Rabu, 17 September 2008

Surat terbuka untuk Shahrul, Buta Seni dan Pegawai Khalwat.

Tidak dapat dinafikan kejujuran dalam lakonan sangat penting untuk membuatkan penonton percaya dengan segala tutur kata dan tingkah laku si pelakon di atas pentas. Untuk mendapatkan kejujuran ini ada beberapa pendekatan yang dapat diguna pakai oleh pelakon (samada dengan bantuan pengarah, jurulatih lakon mahupun secara sendirian).
Seorang pelakon itu seharusnya kaya dengan pengalaman hidup. Pegawai Khalwat memberi contoh seorang pelakon yang tak pernah memegang perempuan dalam hidupnya sukar untuk memberi rasa jujur bila dia membawa watak kasanova dan harus melakukan aksi tersebut. Jika pelakon itu tidak mempunyai pengalaman sebegitu amat payah untuk dia melakonkannya jika ia mencuba juga membawa watak tersebut dia akan kelihatan kaku dan palsu (tak jujur). Ada beberapa cara yang dapat dilakukan oleh pelakon itu untuk mengatasi masalahnya:-

1- Dia harus mengkaji watak itu melalui pemerhatian ke atas kasanova-kasanova yang ada di alam nyata (bukan TV) selepas itu dia harus menjalani hidup seperti kasanova tersebut. Dia boleh mula dengan luaran dengan meniru cara duduk, jalan, permakaian, cara bercakap, cara makan dan sebagainya. Ingat acting is art of imatation. Si pelakon juga harus mengkaji pemikiran seorang kasanova melalui pembacaan dan mungkin bertemu terus dengan kasanova yang dia kenali untuk memahami pemikirannya. Selepas itu dia harus berfikir sebagai seorang kasanova. Lama kelamaan dia akan terus berubah dari dirinya yang sebenar dan menjadi kasanova. Dari seorang lelaki baik/alim dia telah menjadi orang lain. Sama seperti mat Rock yang mendapat tawaran menjadi guru. Apabila dia menukar luarannya dan kegiatan hariannya lama kelamaan dia tidak lagi kelihatan mat rock tapi seorang guru.

2- Mencipta pengalaman baru. Jika pelakon tiada satu satu pengalaman dia harus menciptanya. Mencipta pengalaman baru boleh dilakukan dengan cara mencuba membuat benda-benda yang dia belum penah buat sebelum ini. Sebagai contoh jika dia tidak pernah merasa bagaimana rasa sejuk dia harus menempuh pengalaman itu. Saya pernah bereksperimen dengan pelakon saya dengan kaedah ini. Sewaktu itu saya berlatih untuk mementaskan teater Di Pulau Sa dan Di karya Dinsman. Ada satu Dialog yang diucapkan oleh Sa kepada Di, iaitu “Di aku sejuk”. Dialognya begitu mudah tapi saya sebagai pengarah tidak melihat kejujuran pada kata-katanya (seorang wanita yang lari mengikut kekasihnya tinggal di pulau yang hanya mereka berdua saja di situ; apa yang di inginkan olehnya bila melafazkan kata-kata itu?) Setelah berkali-kali mencuba saya akhirnya menyuruh mereka menanggalkan seluar dan baju (hanya tinggal pakaian asas sahaja) kemudian saya membawa mereka ke bilik air dan saya siramkan mereka hingga basah lenjun. Selepas itu saya masukkan mereka ke dalam studio (aircond) dan menguncinya dari luar. Saya pergi ke cafĂ© dan minum kopi. Selepas lebih kurang sejam lebih saya naik semula ke studio latihan dan mendapati mereka berpelukan sesama sendiri. Dan, saya suruh mereka ucapkan dialog tersebut kesannya saya melihat kejujuran terhadap tindakan dan ucapannya. Ini kerana mereka melalui pengalaman tersebut dan bukan di buat-buat (Sa mengatakan kepada Di yang dia sejuk kerana ingin dipanaskan). Latihan-latihan ini agak keterlaluan dan saya tak mengalakkan ianya dilakukan (mungkin terbatas kepada adegan-adegan tertentu sahaja). Saya sendiri sudah tidak melakukan latihan ini bersama pelakon saya kerana kesannya sangat tidak terkawal (pelakon saya dalam drama ni menjalani hidup seperti Sa dan Di walaupun sesudah pementasan tersebut).

