Rabu, 5 November 2008

Budak Kelantan sebuah filem maskulin; wanita itu hanyalah objek. (bukan aku kata Budak Kelantan yang kata he he he )

Setelah segala rintangan dan halangan maka dapatlah aku menonton Budak Kelantan (BK) arahan Wan Azli itu.

Lupakan tentang masalah teknikal (pada sesetengah bahagian); sound yang rabak, editing yang koyak, fokus kamera yang selerak, stunt yang haprak, art direction yang senak…. Segala masalah di atas tak akan dapat diselesaikan jika “kapital’ nya ceput yang amat. Walaupun Wan Azli cuba menghalalkan konsepnya dengan menjadikan Italian neorealism sebagai dahan untuk dia bergantung keyakinan, kita tahu itu cuma satu tanggungjawab yang menjadi beban untuknya pikul bila “kapital”nya ceput.. Lupakan semuanya. Kembali kita kepada perkara asas. Lihatlah cerita sebagai sebuah cerita. Pemikiran si pencerita. Apa yang ingin dikongsi dengan kita. Itulah yang aku lakukan bila menonton bersama 10 penonton lain di 1 Utama GSC petang semalam.

Bersama sebungkus pop corn (hanya untuk dimakan sebelum bermulanya cerita yang dinanti untuk mengisi kesepian) aku masuk ke panggung. Panggung yang sunyi hanya beberapa pasangan yang berpelukan untuk memanaskan badan dek sejuknya air cond. Aku faham. Setelah ditayangkan beberapa sedutan tayangan akan datang dan iklan-iklan bagi mengisi kocek pemilik panggung maka bermulalah cerita BK. Dan, pop corn aku tinggalkan di kerusi kosong di sebelah.

Permulaan cerita membuatkan bulu-bulu di tengkok aku berdiri. Dan, terasa air mata ku bergenang. Bukan seram. Bukan sedih. Tapi terasa hebat dan terharunya bila akhirnya cerita yang hebat dapat ku saksikan di layar yang dibikin oleh generasi muda pembikin filem. Wan Azli benar-benar dapat membawa kita untuk mendekati cerita yang ingin disampaikan nantinya. Babak pertama dalam cerita 90 minit ini berjaya digarap dengan cemerlang hingga tak sedar 20 minit masa telah berlalu. Mengikat aku dikerusi. Terpaku. Akan tetapi melewati babak ke dua perjalanan ini terasa sedikit terganggu. Terasa seperti roda yang menyusuri jalan yang licin. Rodanya berpusing tapi kenderaan tidak bergerak. Atau, jika bergerakpun tidak selancar seperti yang diharap. Namun itu bukan halangan untuk aku terus memaku pandangan aku ke layar. Lakonan mantap pelakon memberi ruang untuk aku menikmati keindahan dari sudut yang lain. Dan, akhirnya aku menamatkan penontonan aku tanpa ada rasa kesal bersarang di dada.

Filem ini seolah-olah seperti meminjam semangat filem Man Bites Dog (1992). Filem mockumentary ini yang di hasilkan oleh 4 orang pelajar filem yang diarahkan oleh Remy Belvauk (mati bunuh diri pada 4 september 2006). Kononnya Tarantino minat gila dengan filem ni. Untuk faham kenapa aku kata meminjam semangat dari filem ini sila pergi ke kedai dvd, beli dan tonton.

Di sini izinkan aku terjemahkan pengalaman aku menonton BK. Wan Azli cuba bercerita dengan kita tentang persahabatan dan pengorbanan. Ini cerita cinta. Tapi bukan cinta biasa yang kita tonton di kaca tv mahupun di layar sebelum-sebelum ini. Ini realiti bagi sesetengah dari kita. Kita di bawa untuk mengenali watak Jaha dan Buchek rakan semasa kecil yang kini melayari bahtera kehidupan di kota Kuala Lumpur. Jaha hidupnya dipenuhi dengan kemungkaran dan Buchek yang masih suci memilih jalan yang lurus. Pertembungan dua watak ini membuatkan Buchek cuba untuk mengenali Jaha. Di pihak yang lain, Jaha cuba untuk mengajar Buchek apa itu kehidupan yang sebenarnya. Namun pertemuan semula yang singkat itu tidak dapat bertahan kerana minyak dan air tak mungkin dapat menyerap satu sama lain. Ketika Buchek melepaskan Chen Chen yang diculik oleh Jaha itu menjadi titik tolak perpisahan antara mereka. Jaha mula menerima Buchek tak akan boleh memahami dirinya. Mereka di haluan berbeza. Namun, pertemuan Jaha dengan Cik Nor kekasih Buchek mempertemukan semula dua sahabat tadi. Jaha memohon maaf atas tindakannya mengasari Buchek sebelum ini dan mengharapkan Buchek dapat memperkenalkan Cik Nor padanya. Memperlihatkan kesungguhan Jaha, Buchek berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertemukan Cik Nor dengan Jaha. Namun Cik Nor enggan menerima Jaha. Akhirnya Buchek mengatur pertemuan cik Nor dan Jaha. Ketika tarikh tersebut Jaha terlibat kemalangan dan meninggal. Buchek bila menerima berita itu mula jadi dingin dengan Cik nor dan di akhir cerita kita melihat Buchek pergi kepada Chen Chen. Ulasan di atas adalah secara apa yang tergambar di layar.

