beberapa hari yang lalu
3 jam aku bercakap tanpa henti. Leteran. Aku berleter seperti Mak Bedah sewaktu marahkan anaknya yang kantoi melancap dengan gambar artis perempuan melayu pose kat tepi kolam renang dalam majalah mangga. 3 jam aku berleter sampai kering air liur. Dah lama aku biarkan mereka dengan sikap mereka. Hari tu aku rasa bersalah kerana membiarkan mereka jadi lalai dan leka. Mereka ini datang dari setiap ceruk kampung dan bandar dari negeri mak bapak mereka. Mereka datang ke sini dengan cita-cita dan impian. Namun mereka sudah lupa hasrat suci yang mengetatkan hati mereka hingga sanggup meninggalkan celah ketiak dan puting susu ibu mereka. Bandar besar ini membuatkan mereka lupa. Bandar ini candu. Aku berleter untuk sedarkan mereka dari warna-warna pelangi yang mengkhayalkan itu. Akhirnya aku berkata:

jangan kamu semua ke sini lagi bertemu aku, jika tiada kesungguhan untuk mencapai cita-citamu. Aku tak ingin kamu di sini. Jangan kamu ke sini lagi, aku tak kan memarahimu jika kamu tiada di sini kerana tempatmu bukan di sini.

Beberapa hari yang lalu
Aku terfikir untuk kembali hidup sendiri.

Dan, itulah sebabnya beberapa hari yang lalu aku tidak berada di sini.