3- Menggunakan imaginasi untuk mendapatkan kejujuran seperti yang dikatakan oleh Syahrul tu juga ada benarnya. Seseorang pelakon itu harus kaya dengan imaginasi tapi bukan semua dilahirkan dengan imagnasi yang kuat seperti kata syahrul. Untuk menzahikan imaginasi juga bukan mudah. Dalam Method acting stanilavski menggunakan pendekatan IF. Setiap manusia ada semua sifat-sifat manusia baik jahat ataupun baik cuma ada sesetengahnya tidak menzahirkan di kehidupannya hari-hari kerana adanya super ego. Setiap manusia ada naluri untuk membunuh tapi dia tak pernah tunjukan melalui magic if seorang pelakon itu akan menzahirakn sifat-sifat seorang pembunuh jika dia membawa watak pembunuh itu. Bagaimanapun magic if ini lebih berguna untuk seorang pelakon membawa watak dengan gayanya sendiri dia tak perlu meniru lagak pembunuh yang sudah dibawa oleh pelakon lain. Ia harus membayangkan dirinya sebagai pembunuh dan apa yang dia akan lakukan bukan mengikut-ikut gaya pelakon lain. Stanilavski mengambil ini dari kajian Freud seorang ahli psikologi yang membuat teori iceberg. Freud percaya Manusia ini seperti iceberg di lautan. Kita hanya nampak berapa percent sahaja ia dipermukaan laut tapi yang terbenam dibawahnya lebih besar dari yang dinampak (10% berbanding 90%). Seorang pelakon itu hanya perlu mengali sifat-sifat ini dari dalam dirinya sahaja.

4- Acting is art of repeatation. Ini satu lagi kaedah yang boleh digunapakai. Sesetengah pengiat merasakan bahawa kaedah method acting yang diperkenalkan oleh stanilavski tidak sesuai digunakan untuk lakonan (kaedah ini lebih mementingkan rasa (jujur) yang datang dari dalam). Mereka percaya bahawa untuk kelihatan jujur dalam lakonan boleh juga datang dari perbuatan (luaran) yang diulang-ulang. Jika bergantung pada rasa seorang pelakon akan susah untuk melakukan buat kali kedua. Sebagai contoh jika pelakon yang membawa satu watak dan adegan itu belaku di dalam pejabat, Si pelakon harus duduk di kerusi ketika dia kebingungan. Jika pelakon tidak merasakan di saat itu dia mahu duduk di kerusi dia akan berdiri ataupun dia tidak merasa bingung pada hari tersebut (hari sebelumnya dia binggung dan duduk di kerusi). Mungkin tidak menjadi masalah jika persembahan itu tiada apa-apa tuntutan teknikal tapi jika ada; seperti ada lampu spot dia duduk dikerusi itu dan dia akan bermonolog dan kerusi itu bergerak ke hadapan? Pasti akan ada masalah yang besar akan timbul. Jika dia pergi ke kerusi itu akan nampak ketidakjujurannya kerana dia tidak merasainya pada saat itu (emotional truth). Sebab itu kaedah pengulangan ini sangat penting. Ada sesetengah pengiat teater percaya jika kita mengulang-ulang melakukan benda yang sama sehingga tubuh itu berfikir sendiri. Penonton takan dapat mengesan apakah kejujuran itu datang dari dalam atau tak. Harus diingat kejujuran itu penting hanya untuk membuatkan penonton percaya jika penonton percaya jujur dan tak jujur dah tak penting lagi.