Namun apa yang membuatkan aku tertarik dengan filem ini bukan kisah pengorbanan seorang sahabat, bukan juga aksi-aksi ganas yang kelihatan real dengan penggunaan teknik handheld, bukan hanya lakonan mantap watak Jaha tetapi pemikiran Wan Azli dalam BK. Menonton BK kita dibawa untuk melihat cinta dari kaca mata Wan Azli. Bagi Wan Azli cinta terhadap tuhan dan persahabatan itu lebih mulia dari cinta terhadap wanita. Wanita hanyalah objek. Di sini secara terang kita diperlihatkan bagaimana Buchek tanpa ada masalah untuk memberi Cik Nor kepada Jaha. Dia sendiri merasakan jika Cik Su boleh membawa Jaha ke jalan yang lurus dia rela melepaskan cintanya itu. Apabila Buchek pergi kepada Chen Chen di akhir cerita seperti mencadangkan perrempuan (baca: barang) jika kita tidak dapat mengawalnya lebih baik ditinggalkan. Sifat Chen Chen yang melihat Buchek sebagai “tuan” seperti yang dicadangkan dalam adegan mimpi (sultan melaka dan hang li po; tidakkah hang li po itu hanya barang saja) menguatkan tafsiran ini. Berbalik pulak sifat Cik Su yang lebih cenderong untuk mengawal Buchek. Kata-kata Buchek semasa pertengkaran dalam kereta “bagi saya pulaklah yang pandu” membawa maksud “memimpin” (kita diperlihatkan Cik Nor yang memandu kereta itu). Dan, kerana itu dia meninggalkan Cik Nor dan pergi kepada Chen Chen. Banyak lagi cadangan di dalam filem ini yang melihat wanita itu hanya barang. Lihat pulak menerusi watak Jaha, bagaimana dia melayan wanita. Baginya wanita itu hanya barang yang dapat dimiliki dengan cara memunggutnya ditepi jalan. Namun antara Jaha dan Buchek mereka menggunakan “barang” dengan cara yang berbeza. Namun wanita tetap hanyalah objek. Wanita diciptakan dari tulang rusuk lelaki untuk dipimpin oleh lelaki itulah maksud tersirat BK. Filem ini adalah sebuah filem maskulin. Filem Jantan. Masih tak cukup untuk membuktikannya lihat saja kumpulan dikir barat tidakkah mereka maskulin.

Ini hanya pandangan aku mungkin Wan Azli tidak cuba menyatakan itupun. Mungkin dia hanya mahu menunjukan kisah kehidupan budak remaja yang koya best saja. Jika hanya itu yang diketengahkan maka Wan Azli hanyalah berbual kosong di kedai kopi untuk menghiburkan teman bualnya saja layaknya. Kerana bagi aku filem bukan hanya bercerita kosong tapi ianya datang dengan pemikiran.

p/s untuk Amir Muhammad yang menelepon aku selepas dia menonton BK malam semalam dan bertanya tentang kenapa Buchek pergi kepada Chen Chen di akhir cerita. Jawapannya sudah ku tulis di atas :)

kepada Danny tolong fahami watak anda kegagalan untuk berbuat itu sedikit sebanyak mencacatkan penceritan. Jangan marah bro kalau lu baca blog ni itu cuma pandangan :)

16 ulasan:

Ajami Hashim berkata...

"Ini cerita cinta."

itu yg aku ckp pd kawan aku dia mcm tak percaya sebab dia kata kan BK citer violent?.. akhirnya aku ada kau yg sokong! yeahhh!

best siott rev kau ;-)

Fasyali Fadzly berkata...

saya dah tonton. interpretasi saya juga tak sedalam abang. terima kasih kerana berkongsi. pengalaman..

baca review saya plak...

Tanpa Nama berkata...