Pendapat Buta Seni mengatakan bahawa pentingnya rakan lakon untuk mencapai lakonan yang baik dan penuh dengan kejujuran itu saya setuju. Acting is reacting. Jika rakan lakon tidak memberi kita yang berlakon bersamanya akan turut tenggelam. Jika mendapat rakan lakon sebegini cuba buat latihan give and receive bersama dengannya lebih kerap lagi. Latihan-latihan trust juga boleh membantu. Sebenarnya banyak teknik-teknik latihan asas untuk lakonan menjadi sangat penting untuk membentuk lakonan yang baik. Saya sekarang ni sedang membaca buku acting through exercise oleh John L. Gronbeck - Tedesco yang aku praktikkan bila bekerja dengan pelakon-pelakon baru dan student.
Aku percaya sebagai pengiat seni teater kita tak seharusnya berpegang kepada satu-satu pendekatan yang kita pelajari tapi kita juga boleh adunkan segalanya dan cuba mencari teknik kita sendiri untuk berkerja yang pentingnya penonton percaya dengan apa yang dikata dan dilakukan. Ini kerana tanggungjawab pelakon adalah menyampaikan pemikiran pengarang dan tafsiran pengarah menggunakan bakat yang ada padanya. Jika penonton tidak percaya dengan si pelakon ini segala-galanya tidak akan terbenam dalam fikiran penonton.

p/s maaf panjang pulak entri kali ni. Harap boleh tambah jika ada yang kurang.

Ahad, 14 September 2008

Rancangan Lawak Bodoh kat TV

Dulu aku tak suka dengan cerita lawak bodoh kat tv tapi sekarang ni aku mula boleh gelak bagai nak rak bila menontonnya. Racangan ni memang dah lama disiarkan kat stesen tv ni, cuma dulu aku tak ambik pot sangat tapi sekarang aku dengan bini aku dan anak aku yang berumur 2 tahun tak sabar-sabar nak mengadap tv tengok rancangan lawak ni. Rancangan ni lawaknya lebih bodoh dari lawak senario (juga terbitan stesen yang sama) itu yang buat kami sekeluarga tak tahan-tahan nak menontonnya. Kelakarnya hingga menyentak-nyentak urat kentut hingga boleh membuatkan terkentut-kentut kami sekeluarga. Setiap malam tepat jam 8 malam rancangan ini akan ke udara dan kami cuba untuk tak terlepas walaupun rasa nak melepas kami tahan-tahankan dulu, sekurang-kurangnya selepas segmen lawak dalam negeri. Segmen ini yang lawak sesangat. Segmen luar negara, cuaca dan sukan tak lawakpun cuma segmen ekonomi sikit lawak tapi tak boleh lawan segmen dalam negeri bila fokus lawwaknya berbau politik. Semalam macam biasa kami sekeluarga ketawa sampai terkentut-kentut bila cerita lawak tentang beberapa watak ahli politik yang makan angin pakai duit rakyat pergi Taiwan telah berlepas ke Hong Kong kerana main kejar-kejar dengan sekumpulan lagi ahli politik yang cuba mengajak mereka jadi geng diaorang. Lebih lawaknya mereka dikatakan telah selesai buat lawatan sambil belajar selepas kedatangan kumpulan yang lagi satu tu. Bini aku kata macam budak-budak main kejar-kejar. Aku kata macam cerita hindustan. Anak aku yang tak berapa padai cakap tu kata dia nak main kejar-kejar juga dengan diaorang. Aku cuba bayangkan selepas ni bila kumpulan yang satu lagi sampai ke Hong Kong mana pulak diaorang nak lari sambil buat lawatan sambil belajar. Habis saja adegan tu muncul lagi satu adegan bila ada seorang yang bermain watak menteri dalam negeri menjawab soalan pemberita tentang isu penahanan beberapa watak lain yang dituduh menghasut rakyat. Punch line dia yang buatkan kami bukan saja ketawa sampai terkentut tapi aku sendiri sampai tercirit tahi cair kerana tak boleh tahan sangat-sangat adalah bila dialognya lebih kurang berbunyi "Buat apa kita nak tahan Ahmad Ismail bawah akta ISA, dia member party, dia telah dihukum oleh parti, digantung 3 tahun". Moralnya yang kelakar adalah kalau kita dalam parti yang sama kita tak akan kena ISA. Apakah dia cuba katakan ISA hanya untuk parti pembangkang sajalah? Pengakuannya secara terang-terang telah membuktikan bahawa ISA sebagai alat untuk mempertahankan pemerintahan mereka walaupun sebelum ini mereka sendiri menafikan penggunaan ISA tiada kaitan dengan kepentingan parti. Kelakar, kah, kah, kah... Tak sabar nak tengok lawak bodoh kat tv ni lagi. Sapa-sapa nak menonton kebodohan lawak-lawak yang disiarkan ini tunggulah kat depan tv jam 8 malam. Bagi sapa-sapa yang tak dapat tangkap lawaknya mungkin ada sesuatu yang tak kena dengan saraf lawak anda harap segera jumpa dengan pakar saraf.

Jumaat, 12 September 2008

Jujur dalam lakonan

Setiap pelakon harus percaya dengan apa yang dilakukan adalah benar. Pelakon yang baik akan berjaya membuat penonton percaya dengan apa yang dilakukan dan diperkatakannya. Pelakon tidak harus terlalu mencuba untuk menyakinkan penonton dengan apa yang dilakukan dan diperkatakannya kerana dengan ini ia sudah tidak jujur dengan dirinya sendiri. Pelakon yang gagal berlaku jujur dengan dirinya akan membuatkan penonton rasa tertipu. Bagaimana untuk mendapatkan rasa jujur agar segala perbuatannya kelihatan benar? Pelakon harus percaya dengan dirinya sendiri. Untuk percaya dengan diri sendiri sebenarnya adalah satu pekara yang sukar untuk dilakukan.

Sebahagian besar pelakon akan cuba membesar-besarkan gerakannya untuk menyakinkan penonton bahawa dia benar-benar dalam sesuatu situasi. Sebagai contoh seorang pelakon itu akan berlegar-legar untuk menunjukan yang dia sedang susah hati atau gelisah atau mengerakkan tangannya ke atas dan ke bawah untuk menunjukan dia sedang marah. Tidak salah untuk melakukan perbuatan tersebut tapi apakah perbuatan itu adalah benar dan jujur datang dari dirinya atau sekadar untuk menunjukkan kepada penonton bahawa dia dalam situasi itu. Ada bezanya perbuatan untuk menunjuk dengan perbuatan yang jujur. Perbuatan menunjuk adalah satu penipuan. Seorang yang marah atau sedih tidak akan cuba menunjukan perasaannya kepada orang lain. Sebagai contoh jika saya dalam keadaan marah, saya tiada masa untuk memikirkan untuk menunjukan rasa marah saya pada orang lain. Rasa marah saya datang dari keadaan/sebab yang membuatkan saya marah. Kenapa saya marah? Saya marah kerana saya ditipu dan orang yang menipu saya adalah sahabat yang saya begitu mempercayainya. Saya pernah membantunya ketika dia susah, saya sudah menganggap dia seperti saudara saya dan sekarang dia telah menipu saya. Bila saya ingatkan semula apa yang saya dah buat pada dia dan apa yang dia buat pada saya saya jadi marah. Perasaan marah itu datang kerana saya memikirkan tentangnya bukan kerana saya cuba menunjukan rasa marah saya supaya saya kelihatan marah. Rasa marah itu adalah benar dan jujur. Perbuatan mengerak-gerakkan tangan ke atas dan ke bawah tanpa ada pemikiran dari sebab-sebab yang menyebabkan tangan-tangan itu bergerak bermakna pelakon itu cuba menunjukan rasa marahnya dan bukan benar-benar jujur dengan perasaannya itu.