-no comment-

Rapala Jingga berkata...

Ajami, Diaorang tengok cerita kita baca cerita. Lain kot?

Vitamin, tulislah setiap hari walau sebaris ayat. Kita belajar.

Where, No Comment

Tanpa Nama berkata...

Aku pinjam review kau ni letak kat blog aku. Aku tak sempat nak tulis. Kalau tulis sikit tak sampai pulak. Cuma aku ada respon sikit je kat bawah nya.

Tanpa Nama berkata...

spoiler giler babs! thanks!

Tanpa Nama berkata...

aku faham tapi tetap ada persoalan..
ada sesuatu yg aku masih tertanya-tanya dan kecewa..
nanti kita jumpa kita bincang ye cik namron..

Pegawai Khalwat berkata...

Wow, hang tak bagi amaran ada spoiler bang.

Ha ha ha...

Apa-apa pun, spoiler tu dah makin meningkatkan keinginan aku untuk menonton BK.

Hari tu aku dah pergi, masalahnya polisi panggung di sini mesti ada sekurang-kurangnya 4 kerusi yang di beli. 2 kali ( dalam satu hari), aku pergi, 2 kali juga tak cukup kerusi yang orang beli. Aku nak beli 4 kerusi, rabak pula.

Kali ni aku nak tarik (paksa) kawan-kawan aku pergi tengok.

the noise thereafter berkata...

BK cerita cinta 30 peratus, selebihnya pengorbanan persahabatan. Wanita hanyalah objek, kasih sayang seorang kekasih disama-ratakan dengan persahabatan seorang kawan. Hehe. Best baca ulasan kamu!

Aloy Paradoks berkata...

salam bro,,,gua dah nengok BK.
Gua tak tau la, tapi watak Buchek mcm kureng sket je.

Tanpa Nama berkata...

katanya wanita sebagai objek 'barang' mungkin hanya gedebe nya yang tinggi. sehingga lah dia crush dgn ciknur. jaha juga jadi 'barang' kerana alasan buchek yang juga crush dengan linchenchen..cinta pandang pertama. dua2 kena main.. cool!!
scriptnya sangat bagus..just nice terutama first half cerita ni.

tapi agak drama swasta bila wataknya dimatikan.. saya impikan jaha terus hidup, dan terus bikin chaos dan anarki haha..

namron, saya kurang faham kenapa ada scene dikir barat dihujung2 cerita ini. tidak faham dengan tanda2 dikir barat, ini sangat memotong stim saya.

ye lah, sedang saya menonton filem ni dan melihat penonton dikir barat itu, buatkan saya terasa klimaks yg tak sampai. tension!

and tahniah pengarah, cerita ni buatkan saya tengok dua kali. thanks!

Tanpa Nama berkata...

Walau apapun orang nak komen, gua tabik spring sama lu where!

SYABAS!!!

Tanpa Nama berkata...

lanyaklah syahrul.

tanpa nama; Spoiler ker?

hari tu jumpa tak bincang pulak kan sampah?

Pegawai Khalwat, Tu hanya pandangan aku mungkin bukan niat si pengarahnya mengatakan begitu. Aku tak rasa ada spoiler ulasan aku tu, try hang pi tengok pah tu habaq mai.

Zuhairy, setiap org mempunyai pandangan yang berbeda. Ko menonton kau akan dapat apa yang ko dapat. Aku dapat apa yang aku dapat. Lagi banyak tafsiran yang keluar lagi bagus filem tu pasal buat orang berfikir. :)

Aloy, akupun rasa kurang sikit si Buchek tu tapi dia dah buat yang terbaik. kita patut kagum dengan usahanya.

Razman, rasa terganggu tu mungkin ada baiknya kot. Ada masanya bila menonton kita tak perlu fahampun, rasa dah cukup. Dan, saya percaya awak ada tafsirannya tersendiri tentang kewujudan dikir barat tu. Cuba fikir lagi. Tak mungkin si pengarah saja-saja nak letak kat situ kot.

Zalee, BK memang sebuah filem yang bagus.

Tanpa Nama berkata...

ok thanks namron.

yep, BK antara filem yg bagus tahun ni! dialog jaha nanti jadi cult nih!! haha
tahniah where!

Unknown berkata...

i love, love, LOVE filem "budak kelantan". alhamdulillah, i'm so proud of wan azli.

bina badan berkata...

Dapatkan Panduan Bina Otot Badan Untuk Lelaki Agar Anda Kelihatan Lebih Macho Dan Kacak....Jangan Segan2.....Milikilah Badan Impian Anda Disini....