Khamis, 4 September 2008

Hari Sakit

Di luar hujan masih turun. Aku tahu itu hujan kerana adanya bunyi air yang menitik jatuh ke tanah yang basah. Di awal pagi ini, di luar gelap yang amat. Apa-apapun tak kelihatan. Hitam. Aku duduk dihadapan tingkap mengadap keluar. Udaranya lembab dan hangat. Perit di tekak aku masih terasa pedih. Peluh membasahi di pangkal leher, melembabkan kolar baju t-shirt warna kelabu yang aku pakai sejak siang tadi. Hari ini hari ke dua berpuasa tapi bagi aku baru hari pertama. Aku demam panas sejak sehari sebelum merdeka dan pada hari pertama puasa deman aku tahap maksimun. Seharian aku terbaring di tempat tidur, makan ubat dan tidur semula. Kepala aku rasa macam nak pecah, semasa aku lihat di cermin kelihatan urat-urat timbul bersimpul di kiri dan kanan depan kepala. Mata aku merah, badan aku sakit dan bila malam aku akan menggigil kesejukan walau telah diselimut beberapa lapis kain selimut. Aku jarang-jarang sakit tapi bila sesekali sakit, sangatlah teruk. Tahap sekarang ni, tahap batuk. Selalunya selepas demam mulai kebah batuk pulak akan menyerang. Aku sedang melalui farsa ini. Batuk ini rasanya kering, kahak hanya sangkut dihujung-hujung saja. Nafas tak boleh ditarik panjang-panjang nanti dihujungnya akan memanggil batuk untuk menjengah. Selesai ketukan batuk ini akan terasa pahit-pahit hanyir rasa kahak pekat yang sangkut di hujung tekak. Rasa kahak ini tak ubah seperti rasa nanah. Aku sangat berharap agar besok aku akan bertambah baik. Aku mahu kembali mahu menikmati nikmat menyedut asap rokok yang sekarang ni rasanya kering dan sedikit pahit dan yang paling tak best sekali disulami dengan batuk yang memedihkan dada. Aku mengambil sebatang lagi rokok yang sudah berada di sebelah laptop aku. Aku nyalakan dan aku hempuskan asapnya keluar bersama kokokan batuk yang memedihkan dada. Doakan aku lekas sembuh.

Sabtu, 30 Ogos 2008

Merdeka dan Belanjawan

Malam ini malam Merdeka. Kononnya, Malaysia merdeka pada 31 ogos 1957 walau hakikatnya Malaysia dibentukkan (oleh British) pada 16 september 1963. Jika aku orang Sabah dan Sarawak aku mesti bengang gila punya kerana telah dibelakangkan semasa rakyat jelata di Semenanjung Malaysia melaung-laung Merdeka di Dataran Merdeka. Ini satu penghinaan secara terang-terangan. Apa yang kecoh sangat dengan 31 Ogos ni sepatutnya 16 september baru lah kita sambut kaw-kaw kerana itu hari jadinya Malaysia. Satu hari nanti aku sangat berharap agar 16 september akan menjadi hari penting untuk seluruh rakyat Malaysia menyambutnya. Ketika aku menaip ini jam menunjukan 12.01 minit malam, kedengaran bunyi sayup-sayup letupan bunga api yang kedengarannya seperti bunyi kentut dari lubong bontot yang dah lose tak meriah langsungpun. Tak meriah kalau aku bandingkan lebih dari sepuluh tahun lepas atau semasa aku masih belajar kat ASK atau semasa aku mula-mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pada tahun 1994. Sebelum tsunami reformasi melanda tanah air ini pasti akan penuh dengan sorakan kemerdekaan bila tibanya 31 ogos. Malam ini suasana begitu lain, sunyi lebih sunyi dari tahun lepas. Tahun lepas pulak lebih sunyi dari tahun sebelumnya dan sebelumnya dan sebelumnya..... Kenapa? Apakah rakyat sudah hilang semangat patriotiknya kerana mereka mulai sedar bahawa mereka sering dipermainkan dan mengharapkan suatu perubahan? Apakah ini satu pertanda bahawa akan terjadi satu perubahan dalam pemerintahan negara ini?

Aku baru saja pulang dari penggambaran drama bersiri. Penggambaran ini berlangsung di sekitar kawasan Brickfield. Ketika aku memandu kereta cabuk aku untuk pulang ke rumah, suasana di jalanraya tidak sesibuk seperti yang aku sangka. Jika dulu pasti aku akan tersekat dalam kesibukan, jika keluar pada malam Merdeka (disebabkan itu aku dan keluarga jarang keluar rumah pada malam sambutan kemerdekaan). Malam ini suasananya seperti malam-malam biasa. Sepanjang perjalanan itu juga aku perasan satu benda yang sebelum-sebelum ini sangat ketara, bendera malaysia di atas bumbung kereta. Ini adalah benar bukan satu rekaan, tiada sebuahpun kereta yang melalui jalan yang sama dengan aku memasang bendera. Jika dulu bagaikan satu pesta bila hampir setiap orang akan memacakkan bendera malaysia atas bumbung kereta mereka. Begitu juga dengan bangunan-bangunan kedai... Apakah ini juga satu petanda? Petanda bahawa sesuatu yang buruk akan melanda pemerintah sekarang. Petanda bahawa rakyat sudah jemu dan mereka mulai sedar bahawa kuasa perubahan ada ditangan mereka.

Sampai rumah aku buka tv nak tengok artis-artis menyanyi harap-harap Faizal Tahir ada dijemput untuk memeriahkan sambutan. Buka aje tv rancangan-rancangan yang disiarkan macam tak ada sambutan hari merdekapun. Tak meriah langsung. Hanya TV 1 dan 2 saja buat konsert siaran langsung. Tau-tau ajelah kalau rancangan RTM memang membosankan. Lembab nak mampus. Bosan-bosan.... Tiba-tiba aku terfikir pasal belanjawan 2009 yang dibacakan oleh Pak Lah pasal Negara Kebajikan. Negara mengeluarkan berbilion ringgit untuk memberi bantuan kepada rakyat jelata yang kononnya memerlukan. Walhal jika dilihat dari sudut lain ini adalah rasuah yang diberikan kepada rakyat agar terus memangkah mereka. Aku tidak mempersoalkan bilion-bilion itu tapi apa yang merisaukan aku adalah duit yang besar itu dikeluarkan/dibelanjakan pasti akan ada kesan negatifnya. Kita semua tahu keadaan ekonomi sekarang seperti telur dihujung tanduk. Perbelanjaan yang tidak bijak akan memberi kesan terhadap pusingan modal kita. Pemerintah sendiri telah melancarkan kempen bijak berbelanja. Kenapa? Mereka sudah tahu keadaan ekonomi kita sudah teruk. Dengan mengepam wang keluar yang kononnya untu membantu golongan susah (meraih undi) mereka telah mengundang inflasi untuk bertandang. Jangan sampai kerana terlalu mementingkan diri (parti) hingga nanti negara tergadai. Apa salahnya jika memberi laluan kepada pihak (parti) lain untuk mentadbir negara ini mungkin banyak pekara dapat dipelajari. Ingatlah pilihanraya 5 tahun sekali.

Khamis, 28 Ogos 2008

short film

Short film online competition, Cannes 2008

Title :Historia de un letero
by Alonso Alvarez Barreda

BATANG KECIL

Aku memang selalu berjumpa dengan Isham Rais, kadang-kadang secara tak formal seperti kat kedai kopi, tepi jalan mahupun kat ruang legar kat satu-satu majlis; kadang-kadang kat majlis-majlis separa rasmi seperti kat sessi dialog, forum dan festival. Satu saja tempat yang aku tak pernah jumpa dia walaupun dia selalu pergi ke situ; demontrasi jalanan. Aku tak pernah jumpa dia kat sana pasal aku tak pernah pergi ke situ. Pernah sekali aku terserempak dengan dia kat ruang legar Panggung Eksperimen Aswara. Masa tu aku nak tengok show final projek Fared Ayam "Short Eye". Masa aku lintas kat depan PE (Panggung Eksperimen) dia dah terconggok kat situ dengan beberapa anak muda Aswara. Akupun singgah join sekali. Depa tengah bersembang pasal satu himpunan yang akan diadakan kat PJ, masa tu tengah kecoh pasal isu minyak jadi rakyat jelata pakat nak kumpul nak protes tentang isu tu. Isham sound kat aku pasal apa tak pernah ikut berkumpul ramai-ramai macam orang lain. Aku cuma senyum. Dia tanya takut ke? (intonasinya lebih kepada provokasi) Aku senyum lagi...
Takut adalah sama dengan maksudnya dayus. Dayus pulak sama seperti tak ada telur atau tak ada batang. Perkataan ini jika digunakan kepada lelaki mereka akan jadi marah dan pasti muka akan menyala-nyala. Lelaki mempunyai ego terhadap kemaluannya jika seorang lelaki dikatakan kepadanya "batang besar" mereka akan senyum tetapi jika "batang kecil" seseorang lelaki itu akan menyerang balik untuk membuktikan bahawa batang dia tidak kecil (walau sebenarnya memang kecil). Provoksi terhadap kemaluan lelaki bukan pekara baru, polis juga menggunakkannya untuk membangkitkan kemarahan tahanan (tanya isham sendiri kalau tak percaya).
Kembali kepada pertanyaan Isham semasa pertembungan kami kat depan PE. Bila dia tanya aku, takut ke? Aku terus terasa sampai ke batang aku. Kenapa aku senyap dan hanya senyum saja? Aku tau dia sedang provoke aku, itu memang sifat isham. Aku kenal banyak orang macam dia masa aku kecil dulu. Jika dulu (masa aku kecik) pasti aku akan melompat ke arah orang tu atau lari sambil bergenang air mata. Mungkin aku dah tua sekarang ni jadi aku hanya senyum saja. Tapi soalnya kenapa aku senyum? bukan marah. Jawapannya kerana aku tahu kelemahan aku. Guru lakon aku dulu pernah menyuruh aku mencari kelemahan diri untuk tahu kekuatan diri. Menerima kelemahan diri akan menjadikan kita kuat. Ambik saja contoh KJ dia masih tak boleh menerima kelemahan dirinya sebab itu kita dapat lihat dia menjadi pemarah jika dicabar tidak seperti Anwar yang cool saja walau dihina.
Hari tupun aku dihina, tapi aku senyum pasal aku tahu kelemahan diri aku. Aku sebenarnya takut dengan kehadiran orang yang ramai kat satu-satu tempat. Wahima kat Chow Kit pun aku tak berani nak pergi begitu juga Puduraya dan lain-lain tempat yang sesak dengan manusia. Aku akan jadi sesak nafas. Bila Isham kata aku takut. Ya, memang aku takut. Aku tak lawan cakap dia masa tu pasal aku tahu apa yang dia kata tu betul. Aku memang takut. Ketakutan aku bukan hanya pada kesesakan tetapi juga pada kegelapan dan kesunyian. Aku sentiasa takut dengan "orang lain". Aku sentiasa rasa ada orang akan menyerang aku dengan pisau dari belakang dan akan menikam aku secara tiba-tiba. Dan, jika perhimpunan yang besar dan penuh dengan emosi yang menyala aku takut pada keadaan yang tidak terkawal yang memungkinkan belaku pergelutan dan pergeseran. Aku akui ada sesetengah orang suka dengan pergeseran dan berhimpit-himpit dengan orang lain tapi tidak aku. Ini kerana kesan dari itu akan naik satu perasaan lain yang bukan pergelutan membawa kepada pergaduhan tetapi lebih kepada keseronokan.
Namun aku menyokong segala perhimpunan untuk menegakkan keadilan ini, segala perkembangan demontrasi aku ikuti kerana aku percaya kepada demokrasi. Rakyat jelata berhak untuk bersuara jika ketidakadilan belaku. Negara ini hak mereka. Itu adalah hakiki. Jadi maaflah jika aku tidak bersama-sama berhimpit-himpit bersama mereka bukan tak mahu tapi aku TAKUT.
Disebabkan rasa takut inilah maka aku lebih senang bersuara melalui tulisan-tulisan, pementasan mahupun melalui skrin. Itulah cara aku menentang ketidakadilan. Apakah ini bermaksud aku memiliki "batang yang kecil?"